REMAJA tahun 1980-an tidak akan lupa betapa besarnya pengaruh Aku Budak Minang karya kartunis Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim bin Anon. Kartun bersiri yang dimuatkan dalam majalah Gila-Gila sedikit sebanyak telah mengubah persembahan grafik sesebuah komik pada ketika itu.
Aku Budak Minang tidak seperti komik empat muka surat yang lazim (di mana penceritaan selalunya bergerak dari satu panel ke satu panel), tetapi susun aturnya direka seperti sebuah novel berilustrasi. Setiap teksnya diletakkan bersebelahan dengan ilustrasinya, sama ada di sebelah kiri atau di sebelah kanan. Maka membaca setiap episodnya akan membuat kita berasa puas sebab tulisan/ceritanya lebih panjang. Ujang juga memberikan kelainan kepada dialognya dengan kelakar yang berlebih-lebih.
Ilustrasinya menarik. Stroke-nya kemas dan matang. Ujang suka bermain teknik wash to wash untuk keseluruhan latar belakang lukisannya. Ini dilakukan secara manual sebelum wujud pelbagai perisian melukis seperti yang ada sekarang. Ternyata dia menguasai teknik yang sukar ini. Dan jika teknik ini tidak diterjemahkan pada kertas lukisan dengan baik, maka hasil cetakan akan jadi berbalam dan bertompok. Dan kejayaan teknik ini dapat memberikan suatu mood yang berlainan kepada pembaca.
Aku Budak Minang bukanlah sebuah cerita yang memperincikan tentang suku dan budaya kaum Minang, tetapi Ujang ‘melukis’ tentang gejolak dan semangat berontak anak muda pada zaman itu. Darah Minang yang memang diwarisinya hanyalah simbol semangat dalam cerita tersebut sahaja.
Ujang seperti sengaja ‘menempah maut’ apabila menjadikan dirinya sebagai watak utama. Sehingga ada yang menyangka ia sebuah kisah benar seratus-peratus (bukan fiksyen) dan mengkritiknya dengan hebat.
Dalam cerita tersebut, dia menggambarkan ibunya yang cukup garang dan sangat membenci dirinya sehingga teruk dibelasah. Emaknya lebih memihak kepada adiknya, Aca. Kerana berasa dirinya tersisih dan kecewa dengan sikap pilih kasih itu – menjadi penyebab mengapa dia melarikan diri dari kampung ke Kuala Lumpur. Sesampai dia di Kuala Lumpur, dia tidak diperdulikan oleh kakak-kakaknya yang telah hidup mewah pula. Semakin tidak tentu arah hidupnya di kota besar ini jadinya.
Ujang pandai bermain dengan drama sehingga membuatkan pembaca turut beremosi. Ada yang menangis apabila membaca babak dirinya ketika masih kanak-kanak – dengan tubuh badan bercalar akibat disebat ibunya, lalu dia ke kubur neneknya untuk mengadu betapa dirinya tidak disayangi oleh sesiapa, lantas meminta izin neneknya untuk tidur bersama-sama di kubur tersebut. Cukup memilukan. Konfliknya diadun dengan baik.
Ujang adalah hero remaja pada zaman itu. Zaman di mana rock, lumba haram, dan bermacam lagi berlegar di sekelilingnya. Dalam masa yang sama, Ujang terjebak juga dengan golongan elit kota yang lebih mesra dengan disko, pub, kelab malam, dan kereta mewah.
Tidak lupa, nilai persahabatan dan cinta turut diselitkan dalam Aku Budak Minang ini.
Anor, gadis sekampung dengannya sudah lama diperkenalkan ketika Ujang menghasilkan kartun bersiri IBC (Intelligent Blues Club) lagi. Kemudiannya dia membawa watak Anor masuk ke dalam Aku Budak Minang.
Pembaca merasakan Ujang memang ada hati dengan gadis ini. Mereka percaya bahawa Anor memang benar-benar wujud. Masa demi masa, Ujang menggambarkan yang Anor tetap sama seperti zaman mereka kanak-kanak; kedua-dua mereka seakan sama-sama menyimpan perasaan cinta, tetapi tidak kesampaian akhirnya. Anor terus menuju ke puncak menara gading sedangkan Ujang terus huru-hara dihentam arus hidup.
Fenomena Aku Budak Minang cukup besar impaknya. Ia mempengaruhi remaja sekolah menengah pada zaman itu terutamanya. Istilah-istilah dan slanga dalam Aku Budak Minang seperti ‘cinabeng’ atau ‘lak’ (pulak) menjadi ikutan.
Pada tahun 1988, siri ini telah dibukukan dan diterbitkan oleh Creative Enterprise Sdn. Bhd. Pelancaran koleksi tersebut dibuat di Plaza Bukit Bintang dan dirasmikan oleh Menteri Penerangan pada waktu itu, Datuk Mohamed Rahmat. Orang cukup ramai! Sebuah komik atau kartun hasil air tangan anak muda telah mencatat sejarah sebagai sebuah karya yang diiktiraf hingga ke peringkat menteri. Padu!
Rentetan dari kehebatan Aku Budak Minang, kemudiannya muncul pula siri kedua bertajuk Aca. Aca adalah sebuah karya spinoff di mana watak adiknya pula yang diangkat untuk menjadi subjek utama.
Aca, yang mengalami masalah lembam (sebelum ini sering menjadi mangsa belasahan Ujang) telah berubah. Kali ini, Ujang sebagai abang telah membawa Aca ke Kuala Lumpur setelah kedua orang tuanya meninggal dunia. Tetapi sekali lagi mereka telah dihalau oleh kakak-kakak mereka sehingga terasa semakin perit untuk mengharungi hidup di kota. Akhirnya, mereka balik ke kampung semula dan hidup bahagia bersama Atuk dengan menumpukan kepada aktiviti menternak ayam.
Siri Aca juga telah membuat kartunis Ujang terus unggul menjadi ikon kartunis pada zaman itu.
Seandainya pada waktu itu pihak Creative Enterprise Sdn. Bhd. berani bekerjasama dengan syarikat penerbitan filem untuk membawa komik Aku Budak Minang (ketika bahang kehebatannya sedang memuncak) ke layar perak – dijangkakan filem ini pasti meletup. Belum ada lagi filem diadaptasi dari novel grafik pada waktu itu. Hanya dua tahun kemudian sahajalah muncul filem Mat Som karya asal dari novel grafik oleh Datuk Lat. Lantas ia menjadi karya pertama sebuah novel grafik yang diangkat ke layar perak. Bagaimanapun drama TV bersiri Aku Budak Minang pernah disiarkan di RTM sekitar 2009. Sedikit terlambat. Di mana impaknya telah pun sejuk dan kesannya kurang dirasai.
Begitulah kisah Aku Budak Minang oleh Ibrahim Anon yang telah mencatatkan sejarahnya tersendiri ketika kartun dan komik tanah air berada pada era emasnya. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa sehingga hari ini koleksi Aku Budak Minang dan Aku Budak Minang: Aca terus menjadi buruan para kolektor serta peminat komik dan kartun. Harga sebuah buku tersebut jika ada yang ingin menjualnya, silap-silap boleh membuat mata kita terbeliak!
**************************
RONASINA adalah seorang pelukis, penulis dan pengendali podcast Selam Lagu di portal arenamuzik.com
