Dalam satu kisah ‘urban myth’ yang katanya pernah diceritakan oleh seorang penganjur konsert, sewaktu sebuah band rock power metal antarabangsa terkenal mengadakan persembahan di sini suatu ketika dahulu. Dikhabarkan, hampir kesemua anggota kumpulan itu mempunyai masalah antara satu sama lain dan hubungan diantara mereka dikatakan tidak baik.
Setibanya disini, mereka bukan sahaja enggan menaiki kenderaan bersama, malah turut meminta agar bilik hotel masing-masing tidak ditempatkan di tingkat yang sama. Sehinggalah pada malam konsert berlangsung, mereka masih tidak bersama untuk menuju ke lokasi acara.
Namun sesuatu yang luar biasa berlaku apabila tirai pentas dibuka.
Band tersebut tampil dengan persembahan yang mantap, penuh tenaga dan gaya. Di atas pentas mereka kelihatan mesra, saling berinteraksi dan bergandingan seolah-olah tiada apa-apa yang pernah berlaku di antara mereka. Para penonton menikmati persembahan yang sempurna tanpa pernah mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di belakang pentas. Selepas konsert tersebut tamat, mereka kembali dengan hal masing-masing.
Semua ini dapat dirumuskan dengan hanya satu perkataan: Profesionalisme.

Bagi mereka yang memahami tanggungjawab sebagai seorang ‘entertainer’, perkara seperti ini sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa. Sebuah band yang hebat tidak semestinya bebas daripada konflik. Apa yang lebih penting ialah kemampuan mereka untuk meletakkan jenama kumpulan di hadapan, mengatasi segala perbalahan peribadi yang mungkin berlaku.
Fenomena seperti ini agak biasa didengar dalam kalangan artis dan band dari Barat. Perbalahan dalaman kadangkala boleh menjadi sangat serius, sama ada antara anggota kumpulan atau pihak pengurusan. Namun profesionalisme sering kali menjadi tembok yang memisahkan konflik peribadi daripada tanggungjawab di atas pentas. Band yang matang memahami satu perkara: jenama mereka lebih besar daripada ego individu.
Selain faktor ekonomi, industri hiburan mereka telah melalui proses pematangan yang panjang. Struktur pengurusan yang lebih profesional, sistem kontrak yang jelas serta kesedaran terhadap nilai jenama menjadikan konflk peribadi tidak mudah merosakkan keseluruhan institusi yang telah dibina.
Semangat “the show must go on” menjadi prinsip yang tidak boleh dikompromi. Mereka melihatnya sebagai satu tanggungjawab yang perlu disempurnakan dengan sebaik mungkin. Dalam dunia yang dipanggil ‘show business’ ini, pentas bukan sekadar tempat untuk bermain muzik. Ia adalah ruang persembahan yang menuntut disiplin, kawalan emosi dan kesedaran bahawa apa yang berlaku di hadapan penonton jauh lebih besar daripada konflik peribadi.

Malangnya, situasi seperti ini jarang kita dengar berlaku di sini.
Sebaliknya, kisah yang lebih kerap muncul ialah cerita band-band besar yang akhirnya berpecah akibat konflik dalaman. Perpecahan tersebut pula sering melahirkan “klon-klon” baharu daripada induk asalnya. Situasi ini kadangkala kelihatan seperti cerminan budaya politik yang ada: apabila berlaku perbezaan pandangan, jalan paling mudah ialah berpecah, dan kemudian sebuah lagi parti baharu pun menjelma.
Dalam banyak keadaan, ego peribadi akhirnya mengatasi kepentingan kolektif. Apa yang tinggal kemudian hanyalah jenaka sinis serta ejekan parodi daripada khalayak yang melihat wibawa mereka semakin terhakis. Barangkali kita masih belum benar-benar memahami nilai sebuah jenama dalam dunia hiburan kerana mungkin bagi sesetengah pihak, sebuah band mungkin tidak lebih daripada sekumpulan individu yang bermain muzik bersama. Tetapi dalam industri yang matang, sebuah band sebenarnya adalah entiti budaya dan komersial yang mempunyai nilai jauh lebih besar daripada individu yang menganggotainya.
Dalam dunia bola sepak terdapat satu falsafah yang sering diulang-ratib:
“No player is bigger than the club.”
Semangat ini jarang kita lihat dalam konteks band tempatan. Masalah dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara tertutup akhirnya dipertontonkan kepada umum. Setiap perbalahan menjadi bahan perdebatan di media sosial dan ruang berita. Lebih mengharukan, tindakan sebegini sering dilakukan tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap jenama yang telah dibina selama bertahun-tahun. Apa yang jarang kita lihat ialah kesungguhan untuk mempertahankan jenama yang telah dibina bersama demi kelangsungan legasi pada masa hadapan.
Amat sedikit band besar di sini dapat bertahan dan berjaya mengelakkan perpecahan, dan jika ada pun, ia datang dari negara jiran kita Indonesia. Antara yang masih berpengaruh dan kekal utuh mempertahankan jenama mereka ialah Dewa 19.

