SENIMAN Abdullah Ariff (1904-1960), sosok yang dikenal sebagai tokoh seni lukis moden Malaysia, sering mengusik jiwa penghayat seni dengan cetusan karya-karyanya yang mempunyai sentuhan estetik, polemik, bertenaga, politik malahan kadangkala tebal dengan nuansa akademik.
Ungkapa seninya selari dengan zaman yang dilaluinya menjadikan beliau seorang seniman prolifik, walaupun sesekali terusik dengan kesan kontroversi.
Memulakan kerjaya sebagai guru lukisan, imej estetika Abdullah Ariff telah dikembangkan secara meluas dalam kalangan pelajarnya, mengasuh mereka dengan ilmu, agar mereka menjadi pengkarya yang berilmu.
Menelusuri jejak zaman dengan pelbagai ragam dan suasana, Zakaria Ali (2007) dalam bukunya “Abdullah Ariff: Bapa Senilukis Moden Malaysia” membahagikan perkembangan seniman ini kepada empat dekad yang berbeza, 30-an sebagai Era Permulaan, 40-an Era Mencapai Sentuhan, 50-an era Menerokai Perkembangan dan zaman yang dianggap Kemuncak Kegemilangan adalah pada era 60-an.
Seperti rakyat Malaya lain yang mahukan pembebasan daripada belenggu Empayar Imperialis British, Abdullah Ariff juga terpengaruh dengan gagasan Asia Raya melalui doktrin pembebasan Dai Toa Senso, ‘Asia untuk orang Asia’ dan ‘Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya’ anjuran pihak Jepun (Dai Nippon).
Mengambil pendirian menyokong Jepun dengan slogan-slogan propagandanya, Abdullah Ariff menggunakan sentuhan kuasa visual serta bakat kesenimanan melalui karya-karya kartun karikatur bersifat propaganda pro-Jepun dan anti-Barat.
Terasa dikhianati dan dipinggirkan oleh British, yang beliau anggapkan sebagai ‘tuan’ dan penaung kepada pemerintahan di Malaya, justeru membuatkan Abdullah Ariff bertindak menjadi kolaborator sekaligus propagandis visual (Lim, 2009).
Kerjaya Abdullah Ariff sebagai propagandis zaman perang dapat ditelusuri pada sketsa kartun satira pro-Jepun, yang bersiaran di akhbar-akhbar yang menjadi organ rasmi penyebaran propaganda oleh Jabatan Di’ayah (Senden-Bu) Pentadbiran Tentera Jepun. Misalnya seperti akhbar Penang Daily News dan The Syonan Sinbun.
Disamping penyiaran kartun di akhbar, Abdullah Ariff turut melukis 45 sketsa kartun pro Jepun, melalui buku yang berjudul ‘Perang Pada Pandangan Juru-Lukis Kita’ (The War as Our Cartoonist Sees It), yang diterbitkan di Pulau Pinang oleh Shu Seicho Renraku Jimusho pada bulan November 1942, 11 bulan setelah pihak Jepun menduduki kota Georgetown.
Visual sebagai medium penyebaran propaganda yang efektif (seni radikal yang berupaya mencengkam hati dan minda massa)
Seniman Abdullah Ariff telah mengambil sikap dan pendirian untuk bersama-sama pihak Jepun dalam ikhtiar menyuntik inti-inti dakyah di sepanjang tempoh pendudukan selama 3 tahun 8 bulan itu.
Justeru di waktu itu, wahana yang paling ideal untuk pesan-pesan propaganda ini disampaikan, tentunya melalui surat khabar. Akhbar Penang Daily News dan The Syonan Sinbun seperti mana akhbar Malai Sinpo, Berita Malai, Syonan Times, Malai Shimbun, Perobahan Baru, Perak Times dan beberapa akhbar lagi, menjadi organ utama Kerajaan Dai –Nippon untuk membawa berita-berita serta perkhabaran yang pro-Jepun dan anti-Barat dengan tapisan yang sangat ketat.
Perkara ini diseliakan oleh Jabatan Senden-Bu (Propaganda), yang berpengkalan di Singapura (Syonan-To). Berikut beberapa hasilan karya ‘perang saraf’ yang dihasilkan oleh Abdullah Ariff sebagai pelukis sekaligus sang propagandis prolifik untuk pihak Jepun.

Kartun “The Long Arm Nippon”, yang tersiar di akhbar Penang Daily News, 7 September 1942 membincangkan mengenai kejayaan serangan tentera Jepun ke atas Pearl Harbour pada 7 Disember 1941, yang melumpuhkan pasukan American Pacific Fleet.
