‘Darkside’ Korea Selatan dalam dua filem Lee Chang-dong
Pada bulan ini, atau lebih tepat 18 – 25 Julai, akan berlangsung MIFFEST (Malaysia International Film Festival) di GSC MyTown, Kuala Lumpur. Ini kali kesembilan festival ini diadakan, tapi ia masih tidak diketahui ramai. Entah di mana silapnya, tapi setiap kali saya sebut “MIFFEST” kepada beberapa rakan, ada yang akan jawab “Apatu? MILF Fest? Hahahahah!” Ini juga membuktikan yang saya ada beberapa rakan yang merupakan lelaki miang.
Antara acara menarik di MIFFEST tahun ini adalah fokus mini kepada pengarah Lee Chang-dong dari Korea Selatan. Saya katakan ‘mini’ sebab hanya dua filemnya akan ditayang: Peppermint Candy (1999) dan Oasis (2002). Tapi beliau hanya telah siapkan enam filem setakat ini, jadi fokus ini tetap satu pertiga daripada karyanya sebagai pengarah.

Penonton Malaysia juga mungkin telah sempat tonton filemnya yang keenam Burning (2018), adaptasi cerpen Haruki Murakami, apabila ia mendapat tayangan terhad di negara kita sebelum ini.
Pada 25 Julai 11am nanti akan diadakan sesi masterclass bersama Lee di MIFFEST di mana saya bertindak sebagai moderator. Saya masih ingat masterclass dua tahun lepas bersama pengarah Jepun, Hirozaku Kore-eda. Antara perkata yang Kore-eda katakan adalah (dan saya merujuk kepada nota yang saya catat kemudian):
“Sebenarnya, ini kali kedua saya berada di Malaysia. Kali pertama adalah 35 tahun yang lalu. Saya datang bersama kru TV ke Kota Bharu. Semasa di sana, seorang lelaki mengetahui tentang kehadiran kru dari Jepun itu; dia memperkenalkan dirinya kepada kami dan berkata, “Saya boleh nyanyi lagu Jepun.” Kemudian, dia berdiri tegak sambil nyanyi Kimigayo (lagu kebangsaan Jepun). Hanya dengan melihatnya, saya dapat merasakan penderitaan yang dialaminya akibat tindakan tentera Jepun semasa mereka menjajah. Saya terus rasa sebak.”

Amat jarang untuk seorang Jepun bercerita tentang pengalaman perang di mana negaranya sendiri menjadi penceroboh dan pemangsa. Dan bersama semua jawapannya yang lain, saya dapat gambaran Kore-eda sebagai seorang yang sangat manusiawi, teliti dan berhemah.
Walaupun saya belum jumpa Lee Chang-dong, saya sedang mengumpul soalan-soalan panas untuknya. Tapi sudah pasti, proses ini dimulakan dengan menonton semula semua filemnya. Di artikel ini, sini saya akan memberi tekanan kepada dua filemnya yang akan berada di MIFFEST.
Peppermint Candy dan Oasis menampilkan pelakon utama lelaki yang sama, Sul Kyung-gu. Di dalam kedua-duanya, dia menjadi watak yang bukan sahaja terganggu, tapi berjaya mengganggu kita sebagai penonton yang berkongsi ruang dengannya.
Peppermint Candy menggunakan struktor kronologi terbalik, sama seperti filem Christopher Nolan Memento (2000) yang datang kemudian. Babak pertama menggambarkan lelaki umur lewat 30an yang nampak serabai biarpun berpakaian sut lengkap; dia bikin kecoh apabila mencerobah satu perjumpaan rakan-rakan sebayanya, dan adegan diakhiri dengan dirinya berdiri di laluan kereta api yang bergerak kepadanya.

