PADA awal bulan Mei, ketika masyarakat Islam masih rancak menghadiri majlis rumah terbuka dan menziarahi keluarga serta sahabat handai sempena Hari Raya Aidilfitri, telah berlangsung sebuah pameran seni yang membawa makna tersendiri. Pameran tersebut bertajuk Art Heals Art Changes: Pameran Kutipan Dana Kempen Selamatkan Kedai Buku Mandiri Tokosue.
Acara ini diadakan di Nafasahdu Art Space, sebuah ruang seni yang terletak di Jalan Istimewa, Kampung Batu Belah, Klang, Selangor.
Jadi, apakah yang menjadikan pameran ini begitu istimewa? Sejak dari niat asal penganjuran, acara ini sudah pun membawa makna yang meyakinkan. Ia lahir daripada usaha sekelompok seniman yang terpanggil untuk menjual karya mereka sebagai ikhtiar mengumpulkan dana demi membantu Tokosue, sebuah kedai buku mandiri. Tindakan ini bukan sahaja murni, malah mencerminkan rasa tanggungjawab bersama terhadap kelangsungan ekosistem budaya.
Tokosue, yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur, sedang berdepan kesukaran untuk meneruskan operasinya akibat kekangan kewangan. Perkara ini mula mendapat perhatian selepas berita mengenai keadaannya tersebar melalui media sosial dan beberapa portal dalam talian pada penghujung bulan Ramadan. Sebuah kempen kutipan dana kemudiannya dilancarkan sebagai usaha menyelamatkan kedai buku ini.
Dipendekan cerita pameran ‘Art Heals Art Changes: Pameran Kutipan Dana Kempen Selamatkan Kedai Buku Mandiri Tokosue’ telah berjaya dianjurkan oleh Satu: Creative Collective dengan kerjasama Nafasahdu Art Space, Satu Tiga Studio dan Batu Belah Art Community. Sumbangan untuk membantu Tokosue dikutip hasil jualan karya-karya yang dipamerkan pada acara tersebut.

Dalam masa yang singkat seramai 12 orang pengkarya berjaya dihimpunkan. Antara pengkarya yang terlibat adalah Ady Ezwan Nordin, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Marican, Arman Rizaudin, Dr. Elias Yamani Ismail, Fakir Md. Nor, Mat Ramli Mansoor, Nik Mohd Husyaidi, Nurul Azi, Khairul Izzuddin, Shamim Shanrum, Tan Chee Hon dan Zuli Ali.
Usaha mereka harus diberikan penghargaan kerana pantas bertindak walaupun tempoh masa yang diberikan bagi menghantar karya-karya ini agak singkat. Namun mereka tidak membuang masa dan terus bertindak untuk sama-sama membantu dalam penganjuran pameran ‘Art Heals Art Changes’.
Ini merupakan inisiatif yang terbaik yang diusahakan dari komuniti seni tanahair kerana tidak menonjolkan sifat individualistik yang hanya mementingkan periuk nasi dan tembolok mereka sahaja. Apa sahaja rezeki harus dikongsikan bersama ketika mengetahui ada mereka yang memerlukan bantuan inilah “special” tentang acara ini.
Latarbelakang Tokosue
Tokosue secara rasmi memulakan operasinya pada Julai 2020, ketika fasa pandemik Covid-19, melalui platform Shopee. Nama Tokosue diambil sempena pemiliknya, Sue Emoqwin. Kemudian, pada Mac 2022, Tokosue melangkah ke fasa baharu dengan membuka kedai fizikal yang terletak di Wisma Central.
Pada awalnya, hasrat memiliki kedai hanyalah untuk menyediakan ruang menyimpan stok buku dan memproses pembungkusan pesanan dalam talian. Namun, alang-alang sudah memiliki ruang sendiri, Tokosue turut membuka pintu kedainya kepada para peminat buku, meskipun ketika itu jumlah buku yang ditawarkan masih terhad.
Minat Sue pada buku dan seni telah mendorong beliau menganjurkan pelbagai acara pada hujung minggu seperti bual buku, open mic, bengkel bacaan puisi, penulisan, bengkel zine, bengkel cetakan. Tokosue turut meraikan hari wanita dan bulan zine sedunia dengan pelbagai acara di Tokosue yang dibantu oleh komuniti yang terdiri dari pelbagai latar usia dan bangsa.
