KALAU ada satu elemen warisan budaya sepunya dalam rantau Asia Tenggara yang wajar diberikan perhatian dan pemeliharaan, ia sudah tentulah wayang kulit. Dikatakan berasal dari benua kecil India sejak lebih seribu tahun lalu, wayang kulit menjadi seni persembahan tertua yang wujud di Asia Tenggara, dengan pelbagai variasi mengikut kawasan dan budaya setempat.
Mengambil sempena Malaysia menjadi tuan rumah bagi Kepengerusian ASEAN yang ke-44 pada tahun ini, Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, tidak ketinggalan meraikan kebersamaan serantau menerusi wayang kulit dengan menganjurkan pameran A Life in Shadows: The Story of Wayang Kulit.
Pameran yang berlangsung selama dua bulan lebih bermula 13 Februari sehingga 30 April 2025 itu menampilkan koleksi wayang kulit dari empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Kemboja.
Selain koleksi wayang kulit daripada empat negara ini, Muzium Seni Asia turut bekerjasama dengan jurufoto budaya berpangkalan di Sydney, Australia, Constantine Korsovitis, selaku kurator bersama dengan mempamerkan koleksi foto beliau yang sudah lebih 20 tahun merakam wayang kulit dan dunia seputarnya di pelbagai negara menerusi lensa kamera.
Saya langkah kanan, kerana ketika menghadiri pameran ini tanpa rencana awal pada 26 Februari yang lalu, Muzium Seni Asia sedang mengadakan diskusi buku Constantine yang berjudul A Life In Shadows: Shadow Theatre In South-East Asia, dan saya berpeluang bertemu dan berbicara dengan tuan empunya badan.
Koleksi ‘emas’ Dolah Baju Merah
Antara koleksi yang menarik perhatian saya sudah tentu koleksi dari tanah air sendiri; patung-patung wayang kulit milik dalang terkenal tanah air iaitu Dollah Baju Merah. Koleksi yang dijaga selia oleh Muzium Seni Asia sendiri ini menampilkan lebih 25 patung yang jarang-jarang dipamerkan di mana-mana.
Dollah Baju Merah atau nama sebenarnya Tok Dalang Abdullah Ibrahim (1937-2005) merupakan seorang tokoh penting dalam dunia wayang kulit Kelantan. Beliau dikenali kerana seni pendalangan yang ekspresif dalam loghat Kelantan yang pekat dan pergerakan patung yang kompleks, memastikan kelangsungan wayang kulit dalam bentuknya yang paling jati dapat dikekalkan dan dipelihara.
Koleksi Dollah Baju Merah ini dipamerkan bagi memperingati ulang tahun pemergian beliau yang ke-20 pada tahun ini, serta meraikan legasi serta dampak beliau terhadap kelangsungan seni tradisional Kelantan secara khusus dan rantau ini secara umum.
Antara patung wayang kulit milik beliau yang dipamerkan ialah Bapa Jin Gedung Gemita watak jahat berupa jin ifrit yang jahat, Wak Jamal sebagai watak kecindan atau comic relief, Maharaja Rawana yang bertindak sebagai protagonis utama, Dewa Daru sebagai penaik semangat, Dewi Seru sebagai penjaga dan Dewa Betara Guru yang menguasai tiga alam.
Selain koleksi dari tanah air, saya secara peribadi tertarik dengan koleksi daripada Indonesia yang dibawakan oleh Museum Wayang Kekayon, Yogyakarta, Indonesia.