Dari sini bermulalah siri imbas kembali apabila kita melihat apa yang berlaku dalam hidupnya sampai dia sanggup bunuh diri. Yang uniknya, kisah hidupnya berkait rapat dengan perkembangan politik di Korea Selatan, sebab dia pernah menjadi askar dan anggota polis pada zaman diktator ketenteraan, khususnya pemerintahan Jeneral Chun Doo-hwa (tahun 1979-1988). Antara momen yang paling mencengkam adalah apabila dia terlibat secara langsung untuk menyeksa dan menginterogasi pemimpin-pemimpin pelajar yang sedang protes kerajaan kuku besi ketika itu. (Amaran: jangan makan popcorn karamel semasa salah satu babak nanti.)
Trauma daripada tindakan zalimnya ketika muda jelas memberi impak yang terlalu dahsyat kepada psikologi dirinya. Kita dapat rasa bahawa ‘dosa’ sistem diktator dulu sudah terlalu sebati dengannya, dan dia bertindak dengan menganiaya orang di sekelilingnya (termasuk rakan, teman wanita, isteri dan juga binatang peliharaan). Tapi racun (atau saka, kalau nak guna perumpamaan filem seram Malaysia) itu masih ada, dan kerana itulah dia mengambil keputusan untuk menamatkan riwayatnya.
Apa yang menjadikan Peppermint Candy begitu kuat ialah keupayaannya untuk tunjuk seorang watak yang sangatlah teruk, tapi masih memberi ruang (tanpa menekan-nekan!) untuk kita tanya: Masihkah ada sedikit sisi manusia pada dirinya? Dan jika kita berada di tempatnya, dengan menerima arahan kerja dalam satu sistem diktator, adakah kita akan jadi sepertinya juga?
Walaupun masyarakat Malaysia secara amnya amat kagum dengan budaya pop dan kemajuan Korea Selatan, kita sering tak perasan bahawa kejayaan yang mereka alami telah tercipta setelah melawan sistem diktator. Salah satu insiden paling berdarah adalah pembantaian di Gwangju pada 1980 (yang dirujuk dalam filem ini), dan ini mencorakkan budaya perlawanan masyarakat sivil yang juga melibatkan warga seni ketika itu.
Sebagai perbandingan, trauma sejarah Malaysia jarang sekali diterjemah dalam filem-filem kita. Antara contohnya hanyalah Snow in Midsummer (arahan Chong Keat Aun, 2023) dan The Waves Will Carry Us (Lau Kek Huat, 2025) yang masing-masing sempat mengungkit tragedi Mei 13, 1969; dan era pasca-reformasi termasuk himpunan Bersih. Untuk kebanyakan filem bercorak ‘sejarah’ pula, lebih kepada hagiografi iaitu bagaikan hikayat yang menggambarkan pemimpin sebagai dewata mulia.

Oasis pula tampil lebih ringan berbanding Peppermint Candy. Pada dasarnya, ia sebuah filem cinta. Tapi ia lari daripada klise filem cinta dengan menampilkan dua watak yang sebenarnya ‘rosak’ dan masing-masing menjadi mangsa masyarakat.
Si lelaki (lakonan Sul Kyung-gu sekali lagi) merupakan bekas banduan yang sukar berinterasi dengan orang awam setelah keluar penjara. Keluarganya seolah malu dengan kehadirannya, dan rakan-rakannya pun buat tak tahu. Cinta berputik dengan seorang wanita (lakonan Moon So-Ri, yang juga menjadi kekasih awal watak utama Peppermint Candy). Namun wanita ini merupakan pesakit cerebral palsy yang tidak dapat hidup berdikari atau berkomunikasi dengan orang lain.
Magisnya apabila pasangan ini berjaya memahami sesama sendiri, biarpun insiden awal apabila mereka bertemu lebih mirip kepada lelaki itu mencabulnya. Hubungan ini jelas menguji kefahaman kita tentang apa itu ‘hubungan cinta’. Adakah si lelaki seorang penyangak yang mengambil kesempatan? Adakah si wanita sekadar gembira yang dia akhirnya dapat dilayan sebagai wanita yang ada keinginan badaniah dan emosi, atau adakah dia memang jatuh cinta dalam keadaan waras?
Walaupun hal politik negara tidak ditampilkan jelas dalam Oasis, kita dapat lihat bagaimana sistem kapitalis yang mementingkan bukan sahaja wang tetapi imej (jaga muka keluarga, contohnya) boleh membunuh empati yang bakal wujud dalam manusia. Kita sendiri dicabar dengan persoalan: Kalau kita melihat pasangan ini di tempat awam, adakah kita juga akan menganggap mereka pelik? Atau sanggupkah kita melihat, biarpun sejenak, dunia dari mata dua orang yang ‘rosak’ ini?
Sebab pada akhirnya, bukankah kita semua ‘rosak’ dengan cara masing-masing? Cuma kebanyakan kita pandai cover line lah.
