“Pictura est laicorum literatura”
(“Gambar adalah kesusasteraan orang awam”)
TANGGAL 21 Disember yang lalu berlangsungnya majlis perasmian Hentian Buku Selangor yang bertempat di Tingkat 2, Kompleks Hentian Kajang. Majlis sederhana lagi marhaenis ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang dalam ucapannya turut mengaku sebagai seorang bibliofil sejak kecil, dipupuk oleh ibu bapa beliau. Melalui buku beliau tenggelam ke dalam dunia fiksyen yang dicipta para sasterawan. Beliau ‘dirasuk’ masuk ke dalam kisah-kisah dongeng yang dikarang, antaranya ‘menunggang kuda bersama laskar berkuda Rohan’, ‘menyaksikan cinta Severus Snape buat Lily Potter’, ‘merasai keperitan Lahuma yang tapak kakinya ditusuk duri nibung’. Begitulah keajaiban buku yang berupaya menarik manusia ke dalamnya dari alam sedar. Tapi, pada zaman sekarang apalah beza buku dengan sebuah telefon pintar? Sama sahaja, mengkhayalkan manusia dari realiti sebenar.
Beberapa hari sebelum, juga di lokasi yang berdekatan (lebih kurang 10 minit memandu kereta) di Hotel Royal Park, UNITEN, Bangi dianjurkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional dan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-4. Sejak November tahun ini sehingga Januari 2025, Balai Seni Negara pula menganjurkan ‘Manifestasi Dua Seni: Memartabatkan Seni dan Sastera’ sebagai kesinambungan projek kolaboratif antara seni visual dan sastera yang berlangsung sejak beberapa dekad dahulu. Program ini menyaksikan penglibatan pelbagai persatuan seni dan budaya seluruh negara seperti; Roman Buku (Kuala Lumpur), PORT Ipoh (Perak), Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer), SENIKA (Pahang), Kotak Seni (Kelantan), Ambeng Art Space (Johor), Kumpulan Pelukis Negeri Melaka, Persatuan Seni Visual Sabah, dan Haus KCH (Sarawak).
Dari penganjuran acara-acara tersebut dan pelbagai lagi kebelakangan ini kita dapat menyimpulkan bahawa program seni-budaya baik seni rupa maupun sastera tidaklah lembap malah sangat aktif menuruti arus deras kemodenan dan visi madani parti kerajaan. Namun, apakah dengan meriahnya program bermakna ekonomi juga sedang berkembang pesat, dan kuasa membeli masyarakat turut bertambah baik? Atau penganjuran program oleh badan-badan kerajaan dan GLC yang biasanya rancak pada setiap hujung tahun sekadar aktiviti menghabiskan dana kementerian berkaitan sebelum bajet tahun depan dirangka semula? Persoalan ini hanya mampu dijawab oleh para birokrat seni dan penjawat yang terlibat.
Pertembungan kertas dengan dakwat
Yang dikatakan buku itu apabila sejumlah teks atau imej dicetak ke atas kertas dengan cairan dakwat, yang kemudiannya disusun dan dijahit menjadi manuskrip (naskhah). Melalui sumber arkeologi, teknologi pembuatan kertas diketahui bermula di China sewaktu era Dinasti Han, sekitar tahun 200 S.M. Tapi sebelumnya lagi medium ini telah pun lahir di Mesir purba, di mana perkataan paper berasal dari kata ‘papyrus’, bahasa Yunani kuno yang bermaksud sebuah bahantara yang diproses dari empulur Cyperus papyrus, sejenis rumput yang tumbuh meliar di paya lanar sungai Nil, Mesir. Dalam bahasa Melayu, kata kertas berasal dari qirṭās yang lazimnya diambil dari bahasa Arab selepas kedatangan Islam.
Berabad-abad kemudian sekitar tahun 1440, Johannes Gutenberg – tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia percetakan dan perbukuan – seorang pereka dan artisan dari Jerman mereka cipta mesin cetak movable-type yang kemudiannya membantu mempercepatkan proses pembuatan buku secara produksi massa sekali gus ‘mendorong’ manusia menuju ke era Renaissance, Reformation hingga tercetusnya gerakan fahaman humanisme dari dunia Barat. Pada tahun-tahun awal penciptaan mesin cetak, dikatakan para kolektor buku yang mahakaya di Eropah berasa malu jika ada buku bercetak dalam koleksi mereka. Demi menjaga status, mereka hanya mengumpul manuskrip bertulis tangan oleh para katib (scribe), jurutulis yang berbakat seni dalam menulis kaligrafi dan melukis hiasan di dalam manuskrip yang indah – direka khusus setiap satunya melalui hasil kerja tangan.