Pada pandangan saya secara peribadi, oleh sebab wilayah budayanya yang lebih luas, wayang kulit Indonesia lebih bervariasi.
Menurut RM Donny Surya Megananda, pengusaha Museum Kekayon yang kebetulan turut ada bersama dalam majlis diskusi buku tersebut, walaupun lebih popular di Pulau Jawa, variasi wayang juga wujud di provinsi lain termasuk Bali, Lombok, Sulawesi, malah jauh di Nusa Tenggara di bahagian paling Timur Indonesia.
Selain wayang purwa dan wayang klitik yang menggunakan patung ukiran kayu, pameran ini turut menampilkan wayang beber, variasi wayang dalam bentuk bentangan atau ‘beberan’ yang berbeza dan wujud lebih lama berbanding bentuk wayang kulit sedia ada yang memanfaatkan elemen bayang dan cahaya.
Wayang beber menjadi bentuk lipur lara tertua di Indonesia dan dikatakan berasal dari Jawa Timur, memaparkan cerita-cerita dari Mahabhrata dan Ramayana pada zaman kerajaan Hindu-Buddha dan memanfaatkan cerita-cerita Panji setelah kedatangan Islam di Pulau Jawa.
Contantine yang bermurah hati membawa susur (walkthorugh) pameran setelah sesi diskusi buku sempat menerangkan bahawa ada undang-undang bertulis Jawa yang tidak membenarkan wayang beber dibawa keluar dari Pulau Jawa pada zaman dahulu kala.
Selain wayang beber, saya juga tertarik dengan variasi wayang yang lebih moden yang popular di Jawa Tengah dan Yogyakarta iaitu wayang wahyu. Wayang ini mula diperkenalkan pada tahun 1960-an oleh masyarakat penganut Katolik di Pulau Jawa.
Apa yang menjadikannya unik, wayang wahyu dipersembahkan untuk menyampaikan cerita-cerita daripada Kitab Injil (Bible) seperti kisah kelahiran Yesus Kristuts, Samson dan Delilah, kisah pelayaran Noah dan pelbagai cerita lagi. Patung yang ditampilkan dalam pameran ini ialah patung Yesus Kristus (Jesus) dan Paulus (Paul) yang memakai busana dengan corak dan elemen Jawa.
Wayang wahyu selalu dipersembahkan di gereja-gereja Katolik ketika hari-hari kebesaran seperti Hari Natal dan Hari Paskah Besar (Easter Day). Constantine juga sempat menyelitkan anekdot menarik di mana ketika persembahan wayang wahyu dipersembahkan pada malam Natal, masyarakat Jawa Muslim setempat juga akan hadir sama-sama berkumpul di gereja untuk menyaksikannya.

Selain koleksi Malaysia dan Indonesia, koleksi variasi wayang kulit daripada Thailand yang dikenali dengan nama Nang Yai dan Nang Tulung dari Wat Phlaplachai Nang Yai Museum turut dipamerkan. Negara Kemboja melalui kumpulan Ty Chean dari Siem Reap menampilkan koleksi patung Sbek Thom yang agam dan gah.
Meraikan semangat inovasi dan kemodenan wayang kulit dalam era moden, Muzium Seni Asia turut bekerjasama dengan pihak Fusion Wayang Kulit, yang menampilkan patung wayang kulit yang menampilkan watak-watak moden dalam budaya popular seperti Batman serta Chewbacca dan Skywalker daripada siri filem Star Wars.
Representasi wanita dalam perdalangan
Dalam sesi diskusi buku beliau, A Life In Shadows: Shadow Theatre In South-East Asia, Contantine sempat mengajak hadirin untuk membicarakan isu-isu seputar wayang kulit. Kehadiran teknologi misalnya mencetuskan dilema dalam kalangan penggiat seni wayang kulit, sama ada harus mengekalkan tradisi wayang kulit dalam bentuk yang paling murni atau integrasi teknologi dalam persembahannya.
Selain isu teknologi dan sokongan daripada kerajaan serta penapisan (censorship) dalam wayang kulit, antara isu lain yang memancing minat saya ialah representasi wanita dalam wayang kulit terutama sebagai dalang.

“Wayang kulit sering dilihat sebagai boys’ club. Kebanyakan dalang terdiri daripada lelaki, malah hampir tiada dalang wanita di Malaysia. Saya mengharapkan penglibatan lebih ramai wanita dalam persembahan wayang kulit pada masa akan datang,” kata Constantine.
Constantine, yang telah menjelajah seluruh Asia Tenggara dari ceruk desa sehinggalah ke bandar-bandar besar dari 1999 sehingga 2003 mendokumentasi tradisi wayang kulit di rantau ini, juga berhasrat menjelajah belahan dunia yang lain terutama di luar Asia bagi merakam wayang kulit melalui ketik cahaya.
“Saya sudah ke (rantau) ‘anak-anaknya’ (merujuk kepada Asia Tenggara). Jadi pada masa terdekat ini saya mahu ke (negara) ‘ibunya’ pula. Saya akan ke India untuk mendokumentasi wayang kulit di sana. Juga ke Turki dan China,” kata Constantine menjawab persoalan saya berkenaan perancangannya selepas ini.
Constatine juga mengharapkan pameran ini dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dan mempelajari sejarah wayang kulit tempatan dan membandingkannya dengan tradisi yang serupa di negara-negara jiran.
Pameran A Life in Shadows: The Story of Wayang Kulit masih berlangsung sehingga 30 April 2025 di Muzium Seni Asia. Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh dengan melayari museum.um.edu.my.
– SHAMSUL AMIN merupakan penulis, penyunting dan pereka sepenuh masa. Beliaumerupakan pengasas agensi kreatif Studio Tanda Bacha dan penerima AnugerahPenulis Muda ASEAN 2015.
