MUMBAI yang dulunya dikenali sebagai Bombay adalah ibu negeri Maharashtra yang juga bandaraya India dengan jumlah penduduk terbanyak, yakni sekitar lebih 21 juta orang. Sinema India telah sekian kali melayar dan memerihalkan Mumbai, dari lubuk aspirasi menempa kejayaan (Shree 420, Raj Kapoor, 1955) hinggalah ke dunia sadis penjenayahan (Satya, Ram Gopal Varma, 1998). Malah, pemenang Cannes 1988, Salaam Bombay! (Mira Nair), filem neorealis India ikonik dalam ranah sinema dunia juga memanfaatkan kota ini sebagai milieu eksploitasi, kemelaratan dan kelangsungan hidup bagi kanak-kanak gelandangan.
Filem terkini yang menyerlahkan Mumbai sebagai karekter adalah All We Imagine as Light (2024) arahan Payal Kapadia – juga pemenang Cannes (Grand Prix) tahun ini – yang saya tonton dan rasa sangat terkesan di JAFF19 (Festival Filem Asia Jogja-NETPAC) baru-baru ini. Namun, filem ini bukan saja menyingkap perspektif berbeza terhadap kota metropolitan ini berbanding Salaam Bombay! tetapi juga perubahan pesat yang melanda bandaraya ini selepas lebih tiga dekad. Sebagai sebuah filem, All We Imagine as Light juga begitu jauh meninggalkan karya Mira Nair itu.
Fokus cerita bertumpu kepada Prabha dan Anu, dua wanita Malayali dari Kerala, pekerja hospital di Mumbai yang juga rakan serumah dengan hubungan seperti kakak-adik, ibu-anak. Selain itu, Prabha pula berkawan rapat dengan Pavarty (yang jauh lebih tua darinya), seorang tukang masak di hospitalnya. Bila Pavarty terpaksa pulang ke kampung halamannya, Prabha dan Anu turut berlibur ke sana sambil membantunya berpindah. Peralihan ruang yang mereka alami mula merubah hidup mereka. Dalam konteks ini, All We Imagine as Light adalah potret berepisod tentang persahabatan tiga wanita berbeza generasi yang merentas ruang.
Dapat dikesan, pengarahan Payal Kapadia yang mapan lagi bergaya dipengaruhi sentuhan pengarah wanita Eropah seperti Agnes Varda dan Chantal Akerman. Juga filem-filem Satyajit Ray seperti Days and Nights in the Forest (1970) dan beberapa karyanya tentang Kolkata seperti The Big City (1963) dan trilogi Kolkata (1970-1975). Saya teringatkan beberapa filem lain dengan tema setiakawan dan solidariti wanita, contohnya, Scent of the Lotus Pond (Satyajit Maitipe, 2004, Sri Lanka) dan Factory Girl (Mohamed Khan, 2013, Mesir), kedua-duanya masih cenderung diikat kelaziman melodrama. Manakala Adam (Maryam Touzani, 2019, Maghribi) pula yang agak gelap lagi mencengkam begitu berpacukan watak dan lebih menjurus kepada ruang domestik.
Antara perkara yang menarik perhatian saya (dan juga adalah kelebihan filem ini) adalah pendekatan ceritanya yang tidak sepenuhnya bergantung kepada plot, selain tidak didekati dengan melodrama atau hal-hal sentimental walaupun Payal punya ruang untuk berbuat demikian. Filem ini dibuka seperti sebuah dokumentari dengan montaj yang mencerap para penjaja, peniaga dan buruh dengan ritual kerja harian mereka. Tablo ini disandingkan dengan latar suara beberapa para penghuni Mumbai (sebenar) yang berkomentar (dalam pelbagai bahasa) tentang kota ini yang tandus sukmanya, yang sukar dianggap sebagai ‘rumah’ dan hanya berperanan sebagai ruang meraih rezeki sahaja.
