PADA 18 Jun lalu adalah hari penyampaian hadiah (mock up check) kepada pemenang oleh penganjur Huawei Gopaint Worldwide Creating Activity 2024. Acara diadakan di tingkat 57 Menara Exchange 106 TRX.
Khabar kemenangan kami telah diketahui seawal 1 Mei lepas apabila diumumkan melalui portal rasmi Huawei Gopaint. Saya memenangi Best Storytelling Winner (USD5000), Shir-Liz Hoo memenangi Best Visual Winner (USD5000), Haryati Mohd Ehsan, Nurul Husna Mokhtar, Ianzamrosio, dan Cindy masing-masing memenangi Honourable Mention Winner (USD2000). Enam pemenang dari Malaysia, dan enam pemenang dari Taiwan, Indonesia, China, dan Iran.
Sebenarnya saya bukanlah orang yang suka menyertai pertandingan tetapi kali ini kerana melibatkan jabatan tempat saya bekerja (Istana Budaya) – maka saya turut serta. Wakil Istana Budaya telah dijemput oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) selama 3 hari (28-30 Feb 2024) untuk menghasilkan karya dengan menggunakan tablet grafik Huawei 13.2.
Bagi saya, pada mulanya ini hanyalah kursus penggunaan tablet baharu Huawei dan perisian Mojing Paint sebagai medium untuk melukis. Tetapi apabila Firdaus (ASWARA) memberitahu ini adalah pertandingan – saya menggandakan usaha bagi mencantikkan karya lukisan digital ini. Manalah tahu, kalau-kalau ‘tersangkut’ untuk menjadi pemenang.
Bukan sahaja mencantikkan karya, yang paling penting ialah ‘menjawab soalan’ atau pun menghasilkan karya mengikut kehendak penganjur. Tiga hari terkurung di Makmal Grafik ASWARA, maka tumpuan boleh diberi 100 peratus kerana tidak perlu lagi memikirkan hal-hal pejabat.
Tiga tajuk yang diberi ialah Culture, Character atau City.
Tema City yang saya pilih merupakan sebuah imaginasi Pasar Karat di Jalan Petaling, Kuala Lumpur. Menggambarkan sekumpulan manusia berurus niaga dan berjual beli barangan terpakai, berlatarkan bangunan lama; dari kejauhan kelihatan samar-samar bangunan kedua tertinggi dunia iaitu Menara 118 @ Menara Warisan Merdeka.
Dua imej, lama dan moden ini, digabungkan agar mewujudkan kebersamaan dalam pembangunan tamadun. Di latar hadapan kelihatan sekumpulan insan-insan kecil yang menumpang secebis kehidupan kota sebagai kekuatan dalam penyampaian cerita keseluruhan.
Karya saya berjudul ‘The Lively City’.
Alhamdulillah, keputusan pemenang pertandingan ini telah pun terjawab. Di samping hadiah wang tunai, pihak penganjur menambah hadiah berupa tablet HUAWEI MatePad 11.5” kepada setiap pemenang.
Terima kasih atas penganjuran hebat ini. Buatlah lagi tahun depan! Pasti lebih ramai kawan-kawan saya yang pakar lukisan digital akan menyertainya.
