Terasa seperti terlalu jauh sejak saya meninggalkan dunia akademik, walaupun baru hanya tiga tahun ia berlalu.
Tumpuan saya sekarang lebih kepada praktik studio serta penulisan kecil-kecilan di celah-celah harian yang panjang.
Walaupun semakin jarang menghadiri acara pembukaan pameran, saya masih setia mengikuti perkembangan pelukis-pelukis muda, yang sebahagian besarnya pernah saya kenali sejak mereka berada di bangku Universiti lagi.
Kelmarin, saya melayari hantaran media sosial berkaitan pameran dan kemeriahan yang dipromosikan oleh galeri-galeri tempatan, apa yang menarik perhatian saya bukanlah semata-mata karya yang dipamerkan, tetapi pernyataan-pernyataan yang diungkapkan oleh para pelukis muda ini, yang suatu ketika dahulu pernah mengikuti kuliah dan sesi kritik yang panas.
Sungguh tergamam saya semalam, apabila mendengar penyataan-penyataan yang dibuat oleh sekumpulan pelukis muda yang sedang berpameran di sebuah galeri tempatan.
Ternyata tahap kematangan intelektual yang dipamerkan oleh generasi baharu ini amat membimbangkan. Apa sudah jadi dengan budaya ilmu dikalangan generasi pelukis muda?
Untuk mendapatkan gambaran yang lebih adil, saya meneliti semula rakaman kenyataan mereka, ayat demi ayat dan pemerhatian saya tetap membawa kepada satu kesimpulan yang meresahkan.
Ternyata corak pemikiran, keupayaan berhujah serta cara mereka menjelaskan karya masih berada pada tahap yang tidak jauh berbeza daripada ketika mereka berada di peringkat awal sewaktu di Universiti.
Bukan mengungkit, tapi kemanakah hilangnya petua-petua yang diturunkan sejak dari tahun pertama?
Kelemahan berhujah, walau untuk penyataan-penyataan mudah mengenai karya, kelihatan sungguh ketara, terutama dalam hal pemilihan tema yang lapok dan tidak kritikal.
Lalu persoalan yang timbul bukan sekadar kenapa ini berlaku, tetapi juga tentang apakah yang telah pincang dalam landskap ilmu seni rupa kita?
Seharusnya, setelah meninggalkan institusi pendidikan, seorang pelukis berupaya membina kematangan berfikir yang lebih mendalam, bukan sahaja dari sudut teknikal dan visual, malah dalam keupayaan mengartikulasikan idea, mempertahankan pendirian dan menghubungkan kontek karya dengan wacana yang lebih luas.
Pengalaman mandiri (experiential knowledge) seharusnya sebati dengan kematangan mengartikulasi. Nah, sebaliknya, apa yang saya temui adalah kecenderungan untuk mengulang tema-tema yang cetek, penyataan karya yang longgar serta penghuraian yang tidak teratur tentang proses pengkaryaan.
Karya-karya yang diperkatakan seolah-olah tidak disertai dengan perkembangan intelektual yang setara. Kemahiran menghasilkan imej masih diraikan, tetapi keupayaan untuk membina hujah, mengemukakan persoalan dan menawar tafsiran baharu terhadap realiti semasa terlihat dangkal dan semakin kabur.
Saya pernah menyentuh mengenai nilai-nilai ‘epistemik’ selain ‘estetik’ dalam seni ketika ditemu bual oleh BFM suatu ketika dulu;
“I think the amount of information given by the artist about the artwork is the most important component of knowledge. The degree of importance one’s art has been promoted depends significantly on the amount of information one gave to the viewers”.
“Pada fikiran saya, kadar maklumat yang diberikan oleh seseorang seniman mengenai karya seninya merupakan komponen pengetahuan yang paling penting. Tahap penghargaan dan pengiktirafan terhadap sesuatu karya seni banyak bergantung kepada sejauh mana maklumat yang disampaikan kepada khalayak.”
Lalu teringat kata-kata Ross Neher, tutor saya yang juga seorang pelukis, semasa mengikuti pengajian ‘Fine Art’ di New York dahulu, yang memperincikan maksud saya diatas.
“The more context, intention and narrative an artist provides about the work, the more confident, engaged and connected viewers feel, leading to deeper understanding, emotional resonance and richer appreciation. The information bridges the gap between artist’s vision and audience’s experience.”
“Semakin luas konteks, hasrat dan naratif yang dihuraikan oleh seniman tentang sesebuah karya, semakin tinggi keyakinan, penglibatan dan keterhubungan yang dirasai oleh khalayak. Keadaan ini mendorong kepada pemahaman yang lebih mendalam, pengalaman emosi yang lebih berkesan serta apresiasi yang lebih kaya terhadap karya tersebut. Maklumat ini menjadi jambatan yang merapatkan jurang antara visi kreatif seniman dengan pengalaman khalayak.”
Namun demikian, saya juga harus berhati-hati agar kritikan ini tidak terjerumus ke dalam perangkap nostalgia generasi terdahulu. Mungkin jangkaan atau angan-angan saya terhadap pelukis muda terlalu tinggi. Atau mungkin dunia akademik hari ini semakin terpisah daripada tuntutan industri seni yang bergerak pantas.