Zaman berubah, buku yang awalnya dalam bentuk kitab agama, hukum-hakam dan hanya diedar secara eksklusif dalam kalangan mahakaya, kerabat-kerabat diraja akhirnya menjadi naskhah mampu milik oleh orang awam, dan berkembang dalam pelbagai genre. Umpama pisau bermata dua, di sebalik manfaat ilmu yang dapat disebarkan dengan cepat, revolusi teknologi penerbitan buku secara massa juga membawa mudarat bagi anggapan segelintir golongan terutamanya agamawan dan kuasawan. Contohnya pada zaman moden ini, bayangkan sebuah kilang cetak yang mencetak buku-buku agama turut mencetak buku-buku yang antiagama, macam absurd tapi tidaklah pelik pun. Melihat dari sudut positif, para bibliofil patut berterima kasih kepada tamadun China (juga Mesir) yang menemukan kertas dan Gutenberg yang memudahkan kerja percetakan kerana hasil daripada daya cipta mereka membolehkan kita membaca lembaran novel popular dan antologi puisi avant-garde masa kini. Manfaat atau mudarat yang didapati dari sesebuah buku itu bergantung kepada hati nurani setiap pembaca.
Bedah buku secara harfiah
Dipersilakan ambil senaskhah buku yang paling dekat dengan anda. Perhatikan format teks dalamannya. Pembaca umumnya tidak ambil tahu pun jenis typeface apa yang dicetak atas kertas dalamannya. Adakah ia Garamond, Caslon atau Baskerville? Kenapa ia cantik tersusun dengan paragraf yang direka sebegitu rupa. Jarak antara baris (leading) dan antara huruf (kerning) disusun sebaik mungkin membolehkan pembacaan lancar dan tidak terganggu. Saiz font juga sedap dipandang mata, tidak terlalu kecil dan tidak pula terlampau besar. Running head di atas sebelah kanan dan kiri muka surat memudahkan pembaca merujuk judul setiap bab, di mana setiap bab dimulakan pada muka surat kanan (recto), ada yang drop cap sebagai penghias teks setiap permulaan bab (kadangkala terselit ilustrasi). Menyelak ke muka kiri (verso), jarak dan saiz marginnya diselaraskan di sekeliling halaman yang terpampang. Setiap rumah penerbitan ada house style yang tersendiri. Bezakan kualiti reka bentuk buku dari penerbit antarabangsa dengan lokal, penerbit tersohor dengan penulis pemula yang mereka bentuk bukunya sendiri. Bukan hendak memperlekehkan hasil karya penulis mandiri. Setiap seniman-sasterawan pasti bermula dengan hasil karya yang pertama, sebelum menambah baik pada karya-karya yang berikutnya.
Dari pembacaan pada teks buku pembaca bertemu dengan simbol-simbol tertentu dalam tipografi yang setiap satunya punyai maksud dan sejarah yang panjang sebelum difahami secara kolektif apa makna yang dibawa. Di sebalik membaca alur cerita dalam sesebuah buku, perhatikan juga simbol-simbol berikut; huruf besar & huruf kecil, tanda noktah (.), koma (,), tanda petik (“”), tanda petik tunggal (‘’), tanda seru (!), tanda soal (?), noktah bertindih (:), hyphen (-), dash (–), em dash (—) asterisk (*) dsbnya. Boleh guna ChatGPT untuk ketahui setiap satu simbol dan tafsiran maksudnya. Setiap huruf dan simbol-simbol yang membentuk teks ini juga sebenarnya berasal daripada sebuah ‘lukisan’ yang dilukis oleh seorang tipografer pada masa lalu dan ia turut membawa tanda, mesej dan memberi makna dalam minda seorang pembaca. Melalui ilmu dan pengalaman, seseorang akan tahu misalnya kesesuaian rupa taip serif dan sans serif sewaktu mereka bentuk teks judul di kulit buku atau teks dalaman.
Mengkaji anatomi sesebuah buku memberi kesedaran bahawa selain daripada nama pengarang yang terletak di sampul, kerja menerbit sesebuah judul itu memerlukan kerjasama beberapa lagi insan kreatif, artisan belakang tabir, wira-wira tak didendang; para editor, pembaca pruf, pereka teks dalaman, pereka grafik, ilustrator, malahan artis DTP (desktop publishing) yang menjaga kualiti warna hasil akhir sesebuah karya dari format skrin (RGB) ke bentuk buku bercetak (CMYK). Ini belum termasuk eksekutif pemasaran, ejen-ejen persuratan, penjual buku, pemilik kedai buku dan lain-lain. Kesemua kerjaya ini bergerak dalam sebuah ekosistem persuratan yang saling memerlukan antara satu sama lain. Sudah tentu ia merupakan ‘manifestasi aneka seni’ dan bukan terhad kepada dua dan tiga bidang kesenian sahaja.
Berbalik kepada kelahiran Hentian Buku Selangor, saya berpendapat sesebuah lokasi atau ruang komuniti itu secara organik akan tumbuh dan berkembang dengan sendirinya, tak wajar bergantung terhadap dana kerajaan semata-mata. Bentuk komuniti ‘niche’ yang tersendiri, saling bertukar pandangan dan berkongsi buah fikiran yang bernas, pasti banyak lagi ‘hentian buku’ seumpamanya akan lahir di lokasi-lokasi lain.
– M. FAREZ KARIM (lahir 1980) seorang penulis, penerbit, penjual, pereka dan pengumpul buku secara eceran. Lawati dan ikutilah Studio Kaukab di laman medsos Facebook, Instagram dan X. Untuk portfolio karya peribadi boleh ke mfarez.com