Sekuen pembukaan tadi sudah memberikan bayangan kepada penonton tentang tema dan persoalan filem ini yang berkaitan hal-hal kediantaraan, kesementaraan dan ketidakpastian, contohnya, Mumbai sendiri menjadi ruang persinggahan bagi para penghijrah dan pekerja migran. Malah, secara emosinya juga, Prabha dan Anu sedang melalui keadaan-keadaan seperti kesementaraan dan ketidakpastian. Prabha, umpamanya, berada di persimpangan dilema bila didekati seorang doktor di hospitalnya kerana status beliau yang sudah bersuami. Namun, si suami yang berada dan bekerja di Jerman sudah bertahun lamanya sepi tanpa berita dan mereka hanya sempat bersama dalam beberapa hari saja selepas berkahwin. Manakala Anu pula yang muda-remaja agak rebellious, sedang kemaruk asmara (secara rahsia) dengan Shiaz, seorang pemuda Muslim, namun tidak pasti sejauh mana hubungan mereka akan pergi.
Secara visualnya juga dikiaskan yang Mumbai adalah kota yang menghuni segala paradoks dan kompleksiti. Lihat saja ruang-ruang awam yang padat, sesak dan sibuk, dari kereta api komuter dan perkarangan stesennya, hinggalah ke hospital, tapak penjaja jalanan, kedai makan dan ruang perhimpunan awam – kesemuanya menunjukkan Mumbai yang meriah, berselerak dan chaotic. Secara kontrasnya ditonjolkan ruang-ruang kosong (dalam kereta api pada awal pagi atau lewat malam dan interior pangsapuri) dengan iringan senyap-sunyi, yang menangkap kesepian dan keterasingan hidup penghuninya.
Cahaya berfungsi sebagai motif sinematik yang bukan sahaja mencirikan bentuk filem ini, tetapi juga menawarkan detik-detik yang cukup indah sepanjang filem ini. Contohnya, cahaya garang lampu-lampu neon jalanan; letupan bunga api rancak menerangi langit; cahaya projektor dalam ruang pawagam; flashlight telefon bimbit Prabha ketika membaca buku puisi di tepian jendela pangsapurinya; cahaya kecil yang dihidupkandalam gua yang ditandang Anu dan Shiaz; dan, syot akhir dengan kerdipan lampu-lampu kecil berwarna-warni sebuah warung makanan tepian pantai, manakala di langit hitam pula – seolah-olah satu biasan – dipenuhi kerlipan bintang-bintang. Kesemua elemen cahaya ini menerangi ruang-ruang gelap yang dipaparkan, lalu mengungkap segala kemungkinan, impian dan harapan yang sentiasa didambakan Prabha, Anu dan Pavarty.
Babak-babak eksterior di Mumbai melibatkan realisme persis dokumentari yang bukanlah getir sifatnya. Ini sejajar dengan alunan piano berperisa jazz sebagai runut bunyi yang memberikan feel dunia dan budaya bandar, di samping sesuatu yang romantis dengan semacam nada gurauan dan sendaan (menyarankan sesuatu yang tidak serius?). Babak-babak eksterior ini menciptakan rentak dan gerak tertentu yang sedikit pantas, yang diperkasakan teknik suntingan: laluan laju gerabak kereta api komuter; projek pembangunan yang sedang mengambil tempat; curahan air hujan yang berterusan; dan, kerumunan dan pergerakan manusia di fiesta kebudayaan. Gambaran ini dibezakan pada separuh kedua filem bila Prabha dan Anu meninggalkan hiruk-pikuk kota untuk berlibur di kampung Pavarty di daerah Ratnagiri, dengan menampilkan rentak dan gerak yang lebih lembam lagi bersifat menungan, serta ditandai aura dan kualiti seperti mimpi atau lamunan di siang hari.
