2 Ogos 1982, tarikh ambo jadi orang Kuala Lumpur. Jadi orang KL. Dari KL ke KL. Kampung Landak ke Kuala Lumpur. Sebelum itu ambo pernah juga ke Singapura. Kerja kontrak. Sebulan dua sahaja, balik. Ini akan kekal lama di luar kitaran ambo. Tinggal menumpang rumah Kak Munah Abang Omar. Tak pernah ambo menumpang orang sebelum ini.
Jadi orang KL ni banyak mengubah hidup ambo. Pukul 6 pagi dah kena bangun. Tak pernah ambo bangun pagi macam ini. Pagi-pagi tunggu bas mini. Ada punch kad. Naik lift dari tingkat bawah ke tingkat 5. Tak pernah ambo jumpa lift di Kota Bharu. Ambo dah ada buku bank dan kad ATM. Sebelum itu ambo tidak memiliki buku bank dan kad ATM. Bank pun tak pernah ambo jengok sebelum ini. Dan satu lagi yang tak pernah buat selama ni “berkecek luar”. Kena adjust lidah lah bila jadi orang KL ni.
Tak sampai sebulan, ambo dah kenal hampir semua pekerja di DBP. Ambo jual cerita-cerita kelakar setiap hari. Rehat jam sepuluh pagi, rehat tengah hari dan rehat jam tiga petang ambo bercerita. Hari-hari kawan satu bahagian ambo belanja makan dan minum. Dia orang ajak sebab nak dengar cerita-cerita ambo. Baru ambo sedar bahawa banyak cerita kelakar dan yang berbaur lucah dalam kepala otak ambo selama ni.
Duit poket sebanyak RM175 yang ayah bekalkan tak habis sampai ambo dapat gaji pertama. Begitu lah.
Kata Arwah Othman Haji Zainudin seorang penulis skrip dan pengarah drama yang masa itu juga pelukis DBP , “kau ni boleh berlakon, nanti aku buat teater aku panggil kau”. Segera ambo jawab “boleh”.
Tak lama selepas tu dia panggil ambo berlakon tapi bukannya teater tapi jadi model kulit buku teater. Buku teater Ajong. Dia yang make up ambo.

Setahun kemudian Imuda ajak ambo uji bakat berlakon. Zakaria Ariffin nak buat teater tajuk Bunga Rumah Makan. Ini naskhah terjemahan.
Ambo masa itu ikut sahaja apa yang orang pikir ambo boleh buat. Mana tahu kalau memang betul ambo boleh buat. Sebelum itu Ayem, kawan pelukis yang juga anggota band Dewan ada kata ambo macam drummer. Dia tanya “kau boleh main dram?”. Ambo jawab “boleh”. Petang itu dia test ambo main. Ambo pun palulah. Dia gelak besar. Kata Ayem, “kau kata kau boleh?”. Ambo jawab, “aku ingat aku boleh”.
Masa uji bakat, Zakaria bagi skrip. Ambo baca lah. Ambo rasa sedap sangat cara ambo berdialog tu.
Kata Zakaria, “wah, macam Ahmad Yatim”. Betul ambo tiru gaya Ahmad Yatim. Pelakon yang ambo minat selepas Ahmad Mahmud dan S Kadarisman. Ambo selalu tiru dialog Ahmad Yatim dalam filem Abang. Ambo bangga bila Zakaria kata macam tu. Entah dia puji atau perli. Ambo tak peduli. Janji dia tahu itu Ahmad Yatim.
Sebenarnya sampai sekarang ambo tak tahu uji bakat itu ambo lulus atau tidak. Tahu-tahu Zakaria tak jadi buat teater itu.
Setahun lepas tu, 1984 Othman benar benar buat teater. Badan Budaya DBP nak pentaskan novel Hari Hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan. Dia tunai janji. Ambo diberi watak Mat Junuh anak lelaki Pak Hassan yang pernah kena demam panas.
Tiga hari skrip reading, ambo dah rasa sesuai dengan watak Mat Junuh yang bodoh-bodoh alang. Rujukan ambo pada watak Agok lakonan Mohamad Abdullah (Pak Busu) dalam drama RTM, Assyura.
Kawan-kawan satu bahagian semua dah tahu. Alih-alih lepas itu Othman tak jadi buat. Di ambil alih oleh Johan Jaaffar. Dia yang akan mengarah dan tulis skripnya. Paling kecewa nama ambo tercicir dalam senarai pelakon Johan. Beberapa hari latihan mereka bermula ambo tak pergi jengok pun. Malu dengan kawan-kawan satu bahagian. Akhirnya Othman ajak ambo, katanya dia dah bagi tahu Johan.
Petang tu ambo masuk ke bilik latihan. Masih skrip reading. Empat orang pelakon yang ambo tak kenal. Salah seorangnya pelakon drama tv. Johan bawa kawan-kawan dia dari luar. Pelakon tv itu yang pegang watak Mat Junuh. Ahmad Busu namanya. Ambo baru tahu namanya pada petang itu. Watak Pak Hassan dipegang oleh Wan Hanafi Su, pelakon teater dari group teatar Terengganu, Wan Maimunah Aziz pelakon dan penari KBN dan Zanariah Wahid juga pemain teater dari luar. Watak-watak utama Johan bawa dari luar. Habis ambo?
Skrip dah berubah. Ada watak Tok Selampit. Itu watak bayangan Pak Hassan masa muda. Tok Selampit adalah watak yang bercerita tentang seluruh cerita ini. Watak itu diberi pada Wan Yusuf Hassan. Dia kakitangan DBP. Seorang penulis dan sedang sambung belajar di Universiti Malaya. Dia pernah main watak utama dalam teter Johan sebelum ini dengan watak yang hampir sama, duduk di satu tempat dan tak bergerak ke mana-mana. Sama dengan Tok Selampit. Bila Othman bisik pada Johan baru dia minta ambo baca dialog Tok Selampit. Tentunya dia cuma ambil hati Othman. Dia lebih percaya pada Wan Yusuf. Tentunya.
Wan Yusuf rehat dan tengok ambo buat. Ambo sebenarnya tak pernah tengok orang main Selampit di Kelantan. Masa ambo membesar Selampit dah pupus. Ada seorang dua lagi yang tinggal. Jadi ambo baca cara tok dalang wayang kulit. Ia lebih bertenaga. Semua orang seolah terpukau bila ambo mula baca dialog tu. Satu persatu ambo lenggokkan gaya dalang. Johan bergerak ke hulu ke hilir macam orang tunggu bini lahirkan anak pertama. Sesekali nampak dia angguk-angguk kepala.