Walau bagaimanapun, menjual buku bukanlah perjalanan yang mudah apatah lagi buku bukan produk konsumer harian. Dalam tahun ketiga beroperasi Tokosue mengalami kemerosotan dan turut berhadapan getir turun naik cabaran perniagaan dan mengalami masalah dari segi kewangan. Oleh sebab itu, keputusan berat terpaksa diambil untuk menutup Tokosue.
Namun beberapa rakan dan pelanggan kedai menyatakan sokong serta hasrat untuk Tokosue terus bertahan. Bagi mereka Tokosue adalah ruang selamat untuk ekspresi diri dan tempat bertemu yang bebas melontarkan pandangan dan kritikan tentang perkembangan penulisan dan penerbitan. Mereka sayangkan Tokosue yang sentiasa memperjuangkan konsep safe space ini yang sangat terhad di Kuala Lumpur.
Setelah menimbang semula pandangan mereka, demi komuniti pencinta buku yang saling membantu menempatkan penerbitan bukan arus perdana dan terbitan ‘Do it yourself’ berbentuk zine dan sebagainya. Tokosue lalu melancarkan kempen ‘Save-A-Bookstore’, dengan link jualan kilat pakej buku terbitan sendiri di bawah jenama Rocky Press, satu inisiatif bantuan untuk memanjangkan lagi hayat kedai kecil dengan impian besar ini.

Semua usaha sebelum ini digerakkan tanpa tajaan luar. Pemilik Tokosue menanggung sendiri segala kos. Sambutan terhadap kempen tersebut melebihi jangkaan. Sokongan mengalir dari pelbagai lapisan masyarakat. Tokosue tidak pernah bersendirian.
Ketika ujian semakin menekan, hadir sebuah tangan yang menghulur. Satu: Creative Collective tampil dengan niat murni untuk membantu. Tokosue menerima ajakan ini dengan penuh rasa syukur.
Bersama mereka, lahirlah Pameran Art Heals Art Changes. Sebuah acara kutipan dana untuk menyambung nafas kedai buku mandiri ini.
Semangat Mandiri: Acara Istimewa Di Jalan Istimewa
Usaha menjayakan sebuah pameran bertajuk ‘Art Heals Art Changes: Pameran Kutipan Dana Kempen Selamatkan Kedai Buku Mandiri Tokosue’ adalah inisiatif Satu: Creative Collective yang bertanggungjawab untuk menguruskan pameran.
Manakala Nafasahdu Art Group sudi menyediakan ruang untuk mengadakan pameran amal bagi mengumpul dana untuk kedai buku Tokosue untuk terus bertahan.
Satu: Creative Collective terpanggil untuk membantu kerana kepentingan ruang tersebut terus kekal dan menyumbang kepada masyarakat.
Semangat mandiri atau sikap ‘Do it yourself’ ini selaras dengan mindset Satu: Creative Collective yang diwujudkan pada awal tahun 2008. Ia lahir dari wawasan Dr. Elias Yamani Ismail dan Isnian Ibrahim yang merasakan platfom ini harus wujud. Ini penting malah essential pada para pengkarya untuk menimba serta berkongsi ilmu kesenian dan bebas mengekspresi karya mereka tanpa kerangka komersil yang bersiat formulaic dan manufactured.
Muktahir ini Satu: Creative Collective telah berjaya menjayakan 25 buah pameran secara mandiri, lapan sesi dialog seni dan enam buah penerbitan katalog segalanya atas usaha dan inisiatif sendiri.
Di dalam setiap bidang pasti ada cabaranya hal ini tidak terkecuali apabila membicarakan perkembang seni rupa Malaysia (Serum). Apa yang membelenggu pengiat seni adalah sikap konservertif institusi seni serta pentabir mereka yang celaru. Di dalam peranan institusi serta agensi kerajaan dalam mengangkat seni authentic, mengetengahkan karya-karya seni yang berkepentingan serta berpotensi dalam membentuk pembangunan seni sezaman.