Kita tahu bahawa Dewa 19 juga pernah dilanda kontroversi. Penerajunya, Ahmad Dhani, dan juga bekas vokalis mereka, Elfonda Mekel (Once Mekel), pernah berdepan isu dan ketegangan. Namun ia bukanlah soal Dewa 19 secara keseluruhannya, sebaliknya hanya isu royalti lagu antara Once dan Ahmad Dhani.
Apa yang menarik, walaupun terbelit dengan isu tersebut, Ahmad Dhani masih menegaskan bahawa mereka tetap berkawan. Malah beliau turut menyatakan bahawa jika ada penganjur yang ingin membawa Once beraksi bersama Dewa 19, beliau tetap mengalu-alukannya selagi terdapat persetujuan serta imbuhan yang sewajarnya. Ini membuktikan bahawa mereka memahami Dewa 19 sebagai sebuah jenama yang mempunyai nilai, dan bekas anggota masih mempunyai ruang dalam situasi menang-menang yang terbuka. Ini bukan sekadar diplomasi, ia adalah strategi budaya.
Dewa 19 merupakan contoh yang wajar diperhatikan tentang bagaimana sebuah band dapat menguruskan profesionalisme serta sikap masing-masing dengan akal sihat yang rasional dan logik dalam menangani kontroversi atau apa sahaja yang berpotensi menyebabkan mereka terkandas, kehilangan arah atau berpecah. Dewa 19 memahami satu perkara yang banyak band lain gagal fahami: band boleh berubah, anggota boleh datang dan pergi, tetapi jenama mesti terus hidup.
Jadi, apa ada dengan Dewa 19? Yang ada kini bukanlah kontroversi, tapi berita gembira, dimana dalam sidang akhbar yang diadakan di Jakarta baru-baru ini, mereka telah secara rasmi mengumumkan tarikh konsert terbaru Dewa 19 di Kuala Lumpur yang diberi nama “Cintaku Tertinggal di Malaysia.”

Konsert anjuran Icon Entertainment ini bakal menyaksikan dua band besar Indonesia berkongsi pentas. Kemunculan Dewa 19 dan Padi Reborn itu bakal mempertemukan para ‘Baladewa’ dan juga ‘Sobat Padi’ dalam satu konsert yang dijadualkan bakal berlangsung pada hari Sabtu, 6 Jun 2026 nanti, bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dalam sejarah muzik popular Indonesia, band asal Surabaya ini berdiri teguh sebagai salah satu kumpulan muzik paling berpengaruh yang masih bertahan hingga kini. Mereka kini sebaris dengan beberapa ‘legendaris’ serta senior mereka yang masih aktif seperti Soneta Group, God Bless dan Slank.
Bermula dengan kemunculan album pertama “Dewa 19” kira-kira tiga dekad lalu yang lalu, mereka bukan sahaja mencorakkan landskap muzik rock Indonesia, malah turut membentuk selera generasi pendengar melalui karya-karya yang bercita rasa tinggi. Kerjaya mereka telah menghasilkan diskografi panjang dengan 9 album studio dan 1 album kompilasi.
Band yang ditubuhkan seawal masih bergelar pelajar SMA dengan beberapa nama lain sebelum menjadi Dewa 19, mereka juga telah beberapa kali mengalami pertukaran anggota sepanjang penubuhannya. Antara bekas anggota mereka ialah Erwin Prasetyo (bass), Wawan Juniarso (dram), Andra Junaidi (gitar), serta Rere, Wong Aksan, Bimo Sulaksono, Tyo Nugros (dram), dan beberapa nama lain datang dan pergi sepanjang perjalanan Dewa 19.
Detik ‘monumental’ dalam perjalanan muzik mereka berlaku apabila Ari Lasso memilih untuk meninggalkan Dewa 19. Penyalahgunaan narkotik pada waktu itu memaksanya memutuskan hubungan dengan kumpulan tersebut. Ramai yang beranggapan bahawa ketiadaan Ari akan membawa kemunduran kepada perjalanan muzik Dewa 19. Namun keputusan Ahmad Dhani membawa masuk Once Mekel sebagai vokalis baharu akhirnya membuka era yang lebih besar bagi kumpulan tersebut. Dengan Once, Dewa 19 bukan sahaja bertahan, malah berkembang menjadi lebih matang dan sofistikated.

