JIKA sebuah naskhah drama pentas itu dianuti – maka, Alang Rentak Seribu adalah naskhahnya. Kenapa tidak? Naskhah tulisan Datuk Syed Alwi Syed Hassan yang berbentuk realisme ini sangat bijak. Membacanya kita akan terasa seperti sebuah naskhah ringan dengan watak yang tidak asing dan latar yang ‘menarik’ kita untuk kembali pulang.
Bijaknya seorang penulis apabila ‘keringanan’ yang dipaparkan terbentuk daripada beratnya isu-isu yang dianggap sebagai ‘seringan debu’. Maka, naskhah ini menurut saya adalah sebuah naskhah realisme yang digarap dengan cukup sempurna.
Apa yang lebih dekat dengan kita selain budaya?
Menonton pementasan ini, tidak terasa jurang antara saya dan mereka (pelakon). Inilah yang saya maksudkan dengan naskhah mesra penonton dan mesra pelakon. Satu langkah yang bijak atau mungkin selamat yang diambil oleh pelajar (teater ASWARA).
Pertama kali saya kenal Alang, sewaktu saya berusia 16 tahun – pada tahun 2014, naskhah ini dipentaskan di Blackbox ASWARA. Dan saya masih ingat pada ketika itu, saya sentiasa lapar mencari naskhah yang baik sesuai dengan umur saya. Tetapi malangnya, saya tidak jumpa. Mungkin kerana saya kurang membaca dan kurang meneroka. Maka, saya malnutrisi dan bergantung dengan naskhah yang seperti ‘ada’ dan ‘tidak ada’ di sekolah.
Jadi, pada suatu hari, saya masuk ke dalam kotak hitam yang tidak menjanjikan apa-apa kepada saya di dalamnya: Alang hidup di bawah cahaya pentas dengan ‘gila-gila bahasa’nya.
Buat pertama kali, saya rasa seperti hidup bersama-sama Alang dengan tenaga yang bukan kepalang.
Tamat pementasan, saya pulang dan merayu kepada abang saya untuk diberikan salinan naskhahnya kepada saya – yang masih saya simpan dalam kotak merah berlabel “Simpanan Naskhah”.
Saya baca – saya kaji – saya kenali Syed Alwi – tanpa sedar, saya anuti.
Jadi, jika naskhah ini dipentaskan dan sampai ke pengetahuan saya, pasti saya akan pulang kepada Alang.
Hari ini saya pulang.
Sebelum saya pulang kepada Alang, saya sempat melawat Bota, Perak tahun lalu. Atas urusan kerja persendirian, saya telah berkenalan dengan seorang individu yang saya panggil Abang Man.
Acara yang berlangsung di Bota, rata-rata diuruskan oleh orang kampung Bota itu sendiri. Tetapi kepalanya: Abang Man – yang menguruskan dari awal persiapan, makan, teknikal, mencari penonton, hingga ke menutup ruang acara.
Jika saya boleh gambarkan Abang Man, dia seorang lelaki yang ‘gila-gila bahasa’ dengan tenaga yang luar biasa. Melihatnya, seperti saya berjumpa dengan Alang yang Syed Alwi gambarkan. Betapa bahagianya saya!
Kemudian, Selasa lepas (2 Julai) baru saya pulang kepada Alang di Panggung Eksperimental ASWARA. Alang yang saya tonton baik malam itu, mahupun ketika saya berusia 16 tahun bukan Alang yang ‘gila-gila bahasa’ tetapi ‘gila-gila tenaga’.
Menonton mereka, saya lelah sendiri – tidak, mereka tidak gagal, cuma saya lelah. Jika, mereka dapat jumpa orang seperti Abang Man walau sekali, saya kira pembawaan mereka mungkin lebih telus dan tulen. Mungkin kedua-dua Alang yang saya temui ada persamaan ketara: bakat. Jadi, setiap gerak dan lontaran dialog mereka seperti terlalu teknikal.
‘Gila-gila bahasa’ yang ada pada Alang, lebih kepada ‘gila-gila tenaga’ yang agak berlebihan.
Walau apa-apa pun, Alang tetap seperti Alang yang saya jatuh cinta dahulu.
Dalam dunia yang dipilih-susun (curated), yang tulen pasti menyerlah
Ini sedikit sisi lain yang suka untuk disentuh – lakonan kumpulan 1 (pelajar teater ASWARA) yang saya tonton semalam ‘dipilih-susun’ oleh pengarah dengan baik. Penempatan watak Badariah, Malik, Mazni, Mokhtar, Kak Embun, dan lain-lainnya –pengarah pilih dan susun dengan bijak untuk mengayakan mereka.
Namun apa yang menangkap mata saya adalah ketulenan yang mungkin tidak disedari, tetapi paling menyerlah di dunia ‘Kampung Alang’ : tiga watak lelaki sebagai krew filem dan seorang watak wanita sebagai penata rias adalah tulen yang tidak dibuat-buat. Mungkin tidak ‘dipilih-susun’ oleh pengarah dengan teliti, tetapi tahukah beliau, mereka itu yang memberi esen tulen dan janggal (eccentric) kepada keseluruhan cerita.
Dialog mereka hanya sebaris dua – atau mungkin tidak ada: tetapi gaya badan, reaksi muka sangat alami.
Mereka ini mengingatkan saya pada watak-watak yang dipilih Mamat Khalid dalam mana-mana filem yang dihasilkan. Kehadiran mereka secara tak langsung membuatkan saya lupa yang saya ini seorang penonton, kerana mereka tertalu manusia dan akhirnya saya sebati dalam ‘kemanusiaan’ itu.
Tempat bertenggek yang diwujudkan oleh pereka set di halaman rumah, satu-satunya perkara yang harus dipuji. Praktikal – untuk blocking, stage bussines, atau sekadar melepaskan lelah.
Ini adalah pengamatan saya yang sedikit dengan pengalaman peribadi yang ‘melimpah’.
Malangnya, saya tidak dapat menonton kumpulan dua (pelajar teater ASWARA) ‘bermain’ dengan naskhah ini. Tetapi, saya sentiasa menyakini ia akan menjadi sebuah pementasan yang bagus juga – kerana saya anuti naskhah ini, maka saya percaya dengan apa yang saya anuti.
********************
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis. Ia tidak mewakili pandangan Senimalaya.

Sudut pandangan yang baik dan telus.