UNGKAPAN ‘wartawan – sasterawan’ adalah merujuk kepada segolongan wartawan yang pada masa sama mempunyai kemahiran menghasilkan karya sastera seperti novel, puisi dan cerpen. Bermula pada era penjajah dekad 1930-an di Singapura, selain menyalakan perjuangan kebangsaan melalui karya kewartawanan, wartawan berperanan menggunakan karya sastera untuk tujuan yang sama.
Gerakan itu dipelopori oleh bapa kewartawanan Melayu, Rahim Kajai, yang juga pengarang pertama akhbar Utusan Melayu di Singapura pada 1939. Rahim Kajai mengasuh wartawan-wartawan bawah pimpinannya menghasilkan berita dan rencana yang tajam, masa yang sama mesti menulis karya sastera seperti cerpen yang berlatarkan isu semasa.
Rahim Kajai sendiri mempelopori genre cerpen Melayu pada era sebelum Perang Dunia Kedua. Sekalipun jumlah karya cerpennya tidak banyak – hanya 48 buah cerpen yang ditulis antara tahun 1930 hingga 1942, akan tetapi telah membina satu tradisi baharu kepada generasi wartawan selepasnya untuk berjinak-jinak dan menghasilkan karya sastera. Rahim Kajai meninggal dunia pada usia yang pada relatifnya muda iaitu 43 tahun pada 5 Disember 1943.
Salah seorang wartawan muda yang turut menerima asuhan secara langsung daripada Rahim Kajai adalah Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A Samad Ismail. Asuhan itu akhirnya menjadikan Samad Ismail seorang yang terbilang dalam kewartawanan dan juga kesusasteraan. Malah merupakan legasi terawal Rahim Kajai meneruskan ‘wartawan – sasterawan’ dalam kalangan wartawan Melayu di Singapura dan di Kuala Lumpur.
Pada era penjajah, peranan kewartawanan dan kesusasteraan bertimbal balik antara satu dengan lain dengan matlamat yang sama iaitu membebaskan pemikiran rakyat yang terjajah. Karya sastera menjadi wadah penting apabila penjajah mengenakan begitu banyak sekatan dan kawalan terhadap bahan siaran seperti berita dan rencana di surat khabar.
Hal itu juga menunjukkan bahawa ketakutan, kebimbangan sekaligus prasangka penguasa terhadap wartawan bukan baharu. Sejak zaman penjajah lagi sudah wujud kongkongan seperti yang berlaku kepada wartawan pada ketika ini. Maka pengulangan kongkongan pada perkara-perkara yang tidak munasabah adalah legasi pemikiran penjajah.
Penjajah berbuat sedemikian untuk menyekat semua laporan atau berita yang dianggap boleh menyedarkan rakyat dan bangkit melawan serta menuntut hak. Wartawan terpaksa berdepan dengan banyak ‘pantang larang’ yang bertujuan untuk mengecilkan saluran maklumat kepada rakyat.
Salah satu sebabnya kebangkitan semangat kebangsaan Melayu pada zaman penjajah selari dengan perkembangan dunia persuratkhabaran dan penerbitan majalah. Pada dekad-dekad berkenaan, sambutan khalayak terhadap karya sastera sangat tinggi dan sebahagian besar dihasilkan oleh ‘wartawan – sasterawan’ yang dicetuskan oleh Rahim Kajai.
Bertolak daripada tradisi ‘wartawan – sasterawan’ yang dimulai Rahim Kajai, Samad Ismail memulakan halaman sastera di Utusan Melayu dan majalah Mastika. Kedua-duanya menjadi wadah percambahan karya sastera selain isu-isu semasa berkaitan rakyat.
Keberadaan Samad Ismail sebagai sasterawan sangat ketara. Walaupun begitu, keadaan demikian tidak mengurangkan tumpuannya pada karya kewartawanan sekaligus memimpin dan membentuk hala tuju Utusan Melayu sebagai surat khabar perjuangan yang lantang.
Pada zaman penjajahan, selain menjadi pengarang Berita Malai, Samad Ismail juga sangat giat menulis cerpen untuk disiarkan dalam majalah Semangat Asia yang condong menyokong Jepun. Kajian mendapati sekurang-kurangnya tiga cerpen tulisan Samad Ismail disiarkan dalam majalah itu pada tahun 1944.
Cerpen-cerpen itu adalah Seorang Pengail, Ubi Kayu dan Ke Bentan To. Cerpen Ubi Kayu menyindir mata wang Jepun yang jatuh dan menjadi nilainya lebih rendah daripada ubi kayu, sementara cerpen Ke Bentan To pula Samad Ismail mengajak orang Melayu mengusahakan pertanian untuk memajukan diri dan bangsa.
Keberadaan Samad Ismail sebagai ‘wartawan – sasterawan’ amat terpancar daripada karya-karya cerpen yang dihasilkan pada dekad 1940-an hingga 1950-an, iaitu berlatarkan realiti sosial zaman perang di Singapura. Bukan sahaja latar, bahkan isu yang diangkat dalam cerpen berkenaan juga adalah yang bersifat semasa.
