SEKITAR 17 tahun yang lalu ketika menetap di Gwangju, Korea Selatan, seorang teman yang mesra dengan panggilan Jamie, memohon pertolongan penulis untuk menjadi penterjemah kepada seniman dari Indonesia yang menjadi residen artis kepada Uijae Arts Gallery.
Itulah kali pertama penulis bertemu dengan Ali Umar, seorang seniman berasal dari Padang Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia yang sudah menetap lama di Yogyakarta semenjak menjadi mahasiswa Institut Seni Indonesia pada tahun 1980-an.
Ali yang merupakan seorang pematung ternama merupakan antara seniman antarabangsa dari pelbagai negara yang diundang oleh Uijae Arts Gallery sebagai residen artis di galeri itu untuk berkarya selama beberapa bulan.
Ali merupakan generasi pertama Komunitas Seni Sakato atau Sakato Art Community yang para anggotanya berasal dari Sumatera Barat atau beretnik Mingkabau dan telah melahirkan pelukis dan pematung ternama baik di Indonesia mahupun di peringkat antarabangsa.
Pada awal tahun 2000, kerajaan Korea Selatan yang baru sahaja “terbuka” masih lagi giat dalam usaha memperkenalkan “dirinya” kepada dunia dan Gwangju mahu dijadikan sebuah kota seni dan budaya utama Asia.
Banyak dana dibelanjakan dan program-program dibuat bagi menjayakannya dengan melibatkan masyarakat antarabangsa.
Gwangju itu sendiri mempunyai sejarah “berdarah” yang menjadi pemangkin kepada kemenangan gerakan pro-demokrasi di Korea Selatan dan peristiwa 18 Mei 1980 diabadikan sebagai sebuah sejarah yang sangat dibanggakan mereka.
Bagi yang ingin mengetahui tentang sejarah Gwangju ini bolehlah menonton filem Korea Selatan di Netflix yang bertajuk “A Taxi Driver”, yang menceritakan serba sedikit tentang peristiwa berdarah itu.
Usaha “soft diplomacy” yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan itu dapat dilihat hasilnya pada hari ini apabila muzik K-Pop serta filem dan drama dari negara itu menjadi popular di seluruh dunia.

Diplomasi patung
Awal bulan ini penulis berkesempatan untuk berkunjung ke Yogyakarta dan peluang diambil untuk bertemu dengan Ali dan mengunjungi “Studio Ali Umar” yang juga menempatkan kediamannya buat kali pertama walaupun sudah begitu lama bersahabat.
Ali terus membawa penulis ke ruangnya untuk berkarya dan menunjukkan karya 99 patung yang diinspirasikan daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada 2020.
“Karya ini adalah catatan visual tentang kejadian di dunia tentang Covid. Covid ini mungkin belum pernah terjadi sebelum ini di mana ramai yang meninggal dunia, orang tidak boleh keluar rumah,” kata Ali.
“Yang paling luar biasa menurut saya ialah semua rumah ibadah tidak boleh dibuka, terutamanya masjid, kerana saya Muslim saya buat masjid.”
Patung-patung yang dibuat Ali mempunyai simbolik tentang suasana yang rumah ibadah di persekitarannya ketika pandemik Covid-19.
“Semua masjid disilang (dipangkah). Ini simboliknya semua masjid disilang.
“Pada saat pandemik, saya sembahyang Terawih hanya berempat di rumah, saya sedih.
“Hampir menangis saya kerana tidak boleh keluar untuk bersembahyang terawih di masjid. Dan keesokan harinya saya mula buat karya ini,” katanya.
Menurut Ali selepas karyanya terbarunya ini siap, beliau akan mengadakan pemeran seni dan semua duta-duta dari kedutaan-kedutaan asing yang ada di Indonesia akan dijemput.
“Karya-karya ini saya mahu berikan kepada semua ketua-ketua negara. Karya ini sebagai alat untuk saya bertemu dengan ketua negara.”
“Akan ada katalog yang menceritakan tentang mengapa ketua-ketua negara itu perlu lebih rapat dengan ulama dan seniman. Mengapa begitu, kerana yang boleh menyelamatkan bumi ini adalah golongan agama dan seniman.
“Kenapa saya berani bercakap seperti itu? Seperti kisah Nabi Nuh. Nabi Nuh mendapat wahyu dan seniman yang membuat kapal.”

Menurut Ali, pemimpin-pemimpin negara selalunya lebih mendekatkan diri dengan ahli-ahli perniagaan dan tentera.
“Kalau tidak begitu bumi akan hancur. Kalau ketua-ketua negara hanya rapat dengan ahli-ahli perniagaan, tentera, mereka akan ambil minyak, ambil sumber asli dan berperang sehingga bumi hancur.
“Esok, mudah-mudahan setelah saya beritahu ini ketua-ketua negara mula rapat dengan seniman dan ulama.
“Biar lebih enjoy, lebih banyak berfikir, tidak begitu keras dengan senjata. Itulah tujuan saya,” katanya.
Menurut Ali, sehingga kini beliau masih belum mendapat tajaan daripada mana-mana pihak untuk karya 99 patungnya.
“Ada wang sedikit saya beli bahan. Saya buat satu-satu. Sekarang 67 patung sudah saya siapkan.
“Semua patung ini dibuat dari pohon kayu jati,” katanya.

Bagitulah Ali, seniman yang mempunyai gagasan besar dan ianya diekspresikan melalui karya-karyanya.
Pada tahun 2013, Ali menggemparkan Indonesia apabila menghadiahkan karya berbentuk penjara kepada Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) ketika hari ulang tahun badan anti rasuah tersebut .
Menurut Ali penjara kepada penjenayah rasuah seharusnya hanya mempunyai kemudahan seperti sosok patung penjara yang dihadiahkannya kepada KPK dan berharap ianya ditempatkan di meja ketua badan anti rasuah Indonesia itu.
Bagi peminat seni di Malaysia yang ingin berkenalan dengan Ali dan mengetahui lebih lanjut tentang karyanya bolehlah ke Langkawi Art Biennale yang bertajuk RESET pada 23-29 November 2023 di Langkawi, Kedah.
Selain itu, Ali juga dijemput dalam sebuah program Bicara Seni di Auditorium Seni Halus di UiTM Shah Alam pada 30 November 2023 yang bertajuk “Mengurai Kreativiti: Dokumentasi dan Portfolio Seniman”.
*Amin Iskandar merupakan seorang penulis yang meminati seni dan kebudayaan.
