KITA perlu memperingati, dan merayakan, 100 tahun A Samad Ismail, tokoh wartawan yang lahir pada hari ini, 18 April, seabad yang lalu.
Kita perlu memperingati, dan merayakan, seabad A Samad Ismail terutamanya ketika dunia kewartawanan itu sendiri sudah berubah dengan cukup luar biasa.
Berita, misalnya, tidak lagi dibaca pada esok hari tetapi sekarang, begitu sesuatu terjadi. Orang umumnya tidak lagi membeli akhbar dan majalah untuk mengetahui perkembangan semasa. Akhbar dan majalah cetak banyak yang sudah mati sementara sedikit yang masih terbit, termengah-mengah mahu meneruskan hidup dari hari ke hari.
Saya membayangkan seorang A Samad Ismail mungkin tergamam melihat apa yang terjadi kepada dunia persuratkhabaran hari ini.
Mungkin juga dia ikut bingung cuba menghadapi dan membetulkan maklumat palsu yang begitu galak tersebar seperti maraknya api yang membakar rumput kering pada tengah hari bulan Mac.
Selebihnya, saya suka hendak mengkhayalkan carut-marut seorang A Samad Ismail melihat cara wartawan dan bilik berita hari ini bekerja.
A Samad Ismail jadi wartawan selama hampir setengah abad. Dia bermula sebagai pemberita di Utusan Melayu di Singapura — zaman ketika berita masih ditulis dengan mesin taip dan diatur satu demi satu hurufnya di mesin cetak. Umurnya ketika itu lewat 16 atau awal 17 tahun. Baru habis sekolah, baru lulus Senior Cambridge.
Pengalamannya dalam kewartawanan dan persuratkhabaran cukup panjang. Dia menghidupkan Utusan Melayu pada tahun-tahun awalnya di Singapura, sebelum akhbar itu berpindah ke Kuala Lumpur. “Saya kelulusan Utusan Melayu. Saya dibesarkan, dididik, dipupuk, dan didewasakan oleh Utusan Melayu,” katanya.
Biarpun ada episod yang sangat melukakan ketika A Samad Ismail bersama Utusan Melayu, yang membuatnya terkilan sampai ke akhir hayat, dia sangat mengenang jasa akhbar itu kepada pertumbuhan dirinya.
“Kami saling pengaruh-mempengaruhi. Saya membentuk Utusan dan Utusan membentuk jiwa saya; kami saling terhutang budi satu sama lain,” katanya lagi.
Selepas meninggalkan Utusan Melayu, A Samad Ismail memimpin Berita Harian yang mula terbit pada hujung 1950-an. Pada hujung kerjayanya, dia jadi penasihat editorial kepada New Straits Times.
Di Utusan Melayu, A Samad Ismail berguru langsung dengan Abdul Rahim Kajai, tokoh persuratan yang kemudian disepakati ramai sebagai Bapa Kewartawanan Melayu. Di Utusan Melayu juga pada masa itu ada Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali dengan nama Pak Sako.
Dua pengarang inilah yang mencorakkan wibawa A Samad Ismail sebagai pengarang dan wartawan. Ketiga-tiga mereka juga tidak hanya mengotorkan tangan di ranah persuratkhabaran tetapi turut meninggalkan khazanah sastera yang sangat berharga.
Dua tokoh ini mengasuh A Samad Ismail antara lain bahawa kerja penulis bukan di meja tulisnya tetapi di tengah masyarakat. Dia selalu dipesan supaya masuklah ke dalam masyarakat dan bergaul dengan mereka. Perhatikan mereka. Berbual dengan mereka.
Itulah yang A Samad Ismail jenuh lakukan pada tahun-tahun awalnya sebagai pemberita — lama sebelum dia jadi pengarang.
A Samad Ismail juga selalu berpesan: Kalau mahu jadi penulis, banyaklah membaca dan asahlah kecekapan menulis terus-menerus. Pesannya lagi: Kalau mahu jadi penulis, jangan pernah merasa sudah pandai menulis — belajarlah menulis setiap hari.
Pernah dalam satu bengkel penulisan rencana pada tahun 1990-an, A Samad Ismail yang umurnya dalam lingkungan 70-an mendedahkan betapa sampai saat itu pun, ketika dia sudah rasmi bersara dari bilik berita, dia tidak pernah berpuas hati dengan hasil tulisannya.
“Sebenarnya saya sangat merasa serba kekurangan dalam menguasai bidang saya. Hingga hari ini saya masih merasa saya banyak kelemahan dan kekurangan dalam bidang penulisan.
“Saya masih menjadi pelajar dalam bidang saya,” katanya.
Sepanjang hayatnya, A Samad Ismail meninggalkan banyak pesan berharga tentang kewartawanan dan penulisan. Walaupun sudah ada usaha menghimpunkan pesan-pesannya itu, masih ada lagi pesan-pesannya yang terpencar di sana sini.
Tulisan jurnalistiknya juga belum habis diteliti dan belum juga dikumpulkan untuk dikaji dengan lebih terperinci.
Daripada sedikit yang dikumpulkan, dan kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris ketika dia di New Strait Times, terserlah gaya kepengarangan dan kewartawanan A Samad Ismail yang pasti boleh memandu generasi penerus kewartawanan tanah air untuk menajamkan tulisan mereka.
Hampir 20 tahun sebelum A Samad Ismail meninggal dunia pada 2008, pernah ada saranan supaya tulisan-tulisannya di Utusan Melayu dan Berita Harian dikumpulkan untuk dikaji. Tidak pasti cadangan itu dipedulikan atau tidak.
Sejak awal tahun ini, menjelang seabad A Samad Ismail, muncul lagi beberapa saranan bernas bukan sekadar untuk mengenang tetapi untuk mengembangkan lagi sumbangannya kepada bangsa.
Kita perlu memperingati, dan merayakan, 100 tahun A Samad Ismail, tokoh wartawan yang lahir pada hari ini, 18 April, seabad yang lalu. Moga dengan peringatan dan perayaan itu, setidak-tidaknya kewartawanan kita berjalan di landasan yang betul — tidak menerawang sesat larat dan tidak terjerumus ke longkang.
Kita perlu memperingati, dan merayakan, 100 tahun A Samad Ismail kerana dia bukan sekadar guru kewartawanan. Dia adalah antara guru besar bangsa — biarpun bangsa ini memang tidak pernah tahu hormat apatah lagi menghargai semua gurunya.