Walaupun tidak lagi bersama, kebanyakan bekas anggota tidak pernah berpatah arang dengan Dewa 19, Ari Lasso dan Once Mekel memilih kerjaya solo yang lebih bersifat peribadi manakala Andra Ramadhan menubuhkan band ‘side project’ Andra and The Backbone. Dalam beberapa konsert besar, mereka bahkan pernah muncul bersama di atas pentas. Hal ini menunjukkan bahawa dalam kalangan mereka, Dewa 19 masih dilihat sebagai sebuah legasi bersama, bukannya sebuah entiti yang perlu ditandingi.
Bagi peminat pula, kesetiaan mereka lebih tertumpu kepada lagu-lagu Dewa 19 berbanding siapa pun yang berdiri di posisi vokal, para peminat tetap menyanyi bersama tanpa terlalu mempersoalkan perbandingan individu. Apa yang mereka rayakan ialah kesetiaan jenama bersama lagu-lagu Dewa 19 yang telah menjadi institusi nostalgia dan juga latar yang telah mengisi kehidupan mereka.
Sejak tahun 2011, walaupun tidak lagi begitu produktif menghasilkan album baharu secara konsisten, mereka kini selesa menuai hasil daripada kerja keras dan perjuangan membina jenama Dewa 19. Legasi tersebut kini menghasilkan siri jelajah, projek reunion serta penganjuran konsert mega dan sebagainya. Ini membuktikan satu perkara penting: apabila sebuah jenama telah dibina dengan cukup kuat, ia mampu terus hidup tanpa perlu bergantung kepada material dan karya baharu, dalam industri muzik, legasi yang dibina dengan betul boleh menjadi aset yang bertahan jauh lebih lama daripada kitaran populariti biasa, dan dalam ekonomi muzik moden pula, ini sebenarnya model yang semakin dominan: legasi yang kuat lebih bernilai daripada produktiviti tepu yang dipaksa.
Dalam erti kata lain, Dewa 19 bukan sekadar kumpulan muzik, tetapi sebuah institusi budaya dalam sejarah muzik Indonesia.

Setelah melepasi lebih dari tiga dekad mengharungi perjalanan panjang dalam arus muzik Indonesia yang saban tahun melahirkan ribuan artis dan kumpulan baharu, mereka tetap teguh dengan jenama Dewa 19. Dan kini mereka bakal beraksi sekali lagi dalam konsert yang akan berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, bersama barisan anggota yang menampilkan Ari Lasso, Virzha, Marcello Tahitoe, Tyo Nugros, serta kemunculan khas oleh Padi Reborn bagi melepaskan rindu bersama peminat mereka disini.
Hingga saat ini Dewa 19 masih teguh bersama cintanya, dan kata mereka:
“Cintaku tertinggal di Malaysia.”

Bagi yang masih belum mendapatkan tiket, kategori dan harga tiket adalah seperti berikut:
RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pengeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta), RM488 (Sedang Ingin Bercinta)
Tiket tiket boleh didapati di: www.ticket2u.com.my/dewa19