Masuk hari kedua ambo skrip reading, ambo diberitahu ambo akan pegang watak Tok Selampit. Ambo jumpa dengan Wan Yusuff di lobi DBP. Dia bagi tahu dia tarik diri. Dia tak nak urusan belajarnya terganggu.
Dia sebenarnya bawa watak itu dengan baik. Cuma barangkali lebih ambo sebab ambo angkat sikit sahaja energy daripada dia. Dan kemudiannya kata Johan dia suka energy ambo bawa walaupun bukan cara Tok Selampit sebenarnya. Katanya sesuai untuk teater ini.
Rezeki. Ambo hanya pergi dengan angin.
Ambo tak pernah main teater. Kali pertama menonton teater di KL pun masa dah sebulan latihan Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman. Masa tu Dinsman pentaskan teater Bujang Lapok. Sani Sudin, Usop, Siso, Hazali Ramli, dan Rodi Noer antara pemainnya.
Pernah juga masa tingkatan enam ambo cuba nak pentaskan Mayat karya Hatta Azad Khan di malam ulang tahun IP. Tapi tak jadi. Kawan-kawan tarik diri sebab tak berani.
Ambo nak buat tu pun “pergi dengan angin”.
Dua bulan juga rasanya mengerjakan skrip HHTSS. Tidur, bangun, mimpi Watak Tok Selampit. Ketua Bahagian Reka Bentuk, Che Rahim pula macam tak seronok dengan ambo masa itu. Dia kata “main teater bukan dapat duit. Penat saja dapat. Kerja terganggu. Baik awak buat kerja luar”. Dia nak bagi ambo buat gambarajah buku matematik sekolah rendah. Katanya sekeping tiga puluh ringgit. Satu buku mungkin dapat tiga ribu ringgit. Ambo tolak. Ambo kata tunggu habis teater dulu. Dia tak tahu “angin“ kita.
Dengan HHTSS ambo jumpa “angin-angin” yang lain. Banyak “angin“ dalam diri ambo ada dalam sebuah skrip rupanya. Ambo juga jumpa props, set dan pencahayaan, itu angin melukis. Ambo jumpa penghayatan, lontaran suara, gerak, mimik. Itu angin tukang cerita. Angin sastera. Baca cerpen, baca sajak semua kena ada itu semua. “Jjijok angin” kata Kelantan. Dengan HHTSS jugak ambo pertama kali naik kapal terbang. Kita ke Sabah dan Sarawak.

HHTSS juga wakil negara dalam KL Art Festival 1985. Ambo sekali lagi masuk ke Singpura. Kalau dulu masuk sebagai pekerja kontrak. Orang Singapura tak peduli pun. Dengan HHTSS ambo main di Panggung Victoria. Penuh penonton dan mereka bertepuk.
Semuanya tidak berlaku kalau ambo tak “pergi dengan angin”.
1986 sekali lagi kami berteater di Singapura. Mewakili negara dalam Singapore Art Festival. Kali ini kita pentaskan Salina di Drama Centre.
Tahun 1988 sekali lagi ambo pegang watak Tok Selampit dalam naskhah Tok Selampit mewakili negara di First Asean Teater Festival di Manila. Naskhah Dr Anuar Nor Arai dan arahan Zakaria Ariffin.

Zakaria Ariffin juga bawa ambo lagi ke SOAS London. Pentaskan Matinya Seorang Pahlawan karya Usman Awang di Minggu Sastera Malaysia London 1992.
Ambo bersyukur kalau ambo tak “pergi dengan angin“ dari muda dulu, hari ini mungkin ambo dah “tak ada angin”.
– SABRI YUNUS merupakan seorang pengarah dan pelakon yang sering menampilkan kesenian dan kebudayaan Kelantan dalam karyanya.

