PRESIDEN Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS), Cikgu Shamsuddin Mansor (Allayarham), memberitahu yang APS telah mendapat tajaan cat daripada syarikat Sissons Paints. Jadi, dia mengarahkan budak-budak muda APS datang pada minggu depan, jangan tidak-tidak, dan tolong mengecat bangunan APS.
“Kamu-kamulah mengecat!” Pesan Cikgu Shamsuddin. “Nak harapkan abang-abang kamu yang mengecat… lambat! Mereka pakat-pakat cat guna berus halus nanti.” Tambah dia lagi.
Sebagai anak muda harapan bangsa, kami berlima tidak pula mengatakan ya, dan tidak juga mengatakan tidak. Saya pandang Sepol (Ahmad Saiful Akmal Yahya), Sepol pandang Man Tiup (Azman Othman), Man Tiup Pandang Bad (Badrolhisham Mohamad Tahir), Bad pandang Raja (Raja Mohamed Raja Mohd Ali)… dan Raja angkat kedua-dua belah bahu; entahkan dia bersetuju entahkan dia tidak bersetuju.
Cuma Izan (Norizan Shariff)… mengatakan dia tidak mahu terlibat kerana dia sentiasa berpakaian cantik setiap kali datang ke Rumah APS pada hujung minggu. “Malaslah I! Nanti baju kena cat.”
“Kami saja ke yang mengecat, cikgu!?” Tanya saya.
“Tak.” Jawab Cikgu Shamsuddin. “Yang lain-lain pun akan tolong sama nanti.”
Lega sedikit hati kami.
Tiba masa yang dijanjikan – kami bergotong-royong mengecat bangunan APS. Ada yang mengecat dinding, ada yang mengecat siling, dan kami berlima ditugaskan untuk mengecat di bahagian atas bangunan. Yakni bahagian yang paling susah dan terdedah kepada panas matahari.
Sebahagian besar di sebelah atas bangunan APS itu tidak beratap genting melainkan hanya ditutupi dengan konkrit berlumut. Itulah atap dan itulah juga papak. Bila hujan turun – air tak tahu pergi mana. Kadang, kami pun pelik. Konkrit tu dah jadi macam span yang menyerap kesemua air tu. Entahlah!
Kami mengecat macam orang gila. Maklumlah, nak kasi cepat siap. Dan, maklumlah… itu kali pertama kami dapat pegang roller (selama ni hanya pegang berus cat sahaja). Zurrr, zurrrrr! Tak perlu buka mata. Guna mata hati sahaja. Kami percaya, tak ada siapa nak check (hasil kerja kami ni).
Akibatnya cat putih tadi habis merenjis hingga ke bahagian bawah. Dan, lebih malang lagi, Samjis Mat Jan sedang berdiri betul-betul di hadapan pintu masuk bangunan APS di mana kami sedang mengecat zurr zurrr zurrrr di bahagian atasnya.
Sedikit pun dia tak sedar yang rambut dan bajunya sudah terkena renjisan cat tersebut.
Kami letak cat dan roller; ‘cabut’ pergi ke Lorong Binjai, pekena teh tarik.
[Sebagai nota: Samjis Mat Jan merupakan seorang pelukis potrait orang-orang bangsawan yang tersohor dan menerima upah bayaran puluhan ribu ringgit pada ketika itu.]
[ , ]
Berpuluh tahun kemudian, saya mengikut (Allahyarham) Rahimidin Zahari dan Abu Bakar Idris ke rumah Samjis Mat Jan.
“Aku macam kenal ‘je mamat ni….” Kata Samjis. “Tapi tak ingat jumpa di mana.”
“Errr…. Saya minta maaf banyak-banyak, bang!” Kata saya. “Saya yang terrenjis abang dengan cat putih di APS dulutu….”
Samjis tenung saya macam nak makan orang.
**************************
Penulis adalah Bendahari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Membandingkan Rumah APS dengan Rumah PENA, dia mengulas – “Sekali-sekala PENA anjurkan juga gotong-royong, tapi tak ramai anak muda yang turut serta. Well, orang tua mana larat nak buat kerja dah…Terpaksalah upah buruh asing untuk melakukan kerja-kerja tersebut.”
