1984-1987
BANGLO lama setingkat yang terletak berhadapan dengan bangunan Tabung Haji dan bangunan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu dijaga elok oleh sepasang tua suami isteri yang kami panggil Pakcik dan Makcik sahaja. Pakcik gemar memakai sport shirt berwarna cerah. Sedang Makcik lebih selesa berbaju kurung Kedah. Mereka tinggal di bilik paling belakang di rumah Angkatan Pelukis Se-Malaysia (APS) itu.
Setiap pagi Sabtu dan Ahad – saya, Sepol (Ahmad Saiful Akmal Yahya), dan Man Tiup (Azman Othman) antara yang terawal sampai; diikuti oleh Raja (Raja Mohamed Nizam Raja Mohd Ali) dan Bad (Badrolhisham Mohamad Tahir); kemudian Izan (Norizan Shariff) yang paling lewat sampai. Kami akan melaung-melaung dari luar pagar meminta Pakcik tolong bukakan pintu untuk membenarkan sekumpulan remaja yang tidak tahu apa-apa pasal seni lukis ini masuk.
Seperti selalu-selalu, Pakcik akan pura-pura merunggut, “Budak-budak! Pukul 10 baru boleh masuk!” Pakcik panggil kami ‘budak-budak’. Kami rakan sebaya dan yang paling muda di APS. Cuma, Man Tiup lebih tua sedikit beberapa tahun daripada kami berlima.
Masuk melalui foyer – di sebelah kirinya kelas figure drawing Amron Omar – di sebelah kanannya ruang pameran lukisan; di sebelahnya pula adalah pejabat Presiden APS, Cikgu Shamsuddin Mansor. Setiausaha Agung APS, Hismat Alang Ibrahim, tidak ada bilik dan lebih banyak berlegar-legar di seluruh kawasan pada setiap masa. Haji Rahim adalah Timbalan Presiden APS dan Rafie Rahman adalah Bendahari Kehormat APS pada ketika itu.
Menganjur ke tepi belakang dari pejabat APS berbentuk separuh oval itu terdapat beberapa buah bilik – yang pertama, kelas grafik Ayob dan Zul (Zulkifli Aziz) – yang kedua, kosong; cuma terdapat sebuah piano lama yang sering dimainkan oleh Meor Ahmad Fuad (Allahyarham) dan sesekali Samjis Mat Jan datang menyanyikan lagu entah apa-apa – yang ketiga, kelas fotografi (oleh pensyarah MPIK yang saya lupa namanya); terdapat sebuah darkroom mini bersaiz muat-muat dua orang bekerja pada satu-satu masa untuk kami ‘cuci’ gambar hitam putih.
Seingat saya terdapat sebuah mesin etching di dalam salah satu bilik-bilik tersebut dan pada blanket-nya ada kesan lubang berukuran duit syiling lima puluh sen. Ada percubaan untuk memindahkan imej duit syiling itu ke atas kertas dengan kaedah etching tetapi tidak berjaya dan tidak pula diketahui siapa punya angkara.
Menganjur ke belakang dari kelas Amron terdapat siar kaki – Aris Aziz mengajar melukis potret dan Amirudin Ariffin mengajar melukis figure cat air di sini, to be precise, di bawah pokok nangka.
Rafie Rahman mengajar melukis pemandangan cat air di halaman luar rumah APS, to be precise, di bawah pokok-pokok dan beralaskan rumput-rumput. Kadang, Mustafa Yahya datang menyelit sama sambil ber-myself-myself dengan kami. Saya pelik, mengapa dia membahasakan dirinya ‘myself’ dan bukannya ‘I’ seperti orang lain!?
Cikgu Idris Salam mengajar khat. Ghani Ahmad, kadang melukis juga di situ. Maamor Jantan, juga begitu. Serta beberapa orang pelukis yang lain. Pendek kata, mereka datang ke APS untuk berkarya (dan melepak dengan kawan-kawan) pada hujung minggu.
Saya!? Sehari suntuk belajar melukis mata sahaja dengan Aris Aziz – lari pula belajar melukis khat dengan Cikgu Idris Salam. Seminggu belajar melukis huruf alif sahaja – lari pula belajar cat air dengan Rafie Rahman. Sebulan belajar melukis pemandangan sahaja – lari pula belajar grafik dengan Zulkifli dan Ayob. Bosan belajar membancuh Plaka dan membuat garisan dengan pen teknikal sahaja – lari pula belajar melukis figura dengan Amron Omar. Begitulah saya. Tidak pernah tetap belajar satu-satu disiplin seni lukis di situ.
Belajar di kelas Amron – best! Kerana dapat duduk melukis di atas donkey art bench seorang satu. Rasa macam pelukis betul-betul!