Sebaliknya peranan ini diambil alih terajunya oleh galeri swasta yang membanjiri pasaran dengan karya-karya komersil malah dated. Hal ini berjaya menenggelamkan karya-karya avant-garde dan significant yang mesti diangkat kerana kepentingannya dalam pembudayaan ilmu kesenian atau melanjutkan kefaham ilmu seni itu sendiri.
Umum mengetahui bahawa kaedah galeri swasta beroperasi berbeza dengan mengutamakan citarasa berbanding ilmu. Entiti ini mengawal naratif seni negara dengan mengada-adakan dan memacu idealisme seni palsu. Kemudian karya-karya tersebut pula dipasarkan untuk dijanjikan laba keuntungan dari segi perlaburan, prestij dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi para pengkarya yang genuine dan berintegriti ia berhasil mewujudkan benteng yang membataskan kreativi dan kebebasan kreasi seni mereka yang sejajar dengan potensi perkembangan seni sezaman.
Hal ini turut berlaku dalam dunia penulisan dan penerbitan buku di Malaysia. Dikenalpasti, pada awal tahun 2006 berlaku gelombang gerakan penulis dan penerbit mandiri atau mengambil istilah ‘indie’ yang menolak lambakan bacaan yang picisan dan tidak relavan lagi dengan suara hati generasi masa kini. Di antara pelopor gerakan ini adalah Sindiket Soljah dan Neo Hikayat adalah gabungan penulis dan penerbit.
Seterusnya gelombang ini berjaya mewujudkan kelompok penulis sekitar 100 orang, 30 lebih penerbit bebas malah kewujudan kedai buku mandiri seperti Gerak Budaya, Kedai Fixi, Kawah Buku, Tokosue, Bibliobuku, dan sebagainya. Gerakan ini membentuk koloni baharu tanda satu protes anak muda generasi alaf baharu atau pasca moden yang tidak mahu tunduk dan akur pada syarat kandungan buku yang berkiblatkan kepada idea-idea kolot yang disumbat ke dalam arus perdana. Kumpulan penulis dan penerbit koloni indie ini sepakat mahu melahirkan buku yang autentik atau sepenuhnya berdasarkan aspirasi sendiri tanpa telunjuk, kawalan dan syarat-syarat yang dilihat tidak munasabah dan tidak lagi releven dengan nuansa semasa.
Gelombang buku ‘indie’ ini turut aktif menjayakan acara mandiri untuk menjual produk mereka secara terus dengan bantuan pengelola festival buku alternatif seperti Maskara, KL Alternatif Book Fair, Pekan Frinjan, Boco, Rantai, JB Writers Readers Fest, KL Reader Pop Fest dan KL Kita Punya. Tindakan ini adalah sikap proaktif atau memperkasakan koloni mereka untuk terus lestari. Ini akibat dari penulis dan penerbit buku ‘indie’ tidak setuju dengan pengedar buku yang mengenakan komisen sebanyak 40 peratus.
Hal ini menindas dan mengutip keuntungan hasil titik peluh dan melumpuhkan penerbitan buku negara. Perkara sama juga berlaku pada karya-karya seni yang dipamerkan di galeri komersil yang menolak sehingga 50 peratus hasil jualan setiapa karya yang dijual. Selain itu, galeri komersil jarang ingin mengeluarkan pelaburan pada bakat seni tanahair. Ini tidak adil kepada penggiat seni yang mengeluarkan modal dan kos bagi menampung penghasilan karya-karya mereka.
Matlamat acara pameran ‘Art Heals Art Changes: Pameran Kutipan Dana Kempen Selamatkan Kedai Buku Mandiri Tokosue’ oleh Satu: Creative Collective dengan kerjasama Nafasyadu Art Space haruslah dipuji dan dicontohi oleh komuniti seni di Malaysia. Sikap tidak mementingkan diri dan invidualistik adalah penting untuk memastikan kelestarian seni.
Semoga lebih ramai lagi individu, penggiat seni dan peminat seni membuka mata dan sedar untuk mengikut jejak mereka untuk sama-sama ikhlas saling membantu dalam komuniti seni tanahair. Cetusan atau impetus gerakan mandiri atau independent mesti wujud dalam dunia kesenian. Bagi membebaskan seni dari kepalsuan seterusnya menyalurkan nadi kebenaran kepada jiwa masyarakat di Malaysia.
– Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak sepenuhnya mewakili pendirian Senimalaya.
