SAYA sudah biasa mendengar lagu-lagu nasyid Al-Jawaher. Ketika bersekolah rendah Pendidikan Khas OKU penglihatan di Johor, kami dapat mendengar siaran radio dari Singapura. Lagu-lagu seperti Ya Ilahi, Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya kerap diputarkan. Ketika itu, saya beranggapan irama lagu nasyid sekadar lagu keagamaan yang akan didengar sebelum azan. Perkara ini berlanjutan sehingga dewasa. Ada ketikanya, apabila rindu mahu mendengar semula nyanyian nasyid Al-Jawaher, saya akan mencarinya di Youtube.
Saya mengambil keputusan untuk menulis satu makalah untuk Simposium Muzik Ipoh (2025). Saya meneliti tema-tema kepengarangan lirik nasyid Al-Jawaher. Memulakan langkah dengan men-google data arkib muzik dan mendengarnya dari Youtube. Saya membayangkan, simposium akan didominasi oleh kalangan yang mengangkat nasyid era baru seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz.
Proses menyalin lirik-lirik pilihan dimulakan. Fikiran saya berhenti sejenak. Membaca semula lirik-lirik Senandong Unggas yang termuat dalam album kedua Al-Jawaher; Perjalanan (1981). Lagu ini berada di trek kedua album tersebut.
Dari aspek susunan tema kerohanian, Senandong Unggas berada di antara Kembara Di Tanah Gersang dan Perjalanan. Lirik Senandong Unggas ditulis oleh M. Nasir. Saya mendengar lagu ini berulang-ulang. Saya mula berhipotesis; adakah ini perintis kepada Tanya Sama Itu Hud-Hud?
Khalayak umum mengatakan, lirik-lirik nasyid lazimnya bergerak lurus. Hal ini selari dengan pendekatan lagu nasyid yang menyampaikan mesej mereka secara berterus-terang. Ini sifat lagu dakwah dalam memindahkan pesan-pesan keagamaan kepada masyarakat awam. Adalah ganjil seandainya lirik nasyid menghimpun metafora dan simbolisme. Begitulah perihal menarik yang dirakamkan dalam lirik Senandong Unggas.
Dalam lirik Senandong Unggas (1981), penulis memilih tiga jenis burung sebagai simbolisme jiwa dan perjalanan kerohanian manusia. Ketiga-tiga burung (pungguk, camar dan kenari) mempunyai makna dan nilai tersendiri dalam sastera, puisi, lirik dan budaya.
Lirik Senandong Unggas akan membawa pembaca menyusuri teks sufisme Mantiq al-Tayr karya Farid al-Din al-‘Attar. Dalam karya ini, pengarang menggambarkan kisah-kisah perjalanan burung -burung yang mencari Raja Simurag. Segala naratif tersebut dirakamkan secara jelas dalam lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud. Lirik lagu ini ditulis oleh Loloq.
lihat dunia dari mata burung
atau lihat dari dalam tempurung
yang mana satu engkau pilih
dalam kalut ada peraturan
peraturan cipta kekalutan
di mana pula kau berdiri
di sini
‘Attar membicarakan pengembaraan ribuan burung menyusuri tujuh lembah. Tujuh lembah ini adalah tamsil maqamat dan ahwal jiwa manusia.
Tujuh lembah kerohanian yang mencerminkan perjalanan jiwa menuju penyaksian hakikat. Lembah-lembah yang dimaksudkan ‘Attar adalah lembah pencarian, lembah cinta, lembah makrifat, lembah pengguguran, lembah kesatuan, lembah kebingungan serta lembah fana’ dan baqa’.
Mantiq al-Tayr tidak menyebut secara terperinci nama burung-burung yang “sampai hanya tiga puluh” dalam pendakian kerohanian seperti yang disebut dalam Tanya Sama Itu Hud-Hud. Senandong Unggas memilih naratif yang lebih cair. Sisi-sisi maqamat dan ahwal disampaikan secara lebih halus.
Senandong Unggas menggunakan burung sebagai perlambangan. Burung pungguk, camar dan kenari. Tiga jenis burung dijadikan simbolisme jiwa manusia. Simbolisme ini tidak sekadar mewakili tiga ragam jiwa. Ia dapat ditafsirkan sebagai tiga tahap pengalaman kerohanian insan itu sendiri. Dalam perspektif pengalaman kerohanian; jiwa manusia bermula dengan perlambangan jiwa kenari, camar dan pungguk.
seperti kenari menyanyi
seperti camar mengembara
seperti pungguk merindui Yang Esa
Secara mudahnya penggunaan perlambangan pungguk berfungsi mencitrakan (rindu), camar (jiwa mengembara) dan kenari (suara batin).
Pungguk (rindu) itu lambang keasyikan yang tidak berbalas, cinta yang sunyi dan pengharapan yang mustahil. Camar (jiwa mengembara) menggambarkan keadaan pengembara yang bebas tapi tetap mencari arah pulang. Kenari (suara batin) mewakili nyanyian jiwa yang halus, suara hati yang sering tidak didengari dan keindahan yang terkurung dalam sangkar.
Dalam konteks hubungan manusia dengan Tuhan; alegori ini mewakilkan tiga tahap jiwa manusia iaitu rindu yang diam (pungguk), pengembaraan batin (camar) dan luahan yang tertahan (kenari).
