AKTIVITI seni di Kuala Lumpur begitu meriah. Hampir setiap hujung minggu ada saja pelbagai program yang boleh dikunjungi khalayak. Hal ini tidak terkecuali bagi seni popular seperti animasi, komik, kartun dan karikatur. Pada 26 dan 27 Oktober 2024 yang baru lalu, telah berlangsung Festival Anifest yang kelapan di KL Gateway Mall anjuran Persatuan Festival Seni Kreatif dan TVET Malaysia (ANIFEST). Festival ini yang menemukan pelbagai penggiat seni itu menunjukkan komitmen tinggi persatuan ini dalam memajukan dan melestarikan dunia seni kreatif tanah air khususnya yang berkaitan dengan animasi, komik, kartun, karikatur, hobi dan permainan.
Anifest kali ini disifatkan lebih meriah dan lebih luas skopnya, kerana bukan sahaja pameran, pertandingan, sesi bertemu kartunis dan pelukis komik, ilustrator dan animator, jualan komik dan produk seni lain, tetapi turut diisi dengan program-program berbentuk ilmiah seperti forum, promosi bidang pengajian berteraskan seni dan kreativiti serta TVET oleh pelbagai institusi pengajian seni seperti Universiti Kuala Lumpur, Universiti Multimedia, Aswara dan kolej-kolej komuniti. Apa yang menarik juga ialah pendedahan teknologi terkini khususnya berkaitan AI kepada para pengunjung di samping pelancaran tiga buah buku komik oleh karyawan tanah air, iaitu kartunis Aku Napie, Pauh, dan pelukis komik Taufik Hafizi atau lebih dikenali sebagai Topek.

Ts. Mohd Zahir Zainal Abidin, Pengerusi Persatuan ANIFEST menegaskan bahawa festival ini menjadi satu platform bagi komuniti animasi dan komik untuk terus maju dan bersatu dalam menonjolkan karya mereka melalui pelbagai bentuk seni kreatif. Sementara Amir Hamzah Hashim, Pengarah Eksekutif ANIFEST yang membina jenama festival itu mengalu-alukan semua entiti kesenian menyertai festival ini dan menghargai penyertaan serta sokongan pelbagai pihak seperti MDEC, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), KL Gateway Mall dan semua pemain budaya dan penggiat seni kreatif, IPTA dan IPTS. Hal ini katanya selaras dengan slogan Anifest, “Semua Pun Kawan!”
Tema festival kali ini “Integrasi Seni Kreatif” dengan jelas mencerminkan sifat multidisiplin dunia seni hari ini yang merentasi pelbagai teknologi, disiplin ilmu, media, bentuk, gaya, mesej dan makna. Dalam konteks ini, teras pembentukan kepelbagaian pengucapan seni ini pastinya juga bagi menjawab dan memenuhi berbagai-bagai objektif yang direncanakan, sama ada dari sudut pengkomersialan, kemanusiaan, keperluan fizikal dan kerohanian.
Dalam konteks ini, kesemua individu atau “pemain budaya” mempunyai peranan masing-masing. Hal ini pernah dinyatakan oleh sarjana Perancis Claude Mollard dalam konsep Rekayasa Kebudayaan, bahawa untuk mewujudkan suatu sistem kebudayaan yang lengkap, kesemua pemain budaya, iaitu Pembuat Dasar seperti Pemerintah atau Pemegang Kuasa; Seniman seperti pelukis, kartunis, illustrator dan animator; Moderator, seperti penulis, jurnalis, sejarawan, pengkritik, kurator, pendidik, dan pengurus seni, akhirnya khalayak umum, perlu memainkan peranan masing-masing.
Pembuat Dasar dan Pemerintah bukan sahaja bertanggung jawab menggubal dasar dan menyediakan dana, tetapi juga membina ekosistem, infrastruktur, dan prasarana yang kondusif untuk pengkaryaan seni berkembang dengan sihat. Mereka ini adalah penaung yang menaungi seni dan budaya serta para penggiatnya. Pembentukan sesuatu dasar berkaitan seni dan budaya boleh dianggap sebagai bahan mentah yang menjadi panduan dalam menentukan arah dan haluan seni negara, meskipun pada dasarnya para seniman tidaklah perlu tertakluk dengan dasar-dasar itu.

