Teks oleh: Syafiq Fawwaz Abdul Aziz
Absurd, fantastik, dan alam bawah sedar adalah antara elemen yang menjadi intipati kepada gerakan seni Surealisme.
Gerakkan dari para seniman yang menganuti fahaman ini juga menjadikan visi mimpi yang mereka alami sebagai tema dalam karya.
Dibincangkan sepintas lalu berkenaan karya-karya penting seniman daripada gerakan seni ini.
Penulis cuba membuat interpretasi dan apresiasi terhadap beberapa karya penting yang lahir dalam gerakan seni Surealisme dari perspektif estetika visual dan pemikiran pengkaryanya.
Berdasarkan medium seni lukis, kesusasteraan, perfileman dan fotografi, gerakan yang membawa gaya dan fahaman metafizik ini meneroka dan mencari cara untuk meluahkan perasaan artistik dalam bentuk dunia mimpi dan alam bawah sedar.
Pengenalan.
Surealisme ialah gaya dalam seni visual dan kesusasteraan moden yang muncul di Paris selepas Perang Dunia Pertama.
Seniman surealisme berusaha untuk meninggalkan pemikiran logik bersama dengan sempadan antara normal dan keanehan, untuk mencipta dunia yang lebih indah dalam karya kreatif melalui kebebasan bersuara dan imaginatif visual berlandaskan pemikiran alam bawah sedar.
Selain itu, karya-karya seniman Surealisme adalah adaptasi daripada alam mimpi, gabungan objek seharian dalam bentuk yang tidak rasional, dan abstraksi daripada kehidupan sebenar.
Diimbangi pula antara simbolisme dan realisme, karya seni seniman Surealisme berkaitan dengan tema kehidupan, kematian, kemodenan, politik, agama, dan juga seni itu sendiri.
Andre Breton (1896 – 1966).
Pergerakan seni Surealisme dicetuskan oleh penulis dan penyair daripada Perancis iaitu Andre Breton. Tidak berapa lama selepas Perang Dunia Pertama, yang berlangsung dari tahun 1914 hingga 1918, yang menyebabkan berjuta-juta orang terbunuh.
Pada saat itu, Breton mempunyai kepercayaan bahawa seni seharusnya tidak berkaitan dengan realiti peperangan, politik dan tenaga kerja yang membebankan. Sebaliknya, Breton percaya bahawa mimpi adalah elemen dan intipati terpenting dalam penghasilan karya seni juga dalam konteks kehidupan manusiawi.

Daripada perspektif seni lukis, seniman gerakan ini tidak lagi melukis tema dan subjek sebenar yang dapat dilihat daripada persekitaran mereka.
Breton dan seniman Surealisme menumpukan pada mimpi yang mereka alami sebagai subjek, dan melukis apa sahaja senario, fenomena dan idea aneh yang dapat dibayangkan oleh fikiran mereka.
Breton dan seniman Surealisme bersetuju untuk menggunakan perkataan ‘Surreal’ bagi tujuan menggambarkan idea baharu mereka.
‘Surreal’ bermaksud melampaui alam realiti atau alam nyata. Mereka menggunakan perkataan ini kerana mereka percaya bahawa dunia mimpi bukan sahaja berbeza daripada alam realiti malah lebih nyata.
“Surealisme adalah berdasarkan kepada kepercayaan realiti mimpi yang unggul”. – Andre Breton
Teori Freudian
Tambahan pula, pengaruh intelektual psikologi oleh Sigmund Freud juga banyak menyumbang kepada perkembangan gerakan Surealisme.
Sigmund Freud percaya bahawa dengan menganalisis mimpi, manusia dapat memahami minda bawah sedar dan melepaskan ingatan dan keinginan yang terpendam bagi penyembuhan atau terapi kepada neurosis.
Sementara itu, Sigmund Freud meneroka alam bawah sedar dan alam mimpi untuk tujuan terapeutik. Seniman Surealisme pula terpesona dengan konsep alam bawah sedar sebagai saluran untuk penerokaan dan eksplorasi imaginasi.
Teori Freudian sebagai wadah untuk mengakses dan menterjemah imej mimpi ke dalam karya khususnya catan dan penulisan kreatif.
Sigmund Freud (1856 – 1939)
Daripada perspektif psikologi, Teori Analisis Mimpi oleh Sigmund Freud berpusat pada idea bahawa mimpi memainkan peranan dalam memenuhi keinginan manusia.
Dalam hal ini, apa yang dialami seseorang semasa berada dalam keadaan mimpi adalah manifestasi keinginan bawah sedar mereka.

