Calon Malaysia ke Anugerah Akademi ke-97, Abang Adik terpilih untuk dipertandingkan di Asian World Film Festival (AWFF) 2024 di Los Angeles yang akan berlangsung bermula 13 November ini, lapor Variety.
Abang Adik akan bersaing bersama 15 filem dari Asia lain, yang juga wakil negara masing-masing untuk merebut Oscars bagi kategori filem asing terbaik.
Antara 15 filem itu termasuk 12.12: The Day dari Korea Selatan, Laapataa Ladies (India), How to Make Millions Before Grandma Dies (Thailand), dan Meeting with Pol Pot (Kemboja).
“Saya kagum dengan kedalaman dan luasnya karya-karya yang diatur bagi AWFF pada tahun ini,” kata pengarah eksekutifnya Georges N. Chamchoum seperti dipetik oleh Variety.
Kesemua 16 filem itu bersaing untuk anugerah Snow Leopard bagi filem terbaik serta hadiah lain bagi kategori pelakon lelaki dan wanita terbaik, anugerah khas juri dan filem pilihan penonton. Anugerah sinematografi terbaik pula ditaja oleh Panavision.
Selain 16 filem ini, ada dua lagi filem yang juga bersaing untuk Anugerah Akademi bagi kategori filem asing terbaik. Dua filem itu ialah From Ground Zero yang mewakili Palestin dan Santosh dari United Kingdom.
Sementara itu, filem The Sinking of the Lisbon Maru, calon China yang ditolak penyertaannya untuk Oscars bagi kategori filem asing terbaik juga menggunakan pentas AWFF untuk mendapatkan pencalonan bagi kategori dokumentari terbaik.
Abang Adik, arahan Jin Ong, menerima tujuh pencalonan untuk Golden Horse Awards di Taiwan dengan menang satu anugerah pelakon lelaki terbaik melalui pelakon utamanya Wu Kang-ren.
Ia juga sebelum itu menang anugerah filem terbaik di New York Asian Film Festival dan Far East Film Festival di Udine, Itali.
Abang Adik juga meraih jualan tiket yang tinggi semasa ditayangkan di Taiwan, Hong Kong, dan China. Ia mengutip hampir RM6 juta hasil jualan tiket di Malaysia.
Abang Adik sedang ditayangkan di Netflix.