Sebenarnya kita beruntung kerana ada insan seperti Allahyarham Abdul Karim Abdullah atau Bung Karim seorang penulis yang sangat rapat dengan Samad Ismail. Abdul Karim berusaha mengumpul cerpen-cerpen Samad Ismail yang daripada pelbagai sumber – terutama surat khabar Utusan Melayu dan beberapa majalah.
Cerpen-cerpen itu dimuatkan dalam antologi Ingin Jadi Pujangga yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1994. Antologi yang tebalnya 833 halaman itu memuatkan 40 buah cerpen yang ditulis antara tahun 1944 hingga 1991 dan dianggap himpunan cerpen Samad Ismail yang paling lengkap.
Sekalipun antologi Ingin Jadi Pujangga dianggap himpunan cerpen terlengkap, Abdul Karim tetap percaya masih banyak cerpen Samad Ismail yang hilang. Hal itu berlaku disebabkan banyak daripada cerpennya tidak menggunakan nama sebenar atau nama samaran yang dikenali oleh kawan-kawannya.
Jangan terkejut, Samad Ismail menggunakan berpuluh nama samaran hingga beliau sendiri pun terlupa nama samaran dan judul cerpennya. Dalam kalangan kawan-kawan rapatnya pula hanya tahu beberapa nama samaran seperti ‘Asmal’ dan ‘Orang Sekijang.’ Nama samaran Asmal adalah singkatan daripada nama dua kawan baiknya, Asraf dan Kamaluddin Muhammad (Keris Mas).
Banyak nama samaran lain tidak diketahui oleh kawan-kawan rapatnya terutama ketika beliau menjadi tahanan British di Singapura pada 1951 hingga 1953. Walaupun ditahan, Samad Ismail adalah seorang yang sangat licik. Beliau bukan sahaja terus menulis cerpen malah diseludup keluar kemudian disiarkan di Utusan Melayu dan Mastika.
Antara cerpen yang disahkan ditulis dan diseludup ke Mastika ialah Ingin Jadi Pujangga, Bung Leman dan Pertentangan. Hal itu menunjukkan tirai besi tidak mampu memenjarakan suara seorang perjuang yang sebenar. Cerpen Ingin Jadi Pujangga itu adalah kritikan sinis kepada golongan yang bercita-cita menjadi sasterawan, tetapi tidak sanggup meredah kesukaran dan halangan.
Hal itu wajar diambil iktibar oleh penulis generasi baharu zaman ini supaya tidak terlalu ‘manja’ dengan kemudahan dan sokongan daripada pelbagai pihak. Lebih banyak meminta daripada memberikan karya yang boleh mengangkat aras pemikiran bangsa.
Cerpen-cerpen yang dihasilkan Samad Ismail itu adalah pemikiran perjuangan yang tidak boleh disalurkan dalam bentuk berita atau rencana. Orang Melayu yang menjadi sasaran Samad Ismail pula sangat memahami maksud tersirat dalam karya berkenaan. Apresiasi masyarakat pada karya-karya kesusasteraan berada di tahap yang sangat tinggi dan tidak sepadan dengan zaman yang penuh kepayahan.
Saya pernah mengikuti satu forum di DBP awal tahun 1990-an di mana Samad Ismail menjadi tetamu memperkatakan tentang ruang kebebasan berkarya. Selepas Samad Ismail bercakap, bangkit seorang penulis muda yang agak sohor ketika itu dan mengadu bahawa kerajaan semasa ketika itu sangat mengongkong kebebasan berkarya.
Samad Ismai mendengar dengan tekun kemudian ketawa kuat. Semua tetamu terpinga-pinga. Selepas penulis muda itu duduk, Samad Ismail tidak terus menjawab perihal sekatan yang dikatakan ketat oleh penulis itu. Sebaliknya Samad Ismail bercerita tentang keadaan pada zaman penjajah.
Kata Samad Ismail, “Zaman aku dulu kalau silap tulis kena pancung. Tetapi aku terus juga menulis rencana dan cerpen. Dari dalam penjara pun aku boleh menulis dan seludup keluar. Kena pandai-pandailah. Tak boleh cara ini, buat cara itu. Aku tak tau nak komen sangat tentang zaman ini.”
Sekalipun tidak menjawab, tetapi soalan itu tentunya sudah terjawab dengan perbandingan yang dibawakan oleh Samad Ismail. Sebenarnya banyak cerpen tulisan beliau yang mengkritik atau menyindir penjajah. Bagaimanapun dengan kehebatan beliau bersilat dengan kata-kata, perkara yang disampaikan itu tidak dapat dihidu oleh penjajah.
Daripada 40 cerpen dalam antologi Ingin Menjadi Pujangga, separuh daripadanya berlatarkan dunia kewartawanan dan persuratkhabaran. Malah ada beberapa cerpen yang mengambil latar pejabat editorial surat khabar tempat Samad Ismail bekerja, serta nama-watak watak yang sebenar.