Kami melukis kotak. Kotak-kotak kecil yang dilekatkan bersepah-sepah pada setiap satah kotak yang lebih besar. “Hari ini kita belajar persepktif!” kata Amron.
Kami mengeluarkan charcaol paper masing-masing dan mula menenang subjek di hadapan kami dengan pembaris panjang 24 inci dan melukisnya selepas itu dengan pensil. Oleh kerana pembaris saya diperbuat daripada besi – tangan saya cepat lenguh. Beberapa bulan selepas itu saya beli pembaris panjang yang diperbuat daripada kayu (yang tukang jahit baju selalu guna tu). Barulah tangan saya steady sedikit. Itu pun, semasa pagi, badan saya tegak; semasa petang, badan saya dah bongkok. Amron kata, bila melukis, badan kena tegak… kalau tidak, nanti perspektif ‘lari’. Sambil dia cakap tu, sambil dia ketuk-ketuk manja belakang badan saya dengan pembaris kayu.
“Hari ini kita mewarna!” Kata Amron setelah berpuas hati dengan lukisan perspektif kami pada bulan seterusnya. Saya bancuh Plaka warna abu-abu dan… zas! sapuan warna saya terlalu tebal dan menghilangkan terus garis-garis pensil pada charcaol paper. Amron terkejut. Saya apatah lagi. Terkejut beruk. Opaque! Memang tidak boleh diselamatkan lagilah.
“Lukis semulalah!” Kata Amron.
Aduhhh….
Bosan kerana kena melukis semula, saya pergi tolong pegangkan bingkai silk screen seorang pelukis tua di kawasan lapang di tengah-tengah rumah APS. Ada imej bunga daripada ropol-ropol plastik alas meja tertera pada permukaan skrin berwarna biru tersebut. Saya tanya, “Pakcik nak buat apa ni?” Dia kata, “Nak buat lukisan!” [Beberapa tahun kemudian, barulah saya tahu pelukis tua itu Ismail Zain (Allahyarham)].
Bila lapar, saya mengajak Man Tiup naik ke atas bumbung bangunan APS melalui tangga pusing di tepi foyer. Buah rambutan sedang masak ranum. Pokoknya tumbuh betul-betul di tepi rumah APS dan dahan-dahannya yang sarat dengan buah tidak memerlukan kami bersusah payah untuk ambil dan makan. Bila sudah jelak – kami turun ke bawah semula. Nak tunggu abang-abang APS belanja kami roti canai di Lorong Binjai – petang-petang sikitlah [Selalunya ketika mereka baru dapat duit hasil menjual lukisan]!
Bosan makan rambutan – saya sertai Izan di dalam darkroom. Saya letak daun buluh Cina pada kertas fotografi dan dedahkannya di bawah cahaya enlarger untuk beberapa saat dan saya ulang proses itu beberapa kali. Kemudian saya ‘cuci’ kertas fotografi tersebut dengan larutan khas; terhasillah imej daun buluh Cina yang bertindih-tindih dalam kadar opacity yang perbagai. Izan kata, “Cantik, you! Tak ada kamera pun… you masih boleh buat art!”
Bosan buat ‘art berat’ – saya ‘mengusik’ Izan di dalam darkroom. Dalam cahaya berwarna merah samar-samar, Izan nampak cantik menawan. Dan saya suka cabut bulu roma halus pada lengannya dan Izan akan panggil saya, “Setannn!!!” kemudian. [Well, apalah remaja lelaki baru nak up seperti kami ini faham tentang bersikap romantik, kan!?] Dari luar bilik – orang boleh dengar bunyi bising macam orang laki bini bergaduh. Bunyi besen melayang menghempas dinding, bunyi tolak-menolak, bunyi Izan menjerit-jerit, “Bukak pintu! I nak keluarlah, Setannn!!!”
[ , ]
Beberapa tahun kemudian, Izan melanjutkan pelajaran dalam ilmu Seni Halus di USM, Bad melanjutkan pelajaran dalam ilmu Seni Halus di UiTM, saya dan Sepol menyertai Unit Reka Bentuk DBP, Man Tiup menyertai Unit Grafik Yellow Pages, dan Raja…
“Hello, pakcik! Boleh saya bercakap dengan Raja?”
“Di dalam rumah ni semua Raja! Nak bercakap dengan Raja yang mana satu?”
************************
Penulis adalah Bendahari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Membandingkan Rumah APS dengan Rumah PENA, dia mengulas – “Tidak seperti Rumah APS…, Rumah PENA sunyi. Tak ada orang menulis di sini pada setiap hujung minggu.”