Di samping itu, catan seniman Surealisme banyak dipengaruhi oleh karya pelukis daripada Itali iaitu Giorgio de Chirico. Karya catan bertajuk ‘The Song of Love’ (1914) dihasilkan sebelum gerakan Surealisme wujud.
Namun demikian, seperti juga karya seni Surealisme yang lain, catan ‘The Song of Love’ penuh dengan kejutan dan pemilihan imej dalam catan itu kelihatan absurd, enigmatik dan paradoksikal.
Tajuk catan ‘The Song of Love’ itu sendiri nampaknya seperti tidak ada kaitan dengan apa yang ada dalam catan itu.
Daripada analisis visual terhadap catan ini, nampaknya terdapat gabungan objek yang aneh dalam komposisi catan tersebut. Terdapat subjek seperti sarung tangan getah yang bersaiz besar, kepala patung dan bola berwarna hijau.
Apakah bentuk di sebelah kiri dalam catan itu? Adakah ia wap dari corong kereta api, atau adakah kita melihat kepulan awan putih di langit biru?
Seniman Surealisme begitu mengagumi gaya yang mengelirukan ini dan mengaplikasikannya dalam karya mereka.

Diskusi Karya
‘The Persistence of Memory’ atau ‘La persistance de la memoire’ ialah sebuah catan cat minyak oleh Salvador Dalí. Dalam catan ini, Salvador Dalí meneroka sifat masa, memori, dan realiti.
Tema utama catan ini berkisar tentang idea bahawa masa adalah subjektif dan boleh dilihat sebagai mudah dibentuk, sementara digambarkan melalui imej jam yang mencair.
Dalam catan ini, Salvador Dali juga meneroka bagaimana pengalaman lalu membentuk masa kini.

Pengaruh Surealisme dalam Kesusasteraan, Filem dan Fotografi.
Bukan sahaja dalam disiplin seni lukis, pengaruh gerakan surealisme juga terdapat dalam disiplin seni lain seperti kesusasteraan, filem dan fotografi.
Antaranya ialah Lewis Carroll, seorang tokoh penting abad ke 19 yang menulis novel ‘Alice’s Adventure in Wonderland’.
Disebabkan obsesinya terhadap mimpi, unsur kegilaan dan penerokaan minda bawah sedar,
Lewis Carroll memilih untuk membawa heroinnya, iaitu Alice, ke dunia realiti alternatif yang penuh dengan misteri dan enigma.

Di samping itu, filem juga merupakan medium yang turut direvolusikan oleh gerakan seni Surealisme.
Imej yang pelik, mengejutkan dan penuh absurd digunakan untuk menggambarkan mimpi dan keadaan yang tidak rasional dalam karya filem.
Penerokaan dan eksplorasi ini berbeza daripada naratif filem konvensional. Sebagai contoh, Luis Bunuel dan Salvador Dali mengadaptasikan mimpi mereka ke dalam filem Un Chien Andalou (‘An Andalusian Dog’) pada tahun 1929.

Penggunaan ‘slow-motion’, ‘dislocation’ dan montaj memberikan kesan yang hebat dan luar biasa kepada ‘silent film’ ini pada era tersebut. Gabungan Bunuel dan Dali telah menghasilkan salah satu filem yang menarik perhatian pengkritik dan para penggemar filem.
Naratif Un Chien Andalou adalah berdasarkan kisah mimpi yang dialami sendiri oleh Bunuel dan Dali. Bunuel bermimpi tentang awan yang menghiris mata manakala Dali pula bermimpi tentang tangannya yang dipenuhi semut.
Kelahiran Amerika, Man Ray merupakan jurugambar Surealisme yang pertama. Selain Man Ray, jurugambar yang menghasilkan karya foto yang mempunyai nafas surealis termasuk Hans Bellmer daripada Jerman, Brassai daripada Hungary, Lee Miller daripada Amerika dan Frederick Sommer.
Dengan manipulasi ‘dark room’, rakaman daripada jarak dekat dan gabungan subjek yang tidak dijangka, fotografi terbukti sebagai medium yang mahir untuk menghasilkan imej berunsur surealisme.

Secara tuntas, setiap karya seni memerlukan apresiasi. Tanpa apresiasi, sesebuah karya seni dilihat tidak bermakna. Apresiasi perlu dibuat semasa menilai sesebuah karya.
Seniman Surealisme sangat menyukai tema yang luar biasa, absurd dan kelihatan fantastik dalam karya mereka.
Keanehan dan visi mimpi telah menjadi subjek dalam karya yang dihasilkan.
Kesimpulannya, gerakan seni Surealisme juga telah menyumbang kepada perkembangan Seni Moden, yang melahirkan beberapa seniman seperti yang dibincangkan bersama karya agung mereka.
Rujukan:
Demsey, A. (2019). Surrealism. London, Thames & Hudson.
Klingsohr-leroy, C. (2004). Surrealism, Taschen.
Schurian, W. (2005). Fantastic Art, Taschen.
Ahmad Rashidi Hasan, Abd Rasid Ismail & Abd Ghafar Baba (2010). A Brief History of Art, UiTM Malacca, Faculty of Art & Design.
Muhd. Syafiq Fawwaz Muhd. Abdul Aziz merupakan pensyarah Visual Arts & Entertainment Section (VAE), Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology.