Mumbai diwarnai dengan rona biru pucat yang mendominasi hampir keseluruhan kanvas filem ini. Sinematografi Ranabir Das berupaya memancarkan tekstur dan mood yang berbeza mengikut peralihan cuaca bila watak-wataknya mengalami perubahan lokasi. Mumbai digambarkan ketika musim tengkujuh dengan ruang kotanya sentiasa dibasahi dan dilimpahi curahan air hujan. Manakala visual di kampung pesisir pantai di Ratnagiri jauh lebih cerah dan terang-benderang kerana cahaya semulajadi digunakan – landskap kedesaan yang menghijau dan lautan biru dengan suara desiran ombak dinaungi terikan cahaya matahari. Di ruang kedesaan inilah Prabha dan Anu mengecapi sesuatu yang transendental, yang berkaitan transformasi dan penyembuhan diri yang mungkin juga tidak disedari mereka. Maka, konflik watak-wataknya, terutamanya Prabha (dimantapkan rincian dan nuansa lakonan Kani Kusruti), bukanlah yang tertonjol secara lahiriah tetapi adalah gejolak emosi secara batiniah. Di sini, Payal berupaya melayarkan hal-hal terpendam atau yang tidak dilepas-bebaskan, perkara-perkara yang bersifat sementara dan tidak pasti. Beliau membuktikan yang sinema adalah sesuatu yang berjarak atau bersimpang di antara perkara-perkara atau benda-benda.
Menariknya juga, Payal tidak lewah dalam menyelit masuk pernyataan politiknya dalam konteks fabrik dan tatanan sosial di Mumbai. Contohnya, isu hubungan cinta antara penganut agama berbeza (Anu dan Shiaz), selain isu Pavarty yang digesa keluar dari pangsapurinya oleh pemaju hartanah yang haloba bagi menjayakan projek pembangunan kediaman golongan borjuis. Babak sesi perjumpaan dan ceramah kesatuan sekerja yang melibatkan Pavarty dan ramai peserta yang bersemangat dipersembahkan secara sepintas lalu saja. Hasrat si doktor yang meminati Prabha yang ingin meninggalkan Mumbai kerana masalah komunikasi bergelut menguasai bahasa Hindi adalah satu sanggahan terhadap budaya dominan atau naratif kekuasaan.
Gemblengan unsur-unsur misteri dan keberhantuan turut menyulamkan kisah pergelutan tiga wanita di kota besar ini dengan dimensi subjektiviti dan ambiguiti. Sewaktu di Mumbai, Prabha dikejutkan dengan kiriman pos sebuah periuk nasi elektrik yang canggih tanpa nama pengirim walaupun diandaikan mungkin suaminya di Jerman yang mengirimkannya. Pada bahagian kedua cerita, lelaki yang lemas di laut lalu diselamatkan Prabha itu turut mengundang pelbagai tanda-tanya kerana beliau tiba-tiba bertutur seperti seorang suami kepada Praba. Sekuen ini dibayangi babak awal filem bila seorang pesakit warga emas yang dirawat Prabha sering mendakwa tentang kemunculan ‘hantu’ suaminya (yang telah mati). Malah, ini turut mengingatkan saya kepada filem pendek Payal, Afternoon Clouds (2016), tentang seorang majikan wanita berusia 70 tahun yang sering bermimpi tentang jelmaan suaminya.
All We Imagine as Light adalah sekaligus satu homaj dan kritikan Payal Kapadia kepada Mumbai, di mana manusia-manusianya bergelut dengan rasa dambaan dan keinginan memiliki. Filem ini adalah tentang hal-ehwal ruang atau tempat. Juga bagaimana ruang atau tempat mencorakkan emosi dan rohani para penghuninya, terutamanya dalam menstatikkan atau menganjakkan kehidupan mereka. Ruang-ruang inilah yang menciptakan dunia cerita pengarahnya yang tampak hidup dan realistik, namun pada masa yang sama tampil puitis lagi magis.
–NORMAN YUSOFF adalah pensyarah kanan bidang filem di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM.