Abdullah Ariff melukis Presiden Amerika, Roosevelt sebagai subjek utama karya propaganda anti Barat. Roosevelt dilukiskan berada dalam keadaan ketakutan, cemas dan tidak berdaya dipegang oleh tangan gergasi, simbolik kepada kekuasaan yang lebih besar serta kuat (yakni pihak Jepun) berbanding pihak Amerika.
Ekspresi wajah Roosevelt yang sangat ketakutan, digambarkan melalui sorotan matanya yang lemah memandang ke atas, tanda kekuasaan Amerika kini berada di bawah tangan (takluk) Jepun. Mulutnya dilukis herot seolah-olah tidak berupaya mengeluarkan kata-kata, kelu dengan kekalahan yang tidak pernah dijangkakan.
Garisan kedutan pada jaket yang dipakainya gambaran keadaan yang sudah tidak lagi terurus, selekeh dan sangat comot. Di tangan Roosevelt tergenggam segulung kertas separa renyuk yang bertulis; ‘Pacific Naval Plan’ (Terjemahan; Rancangan Armada Laut Pasifik). Kertas ini digenggam dengan erat tanda sebuah rahsia besar yang tidak ingin jatuh ke tangan musuh. Ini bermakna perencanaan dan perancangan Amerika yang telah gagal di Lautan Pasifik.
Sebagaimana keadaan kertas yang telah renyuk, begitu jugalah renyuk dan hancurnya perancangan mereka, bahkan segala rahsia serta maklumat rahsia ketenteraan bakal diketahui oleh pihak Jepun. Kaki Roosevelt dilukis terhayun lembik tanpa tulang, tanda dayus, membawa erti serta simbol kekalahan.

Kartun “They Are Growing More Food”, dalam akhbar Penang Daily News, 11 Oktober 1942, memaparkan peranan Abdullah Ariff sebagai propagandis, yang cuba untuk mengalih perhatian pembaca dan masyarakat kepada hal-hal domestik, terutamanya di Pulau Pinang.
Ilustrasi menggambarkan usaha orang Melayu menanam padi untuk meningkatkan hasil, agar rakyat di Malaya cukup makan. Identiti orang Melayu dapat diperhatikan pada pakaian yang dipakai oleh pesawah.
Imej topi tudung saji dan kain pelikat yang membelit pinggang, mewajarkan pernyataan ini. Dilihat daripada perspektif politik, orang Melayu yang banyak bekerjasama dan mendapat layanan yang baik daripada pihak Jepun, jika dibandingkan dengan kaum lain.
Imej ini juga dapat difahami sebagai manifestasi sokongan kepada gagasan ‘Shin Chitsujo’ (Tertib Baharu), yang menggalakkan penduduk Malaya mengusaha dan memakan hasil tanaman sendiri. Pentadbiran tentera Jepun telah memperkenalkan kempen ‘Menanam Lebih Tanaman Untuk Makanan’ (Growing More Food) di seluruh Malaya dan Singapura.
Visual ini sebenarnya adalah usaha mengolah persetujuan (memujuk dan menarik perhatian khalayak), bagi menutup hakikat bahawa kebuluran sedang berlaku sepanjang tempoh pendudukan Jepun. Melalui visual propaganda ini, rakyat Malaya akan mendapat maklumat bahawa bekalan beras tidak berkurangan dan usaha penanaman padi giat dijalankan oleh penduduk bertujuan melestarikan sumber domestik.
Imej pesawah, bajak dan kerbau yang terdapat pada kartun ini menjelaskan aktiviti yang dijalankan, iaitu membajak dan menuai padi. Pelukis memanfaatkan ilusi ruang (perspektif depan dan belakang) bagi menggambarkan aktiviti ini dengan jelas melalui pengolahan kualiti garisan dengan sebaik-baiknya.

Sketsa kartun ‘Heart Breaking – for the Allies’, di dalam buku The War As Our Cartoonist Sees It, terbitan Penang Shu Seicho Shimbun Renraku Jimusho, November 1942 memperjelas sindiran dan kritikan penguasaan ekonomi hasil getah pasukan bersekutu, yang berpindah laba kepada pakatan Axis dokongan Jepun, Jerman dan Itali.
Menguasai ekonomi bererti menguasai sumber dan kekayaan negara. Hal kekuasaan ekonomi ditafsir secara simbolik oleh Abdullah Ariff melalui karektor-karektor pimpinan besar dunia yang terlibat dalam kancah Perang Dunia Kedua.