Dalam dunia yang sarat dengan literasi visual, naratif baharu, dialog sosial, etika teknologi, konflik historiografi, dekolonisasi budaya dan gelombang urbanisasi, adalah menghairankan apabila ada pelukis muda yang masih cenderung untuk berlegar di sekitar tema nostalgia, romantisisme kehidupan harian dan penghasilan imej yang berorientasikan kemahiran semata-mata.
Tidak banyak karya yang benar-benar mencabar pandangan sedia ada atau mencabar ‘status quo’ dengan mengemukakan persoalan kritikal atau setidaknya menyatakan kegelisahan terhadap perubahan sosial yang sedang membentuk zaman mereka.
Bukankah semua ini seharusnya serasi dengan saraf pemikiran generasi ini? Lalu situasi ini membawa saya kepada persoalan yang lebih besar: adakah generasi pelapis seni rupa kita semakin ketirisan ilmu serta terperangkap dalam zon selesa estetika? Atau mungkinkah mereka sebenarnya sedang bergelut untuk bertahan dalam ekologi seni yang semakin di cengkaman kuasa pasaran?
Apapun alasannya, kita seharusnya memikul beban kebimbangan ini. Dalam kemelut kapitalisme budaya, tembolok industri sememangnya mempunyai pengaruh yang besar terhadap arah penghasilan karya. Bagi ramai pelukis muda, tekanan ekonomi dan tuntutan untuk terus relevan sering memaksa mereka memilih jalan yang lebih selamat, menghasilkan karya yang mudah diterima pasaran, bersifat ‘couch-friendly’ dan rendah risiko.
Dalam keadaan sedemikian, kecenderungan terhadap ‘instant aesthetic trends’ berkembang tanpa memerlukan pelaburan intelektual yang mendalam. Maka, persoalan yang lebih mendesak bukanlah sama ada pelukis muda kehilangan bakat atau potensi, tetapi sama ada budaya membaca, tradisi keilmuan dan semangat penyelidikan telah terputus sebaik sahaja mereka meninggalkan Universiti.
Jika benar demikian, maka yang sedang kita saksikan bukan sekadar kemerosotan individu, tetapi krisis generasi yang melibatkan keseluruhan ekosistem seni rupa, daripada institusi pendidikan dan galeri hingga kepada pasaran dan budaya media sosial.
Malangnya saya tidak memiliki jawapan yang tuntas terhadap persoalan-persoalan ini, cuma, satu perkara yang pasti adalah, masa depan seni rupa negara pasti menjadi kelam dan suram sekiranya gejala ini tidak diberi perhatian yang serius.
Seni tidak lagi boleh bertahan hanya dengan kemahiran menghasilkan imej atau keindahan visual semata-mata, seni juga menuntut keupayaan berfikir, keberanian intelektual dan kesediaan untuk mencipta makna baharu yang mampu menjelaskan zaman yang sedang kita diami sekarang.
Setulus Hati
– Dr. Jai. July 2026. London.
Dr. Jalaini Abu Hassan merupakan pelukis kontemporari terkemuka tanahair, tokoh akademik dan juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).

Saya melihat persoalan yang dibangkitkan Prof. Jai daripada sudut yang lebih luas. Mungkin isu ini bukan sekadar kelemahan pelukis muda, tetapi kelemahan ekosistem yang membentuk mereka.
Bayangkan jika pemain bola sepak profesional hanya mula mengenal bola pada usia 18 tahun. Sudah tentu sukar untuk melahirkan pemain bertaraf dunia. Begitu juga seni visual di Malaysia. Ramai pelajar hanya benar-benar mengenali bahan seni, sejarah seni, artis rujukan dan budaya galeri selepas tamat SPM apabila memasuki pengajian seni halus.
Persoalannya, di manakah usaha mencari dan membina bakat seni dari peringkat akar umbi? Di manakah pusat-pusat seni yang mampu melatih bukan sahaja kemahiran melukis, tetapi juga budaya membaca, berfikir, berhujah dan menghargai seni sejak zaman kanak-kanak?
Beberapa minggu lalu saya mengunjungi PPD, JPN dan KPM untuk mencari rujukan tentang bagaimana membina sebuah pusat seni lukis komersial yang tersusun dan mampu berkembang melalui rangkaian cawangan. Apa yang saya temui ialah contoh institusi seni lukis komersial Bumiputera yang benar-benar berjenama dan berskala masih amat sukar ditemui.
Mungkin inilah antara jurang yang perlu kita bincangkan. Selama ini kita banyak membina persatuan dan menganjurkan program, tetapi belum cukup membina institusi yang mampu melahirkan lebih ramai bakat, melatih guru, membuka peluang pekerjaan dan membawa pendidikan seni ke seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar.
Saya percaya jika kita mahu melihat lahirnya lebih ramai pelukis yang matang dari segi intelektual, pelaburan itu tidak boleh bermula di universiti. Ia perlu bermula sejak kanak-kanak, melalui ekosistem pendidikan seni yang tersusun, berterusan dan mudah diakses.
Hakim Muslim
Pengasas Kem Katun Art Studio