ADA keajaiban yang luar biasa pada filem pendek, yang tidak sepenuh dan seluruhnya ada pada filem cereka — keajaiban bercerita dan mencipta. Festival Filem Pendek Seashorts 2024 yang berlangsung di Ampang, Selangor minggu ini seharusnya jadi peringatan kepada kita akan keajaiban itu — kuasa filem pendek yang sakti.
Filem pendek boleh saja diremehkan sebagai kononnya “filem budak baru belajar” atau “projek pelajar universiti”. Namun bukan sedikit filem pendek yang boleh dengan megah kita angkat dan ketengahkan, atau setidak-tidaknya jauh lebih kita nikmati, berbanding filem cereka di pawagam.
Tidak seperti banyak filem di pawagam — yang sebenarnya hanya sesuai dimainkan di televisyen atau tidak sepatutnya mengenakan bayaran tiket kepada penonton, banyak filem pendek sebaliknya jelas menunjukkan pemahaman pengarahnya tentang seni filem.
Menghasilkan sebuah filem pendek adalah ujian kemampuan seorang pembikin filem, atau anak muda yang bermimpi mahu bercerita dengan seni filem. Ini ujian awal; langkah pertama.
Filem pendek memberi ruang dan peluang kepada pembikin filem muda untuk bekerja dengan segala keterbatasan dan kekangan, selalunya dana yang terhad atau peralatan yang sangat asas.
Namun, idea tiada sempadan. Tiada apa yang seharusnya menyekat seseorang pembikin filem daripada memikirkan sesuatu idea kecuali batas yang digariskannya sendiri.
Ruang dan peluang dengan segala ketergantungan itu membuka jalan kepada pembikin filem muda untuk mencanai dan mengembangkan ideanya. Dalam seluruh proses itulah kemudiannya dia menemukan suaranya.
Filem pendek membantu calon pengarah untuk menimba pengalaman bercerita dengan filem. Filem pendek juga membantu mereka mendapatkan keyakinan untuk bekerja dengan cekap — bekerja dengan mesin, bekerja dengan manusia, dan bekerja dengan duit.
Kalau mereka boleh menghasilkan sebuah filem pendek yang cemerlang dengan segala kekangan yang ada, tentu saja mereka boleh mengerjakan sebuah filem cereka yang baik dengan sokongan yang wajar dan sepatutnya.

Itulah yang dapat dilihat — dan yang wajar dilihat — daripada senarai panjang filem pendek yang tayang di Seashorts 2024. Filem-filem pendek yang main di festival ini dipilih daripada 794 karya yang diterima ketika penyertaannya ditutup pada awal Jun 2024. Penyertaannya datang dari serata Asia Tenggara.
Festival empat hari antara 24 dan 27 Oktober itu mempertandingkan 20 filem pendek Asia Tenggara dan 20 filem pendek tempatan. Ia juga mempamerkan 10 filem pendek hasil kerja pelajar filem dari tujuh universiti tempatan, awam dan swasta.
Selain itu, ada tiga program sampingan yang menampilkan 14 filem pendek yang ditampilkan dalam tema khusus termasuk karya yang mengangkat subjek wanita dan karya daripada pembikin filem kaum Tamil Malaysia.
Japan Foundation yang mendukung festival ini sejak edisi pertamanya pada 2017 menyumbang dua filem pendek hasil kerja dua pelajar universiti, termasuk satu daripadanya yang tayang perdana dunia di Seashorts.
Ada dalam tiada
Semua filem ini dibungkus dalam tema “In Absentia”. Perkataan dari bahasa Latin itu secara harfiah bermaksud “dalam ketiadaannya”.
Kita biasa dengar perkataan ini dipakai dalam proses undang-undang, misalnya dalam kes buruan skandal 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low yang dibicarakan di mahkamah tanpa kehadiran.
“Adakah anda perasan apa yang tiada? Adakah anda perasan apabila sesuatu telah tiada?” tanya pengarah bersama program Seashorts 2024, Alfonse Chiu.
Ini satu lagi keajaiban Seashorts 2024. Dalam segala serba kekurangan, mengemis dana dan sokongan dari tahun ke tahun, festival ini bertahan masuk kali yang kelapan. Umurnya muda berbanding satu lagi pesta filem pendek di Malaysia iaitu BMW Shorties yang bermula pada 2006, yang khusus untuk karya-karya tempatan.
Seashorts 2024 kali ini mendapat dukungan Art for All Season (ArtFAS), sebuah program geran tahunan bawah Yayasan Hasanah dengan kerjasama Kementerian Kewangan. Ia juga sekali lagi diberikan sokongan oleh Japan Foundation, sebuah institusi Jepun menggerakkan diplomasi kebudayaan ke serata dunia.
Ia juga disokong oleh beberapa syarikat termasuk sebuah kedai makan, sebuah universiti swasta, sebuah badan pemikir dan penyelidik, dan sebuah majalah filem berbahasa Mandarin, sekadar menyebut beberapa penaja.
Pada tahun lepas, dalam satu wawancara mengenai Seashort 2023, Chiu berkata festival filem seperti ini tidak sepatutnya ada.
Namun, ia tetap hadir dari tahun ke tahun, dan bertahan — dengan susah payah dan, paling penting, dengan sokongan daripada mereka yang benar-benar percaya dan yakin akan kuasa sakti filem pendek.
Dalam kehadirannya dari tahun ke tahun, ada yang sangat dirasakan tiada dan tidak hadir. Soalan yang ditanyakan oleh Seashorts 2024 sangat relevan: “Adakah anda perasan apa yang tiada? Adakah anda perasan apabila sesuatu telah tiada?”
– NOOR AZAM SHAIRI, merupakan timbalan pengerusi FINAS.
— Seashorts 2024 berlangsung 24-27 Oktober di The Campus, Ampang. Tiket dan sumbangan untuk kelangsungan Seashorts: https://www.cloudjoi.com/shows/2432-seashorts-film-festival-2024-in-absentia