Lagu ini memulakan rangkap-rangkap awalnya dengan mengisahkan rayuan pungguk. Burung yang lazim dikaitkan dengan merindui bulan. Peribahasa menyebutkan bagai pungguk rindukan bulan. Metafora ini digunakan bagi menggambarkan kerinduan yang tidak berbalas atau cinta yang mustahil.
Pungguk akan selalu murung dan kesepian. Memandang ke arah bulan yang tidak mungkin dimilikinya. Dalam lirik ini, pungguk digunakan untuk melambangkan kelukaan jiwa, penderitaan batin dan kesetiaan tanpa harapan.
dengarlah rayuan si burung pungguk
merindui pernama memuja Yang Esa
Dalam pembacaan sederhana, pungguk dan bulan sekadar perbidalan popular. Namun, lirik ini menyimpan makna tersurat bahawa ia sebagai tamsil hubungan jiwa manusia “memuja Yang Esa”. Secara mendalam, rangkap ini merujuk pergeseran makna cinta duniawi ke cinta Ilahi. Rayuannya bukan lagi kepada kekasih dunia. Kerinduan rohani terhadap Tuhan. Lirik ini merakam kesedihan wujudiyyah seorang hamba yang rindu bertemu pencipta-Nya.
Camar melambangkan kebebasan, kerinduan terhadap kampung halaman, kesunyian pengembara atau jiwa yang merantau. Camar akan dikaitkan dengan laut, pantai dan rindu perantauan.
Ini merupakan simbol kekuatan dalam kesendirian. Anehnya, camar yang dilihat mempertahankan kebebasan tetapi tetap kembali ke pantai. Camar membawa simbol keteguhan jiwa musafir, sufi yang merantau atau manusia yang bergelut dengan kehidupan yang penuh badai. Camar tetap bertahan. Ini melambangkan kesabaran dalam perjalanan kerohanian.
dengarlah panggilan si burung camar
bertemankan laut badai dan pantai
Naratif burung kenari diberikan penjelasan secara mendalam berbanding pungguk dan camar yang sekadar dibicarakan dalam baris-baris rangkap yang ringkas. Hal ini memang disengajakan oleh pengarang bagi menunjukkan kepentingan perlambangan burung tersebut.
Kenari dilambangkan dengan keindahan suara, keceriaan dan harapan. Jiwa burung ini halus dan menyimpan keindahan tersembunyi. Namun ia kehilangan suara dan jiwanya.
datang penjerat buta
yang buta hatinya
menjerat si kenari
memaksa ia menyanyi
di sangkar emas yang indah
walaupun ia menyanyi hatinya sepi
Frasa seperti penjerat buta, memaksa ia menyanyi, sangkar emas yang indah dan ia menyanyi hatinya sepi menggambarkan ketidakbebasan jiwa yang berada dalam tubuh. Secara doktrin, lirik ini menggambarkan hubungan tubuh dengan jiwa.
Kita dapat mengenal pasti perihal ini ketika membaca rangkap “dengarlah senandong burung dalam sangkar”. Kata burung melambangkan jiwa. Sementara sangkar adalah tamsil tubuh. Khalayak dapat mendengar huraian-huraian ini dalam lirik Balada Seorang Teman nyanyian M. Nasir.
inilah lagu yang kau pinta dulu
balada seorang teman
yang berbekal dengan satu tekad
mencari jalan pulang
kisah gejolak jiwa dan badan
tersirat dan suratan
cuba menghapuskan kesakitan
meraung meminta suaranya kedengaran
Dalam pembacaan sufistik, lirik Senandong Unggas memerihal dua teras tema utama iaitu burung sebagai alegori jiwa dan kehidupan serta jiwa yang terpenjara dalam jasad dan kebebasan rohani. Lirik Senandong Unggas memberitahu bahawa hidup ini adalah perjalanan jiwa yang mencari makna, mengharap kasih dan memanggil dalam diam.
Burung-burung ini menggambarkan keupayaan jiwa dalam mencapai pengalaman kerohanian. Pungguk (kerinduan terhadap Yang Esa), camar (keperluan menempuh perjalanan kerohanian) dan kenari (pencarian jiwa yang terpenjara dalam jasad).
dengarlah senandong burung dalam sangkar
dengarlah senandong unggas yang duka
Baris-baris akhir menutup dengan kesedihan sejagat kehidupan manusia. Manusia diumpamakan seperti burung. Burung-burung itu adalah jiwa. Semua jiwa itu sedang terkurung. Suara jiwa yang terlihat masih bernyanyi tapi dalam luka…
…dan khalayak bertanya-tanya sendiri.
Di manakah tahap jiwa mereka sedang berada? Kenari? Camar atau Pungguk?
Senandong Unggas wajar diiktiraf sebagai sebuah teks sastera sufistik. Ia mungkin tidak sebanding Hikayat Burung Bayan atau Syair Burung Pingai. Namun, pemindahan alegori burung ke dalam bentuk lirik moden sudah cukup menjelaskan pengaruh persuratan sastera Parsi ini dalam pustaka kebudayaan kontemporari.
– MOHD ROSLI IBRAHIM merupakan seorang penulis dan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau telah menulis tiga buah buku iaitu, O.K.U. Bangkit, Gelap Mata: Percikan Renungan Seorang OKU dan Masyarakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU.