Para seniman pula, tidak kira sama ada pelukis komik, kartunis, illustrator, animator dan pelukis kontemporari, harus terus gigih berkarya memperjuangkan bidang seni masing-masing, mengadaptasi dan meneroka pembaharuan dalam seni. Hal ini kerana memang menjadi sifat seniman untuk terus meneroka pembaharuan dengan sentiasa melakukan eksplorasi dan eksperimentasi bagi mencari bentuk dan makna baharu.
Teknologi seni seperti AI akan terus berkembang dan ia wajar digunakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab. Berkarya juga seperti kita membuat penyelidikan, ada permasalahan yang ingin diselesaikan, objektif yang ingin dicapai, kaedah atau metodologi yang sesuai digunakan untuk mencapai objektif dan menyelesaikan masalah, ada kaedah yang tertentu untuk mendekati pembaca atau khalayak sasaran, ada penemuan dan penghasilan karya yang hendak dipersembahkan. Dunia seni kreatif adalah dunia yang mengujakan dan penuh kejutan, malahan aspek kejutan itu sendiri merupakan sebahagian daripada aspek kreativiti yang turut merangkumi ilmu, budaya dan pengalaman.
Moderator seni perlu terus menjadi orang tengah atau jambatan yang menghubungkan kesemua pemain budaya dengan kerja seni dan khalayak: menyelidik, mendokumentasi, menulis dan menerbitkan hasil penyelidikan sebagai suatu bentuk pengiktirafan kepada pengkarya dan seni, serta mendidik khalayak.
Akhirnya, khalayak pula perlulah belajar serta menimba ilmu untuk menghayati dan menghargai seni. Menghayati seni dengan ilmu akan melahirkan suatu proses penghayatan bentuk dan makna yang lebih bermakna. Jika kesemuanya ini berlaku, barulah lengkap suatu sistem kebudayaan yang diinginkan.
Dalam konteks ini, Persatuan Festival Seni Kreatif dan TVET Malaysia ini juga boleh disifatkan sebagai moderator yang memainkan peranannya dengan berkesan menerusi penganjuran Festival Anifest yang merentasi pelbagai skop, sesuai dengan temanya “Integrasi Seni Kreatif” yang mempertemukan bukan sahaja berbagai-bagai genre seni, malahan menemukan kesemua pemain budaya di satu lokasi dengan satu matlamat yang sama untuk menghargai, memajukan dan melestarikan seni.
Selain daripada aktiviti berkaitan seni popular yang disebutkan, festival Anifest kali ini turut menyaksikan pelancaran tiga buku komik karya tiga orang pengkarya yang tidak asing lagi dalam dunia seni komik dan kartun tanah air. Buku-buku ini adalah Memoriku oleh Aku Napie (Terbitan Anithink Consultant Sdn Bhd, 2024); Jurnal Kartun oleh Pauh (Terbitan Kartun Politan, 2024) dan Komik Hero Bara Api 2 oleh Taufiq Hafizi atau Topek (Terbitan Topek Comics, 2024).

Memoriku adalah sebuah antologi atau kompilasi kartun Aku Napie yang pernah disiarkan dalam laman Facebook dan Instagramnya. Karya-karya dalam antologi ini mengisahkan pengalaman dan kenangan kartunis sekitar awal alaf baharu ketika berada di alam persekolahan menengah. Ia merangkumi kisah-kisah yang kebanyakannya turut kita lalui semasa bersekolah, seperti ketika menduduki peperiksaan, memiliki buku lirik lagu dan buku autograf untuk kawan-kawan sekelas, situasi lucu dan nakal dalam kelas bersama rakan-rakan dan guru, kisah surat cinta berbau bedak wangi, surat berantai, program motivasi dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK), fenomena Mawi World dan nostalgia telefon bimbit Nokia. Di samping itu ada juga kartun penghormatan kepada kartunis Aie (Shaari Sulong 1973-2021) yang terkenal dengan komik Blues untuk Aku.
Memoriku karya Aku Napie ini adalah cerita kita, perihal kita, iaitu cerita yang kita alami dan lalui dalam hidup kita. Buku ini berjaya membuat pembaca menggamit nostalgia dan kenangan kerana kepintaran Aku Napie dalam memilih tema, subjek dan cerita yang sesuai serta dipersembahkan menerusi gaya lukisan yang ringkas dan kaedah naratif yang berkesan.
Kalau Memorikuoleh Aku Napie itu berkisar kepada kenangan di alam persekolahan yang telah beliau dan kita lalui, Jurnal Kartunoleh Pauh adalah perihal kenangan yang baru kita lalui, malahan kisah-kisah dalam kehidupan seharian kini, dalam dunia digital yang penuh dengan kecanggihan dalam kaedah berkomunikasi.