Barat semakin kering hasil sebaliknya di pihak Axis sokongan, dokongan dan keuntungan semakin meningkat setiap masa.. Hal yang dapat diperhalusi melalui ekspresi wajah setiap pimpinan kedua-dua belah pihak. Dipihak Axis bergembira tawa sementara di pihak seteru mereka berkeluh kesah kerugian dan hilang kuasa.

Ilustrasi Perayaan “Tentyo Setsu Di Syonan”, dalam akhbar The Syonan Sinbun 30 April 1943, menggambarkan figura seorang pemuda yang dilukiskan lengkap berpakaian baju Melayu, bersongkok, bersampin dan memakai capal mewakili bangsa Melayu sebagai kaum pribumi yang dominan di Malaya.
Posisinya yang berada di kawasan tengah ilustrasi menjadi titik fokus dalam mempernyatakan keterlibatan dan sokongan bangsa Melayu kepada acara sambutan yang dijalankan. Hari kelahiran Maharaja Jepun, Jimmu Tenno-Heika disambut gilang gemilang dengan kepelbagaian acara serta aktiviti yang dipersembahkan oleh pelbagai bangsa, terutamanya perkara yang terkait dengan kesenian dan budaya orang Melayu.
Persembahan nyanyian oleh si pemuda dizahirkan dalam keadaan penuh penghayatan dan perasaan. Hal ini tergambar melalui ekspresi raut wajah, sorotan mata serta pergerakan tangan yang seakan menjiwai lagu yang didendangkannya. Berkemungkinan si pemuda mengumandangkan bait-bait seni kata memuji kebaikan pentadbiran Jepun di Malaya, dengan restu sang Maharaja. Ia beriringan jua seperti mana yang turut dilakukan oleh para kolaborator dan propagandis melalui karya-karya kesusasteraan, pengucapan lisan dan pesona visual propaganda.
Imej sepanduk sambutan perayaan dan dua lantera bertulisan kanji berada betul-betul di bahagian belakang figura, memberi pemaknaan bahawa acara nyanyian merupakan aktiviti utama berbanding hal yang lain.
Melengkapkan aturan pada maklumat visual ini, adalah imej bendera Jepun (Hinomaru) dan bendera yang memakai simbol bulan sabit dan bintang sebagai simbolisasi integrasi, sokongan, hubungan akrab serta kerjasama di antara pihak Jepun dan masyarakat. Visual ini secara halus merupakan usaha menarik hati khalayak dan seterusnya menyuntik racun indoktrinasi untuk terus mendukung pemerintahan Jepun.
Sentuhan aritistik, kreatif dan sinergetik pada karya propaganda Abdullah Ariff menjadi bukti bergambar coretan serta rententan peristiwa, sewaktu era kacau bilau konflik Perang Dunia Kedua. Sketsa kartun bersifat indoktrinal dan propagandistik, dituangkan oleh sang seniman, mewarnai suasana perang. Kartun dapat ditanggapi sebagai salah satu medium atau senjata yang ampuh, buat mempernyatakan sokongan kepada gagasan baru dari timur yang menguasai Malaya ketika itu. Karya Abdullah Ariff yang berjaya dikesan sewaktu pendudukan Jepun, memberi bukti dan rekod bergambar bahawa beliau pernah menjadi kolaborator serta propagandis yang aktif berkreativiti disepanjang tempoh yang penuh gelora tersebut.
Rujukan
Ahmad, Abu Talib, 2003, The Malay Muslims, Islam and the Rising Sun: 1941–1945, Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.
Ahmad Meah Baba Ahmed, (1992). Penaklukan Jepun: Suka Duka di Georgetown. Kuala Lumpur: Media Indah Sdn. Bhd.
Akhbar Penang Daily News (Oktober 1942 sehingga November 1942)
Akhbar The Syonan Sinbun (15 Februari 1943)
Cheah Boon Keng (2014). Red Star Over Malaya; Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation of Malaya, 1941-46 (Cetakan ke-empat). Singapura: NUS Press Singapore.
Lim, Cheng Tju (2009).”Forgotten Legacies”: The Case of Abdullah Ariff’s Pro-Japanese Cartoons During the Japanese Occupation of Penang. Drwing The Line: Using Cartoon as Hitorical Evidence, edited by Scully, Richard; Quartly, Marian. Melbourne: Monash University ePress.
Md. Sidin Ahmad Ishak (1998). Penerbitan & Percetakan Buku Melayu, 1807-1960. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zakaria Ali (2007). Abdullah Ariff: Bapa Senilukis Moden Malaysia. Kuala Lumpur: Balai Senilukis Negara.