Difahamkan beberapa cerpen itu ditulis untuk mengisi halaman sastera kerana ada kalanya karya yang dihantar oleh penulis luar tidak menepati piawaiannya. Malah, banyak juga cerpen yang mengangkat isu pergolakan politik tanah air, di samping persoalan-persoalan hidup masyarakat yang sesuai dengan konsep perjuangan seni untuk masyarakat.
Konsep itulah yang mendokong gagasan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) sebuah gerakan sasterawan yang turut ditubuhkan oleh Samad Ismail untuk memperjuang kemerdekaan. Kemudian beliau membuka laluan kepada sasterawan ASAS 50 berkarya di Utusan Melayu dan majalah Mastika.
Demikianlah asuhan dan tunjuk ajar Rahim Kajai yang menjadikan Samad Ismail dan wartawan-wartawan lain zaman penjajah sebagai pejuang dan pemikir bangsa. Mereka tidak boleh hanya menjadi pemerhati yang pasif. Sebaliknya perlu bertunjangkan ciri-ciri seorang pejuang dan pembentuk pemikiran masyarakat.
Samad Ismail terus mengimbau zaman perang dan penjajahan dalam novel-novel yang dihasilkan selepas merdeka terutamanya ketika memimpin surat khabar Berita Harian di Kuala Lumpur. Semua 11 novel itu dihasilkan antara tahun 1966 hingga 1975, tetapi tidak terlepas daripada dunia kewartawanan dan persuratkhabaran pada zaman penjajah.
Novel-novel itu adalah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Orang Jauh (1968), Menduga Lautan Dalam (1968), Menimba Yang Jernih (1968), Detik-Detik Cemas (1969), Orang Lama (1969), Hussein Zed (1970) dan Sutinah (1975).
Kemuncak kejayaan Samad Ismail dalam kesusasteraan apabila dianugerahkan Hadiah Pejuang Sastera pada 1976. Hadiah itu menjadi begitu unik apabila diberikan kepada wartawan yang menjadi pengasuh dan melahirkan begitu banyak sasterawan pada zaman sebelum dan selepas merdeka.
Bagaimanapun beberapa bulan selepas mendapat Hadiah Pejuang Sastera, pada era Perdana Menteri Hussien Onn dan Menteri Dalam Negeri, Ghazali Shafie, Samad Ismail ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tahanan selama enam tahun pada 1976 hingga 1981 itu atas tuduhan menyokong ideologi komunis.
Seperti biasa, tahanan ISA tidak berpeluang untuk membela diri. Malah dipaksa menerima hukuman yang seolah-olah sudah tersedia untuk mereka. Haknya sebagai warga yang merdeka untuk mendapat keadilan telah dinafikan. Lebih ironi lagi perkara itu berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan dan Samad Ismail salah seorang pejuangnya.
Itu antara tragedi pahit yang tercatat pada garis masa Samad Ismail selepas menjadi tahanan British tahun 1951 di Singapura dan ‘dibuang’ ke Jakarta sebagai koresponden Utusan Melayu pada 1957 kerana pertentangan prinsip dengan majikan. Hal itu membuatkan beliau tidak dapat menyaksikan hasil perjuangannya pada detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Anak perempuan beliau, Nuriana Samad yang juga bekas pengarang urusan New Straits Times (NST) telah menghasilkan memoir, Tuesday With Bapak pada 2022. Memoir itu menceritakan pada setiap Selasa selama enam tahun beliau datang berjumpa ayahnya di balai polis. Demikianlah mahalnya harga yang perlu dibayar oleh seorang wartawan sekaligus sasterawan yang turut berjuang memerdekakan negara.
Berdasarkan buku Wajah; Biografi Penulis Melayu, daripada 100 orang penulis dalam senarai awal sasterawan di negara ini, 33 orang datangnya dari Utusan Melayu. Yang menariknya semua mereka adalah wartawan yang mengembangkan jalur penulisan dalam kesusasteraan, termasuk yang meniupkan kesedaran kebangsaan.
Nama-nama seperti Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said, Jymy Asmara, Ahmad Boestamam, Salmah Mohsin, Zaharah Nawawi, AS Amin, Abu Zaki Fadhil, Adi Mas, Alias Ali, Mohamad Dahlan Hj Masud (Hamdan), Harun Hassan, Ilias Zaidi, Ahmad Lufti, Khatijah Hashim, A. Shukor Harun, A.R. Kamaluddin, Atondra, Awam Il Sarkam, Hamzah Hussein, Ibrahim Omar, Baharuddin CD, Ali Hj Ahmad (Nora), Zahari Affandi dan Johan Jaaffar adalah antara ‘wartawan-sasterawan’ yang dimiliki oleh Utusan Melayu.
Tidak semua dalam kalangan sasterawan itu mendapat asuhan secara langsung daripada Samad Ismail. Akan tetapi mereka bergerak di atas landasan dan melihat ‘wartawan – sasterawan’ daripada relung yang telah dibuka oleh Samad Ismail suatu waktu dulu.
– KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