Topik-topik yang dilukisnya begitu rencam, daripada isu sosiopolitik setempat hinggalah global, daripada hal Internet, fenomena media sosial, kisah influencer ataupun pempengaruh, nasi lemak, penjual jeruk manga di persimpangan lampu isyarat, budaya viral, isu PATI hinggalah kepada penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
Menurut Pauh, karya-karya ini dilukis sekitar tahun 2020 hingga 2023 dan pernah tersiar dalam akhbar Kosmo. Justeru itu, kita dapati ada kisah-kisah yang kita lalui sewaktu pandemik Covid-19, misalnya mengenai vaksin, dos penggalak, istilah-istilah semasa Covid seperti PKP, PKPP dan malahan banyak watak dalam karya ini yang dilukis memakai pelitup muka.
Seperti Aku Napie, Pauh juga banyak menampilkan karikatur sendiri sebagai watak, justeru menjadikan kedua-dua karya ini cenderung kepada pendekatan autobiografi. Meskipun begitu, hal-hal yang digarap mereka itu juga merupakan hal-hal universal yang juga kita lalui, lantas membuatkan karya ini begitu berkesan dalam menambat hati pembaca, menerusi gaya lukisan yang ringkas dan padu, serta jenaka yang ramah dan sopan.
Ini merupakan kekuatan kedua-dua buku ini. Justeru itu, membeli buku ini bukan sahaja kita menyokong kerja kreatif mereka, tetapi juga mengimbau dan membeli kenangan dan memori yang kita kongsi bersama.
Buku ketiga yang dilancarkan pada festival itu ialah Komik Hero Bara Api 2 oleh Taufiq Hafizi. Ini merupakan sebuah komik cereka atau fiksyen mengenai pewarisan kuasa dalam sebuah negara misteri dalam dunia bernama Northen Koff yang dibahagikan kepada beberapa elemen seperti pokok, air, dan ais. Setiap lima tahun akan berlaku peperangan bagi menentukan pemerintah baharu. Sesuai dengan temanya, komik ini dipersembahkan menerusi gaya lukisan dan naratif yang ekspresif mengingatkan saya kepada kegemilangan manga dan komik-komik Hong Kong yang sudah menjadi suatu bentuk gaya universal.
Bagi peminat komik aksi dan fiksyen, Komik Hero Bara Api 2 oleh Taufiq Hafizi ini wajar dimiliki dan diberi perhatian, malahan beliau juga pernah menerima Anugerah Komik Alternatif Terbaik dalam Anugerah Pekomik 2018.

Siri terakhir Forum Komik kelolaan Sahabat Komik Artpodcast yang setiap hari Rabu disiarkan secara dalam talian telah diadakan secara langsung khusus sebagai sebahagian pengisian ilmiah Anifest kali ini. Menampilkan pelukis komik Azhar Abdullah dan Bophairy sebagai ahli panel dan dimudahcara oleh kartunis Froggypapa, forum bertajuk “Realiti Komik Malaysia” itu membincangkan status dan cabaran dunia komik hari ini, termasuklah penggunaan teknologi AI yang mencetuskan banyak kontroversi. Forum ini turut menjelaskan kepada audiens tentang strategi penghasilan komik dan tatacara berurusan dengan penerbit bagi mengenalpasti tema dan subjek komik yang menjadi permintaan ramai, terutamanya komik-komik berteraskan pendidikan.
Secara umumnya, para penggiat seni dan pemain budaya yang menyertai Anifest jelas menunjukkan semangat yang tinggi untuk terus berkarya dan memajukan bidang seni kreatif bagi memenuhi objektif-objektif inovasi, pengkomersialan, kemanusiaan dan kerohanian menerusi pengukuhan jaringan dan bidang ilmu.
Dalam meraikan dan menangani kepesatan teknologi seni, ilmu, etika, dan nilai-nilai integriti seharusnya sentiasa dijadikan pedoman dalam setiap kerja kreatif yang dihasilkan. Karya seni kreatif adalah suatu bentuk komunikasi intelektual yang didukungi oleh daya kreativiti pengkarya dan penghayat. Semoga Festival Anifest kali ini bukan sahaja menemukan pelbagai pemain industri seni dan budaya, malahan dapat meningkatkan mutu dan nilai ilmu karya, memperkasakan bidang TVET dan menyuburkan ekosistem seni kreatif di negara ini.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

