
Baru-baru ini saya tonton sebuah filem tentang media yang kehilangan etika, televisyen yang berubah menjadi hiburan emosi, budaya kemarahan, manusia yang ketagihan perhatian, penonton yang semakin sukar membezakan antara realiti dan persembahan, serta bagaimana sistem kapitalisme moden menjadikan trauma, kegilaan dan pemberontakan sebagai content untuk dijual.
Filem ini telah ditayangkan pada tahun 1976.
Network, karya tulisan Paddy Chayefsky dan arahan Sidney Lumet, dianggap sebuah satira media yang tajam, sinikal dan agak keterlaluan pada zamannya.
Namun itu tidak menghalang filem ini merangkul empat anugerah Oscar termasuk Lakon Layar Asal Terbaik untuk Paddy Chayefsky, Pelakon Lelaki Terbaik untuk Peter Finch, Pelakon Wanita Terbaik untuk Faye Dunaway, dan Pelakon Wanita Pembantu Terbaik untuk Beatrice Straight.

Sewaktu menonton, saya beberapa kali terlupa bahawa filem ini diterbitkan 50 tahun yang lalu. Cara ia melihat media, manusia dan hubungan emosi antara penonton dengan skrin, termasuk bagaimana ia memahami obsesi manusia terhadap perhatian dan kemarahan, terasa seperti ia ditulis tentang dunia hari ini.
Premisnya sebenarnya cukup mudah.
Howard Beale ialah seorang pembaca berita veteran untuk UBS Evening News. Selepas bertahun-tahun menjadi wajah utama (anchor) saluran televisyen tersebut, dia diberitahu bahawa kontraknya tidak akan disambung kerana rating-nya yang semakin merosot. Berita itu disampaikan oleh rakannya sendiri, Max Schumacher, presiden divisyen berita UBS.
Malam berikutnya, Howard melakukan sesuatu yang tidak diduga. Dalam siaran langsung, dia mengumumkan bahawa pada minggu hadapan dia akan membunuh diri di televisyen. Pengurusan UBS mahu memecatnya serta-merta, tetapi Max meminta supaya Howard diberi peluang mengucapkan selamat tinggal kepada penonton dengan lebih bermaruah. Howard bersetuju.

Apabila kembali ke udara, Howard tidak meminta maaf. Sebaliknya dia melancarkan bebelan panjang tentang kehidupan moden yang menurutnya penuh dengan “bullshit”.
Apa yang sepatutnya menjadi penghujung kerjayanya bertukar menjadi sensasi.
Rating terus melonjak. Orang ramai tidak lagi menonton kerana berita. Mereka menonton kerana Howard. Kerana kemarahannya. Kerana emosinya. Kerana mereka tidak tahu apa lagi yang akan keluar daripada mulutnya pada malam berikutnya.
Di sini muncul Diana Christensen.
Bagi saya, Diana ialah watak yang paling menakutkan dalam keseluruhan filem ini. Dia bukan penjahat dalam erti kata biasa. Dia cuma melihat dunia dengan satu ukuran: adakah sesuatu itu mampu menarik perhatian orang?
Kalau ya, ia boleh dijual.
Bagi Diana, politik ialah content. Trauma ialah content. Keganasan ialah content. Malah manusia sendiri tidak lebih daripada angka rating dan potensi hiburan.

Ada satu subplot yang jarang diperkatakan apabila orang berbincang tentang Network. Diana mahu menerbitkan sebuah rancangan televisyen berdasarkan sekumpulan revolusioner yang merakam sendiri aksi rompakan bank mereka.
Bayangkan betapa gilanya idea itu pada tahun 1976.
Tetapi hari ini?
Ia tidak lagi terasa mustahil. Kita hidup dalam dunia yang sanggup menyiarkan pergaduhan secara langsung, mengejar tragedi demi klik dan mengubah jenayah sebenar menjadi hiburan melalui podcast, dokumentari dan media sosial.
Bezanya cuma platformnya. Dahulu televisyen memerlukan sebuah studio, kamera dan jadual siaran. Hari ini sesiapa sahaja boleh membina stesen televisyen mereka sendiri dengan hanya sebuah telefon. Yang berubah hanyalah teknologinya. Cara perhatian manusia diperdagangkan masih sama.
Subplot itu sebenarnya memberitahu kita segala-galanya tentang falsafah Network. Sistem media tidak semestinya peduli tentang moral. Yang penting ialah perhatian.
Di sinilah Network benar-benar terasa menakutkan.
Filem ini seolah-olah sudah memahami sesuatu yang hari ini menjadi nadi internet. Media tidak semestinya memerlukan fakta. Ia cuma memerlukan perhatian. Dan perhatian manusia selalunya lebih mudah ditarik oleh emosi.
Lagi marah, lagi ramai berhenti menatal.
Lagi kecoh, lagi laju ia tersebar.
Bukankah itu yang kita lihat setiap hari? Podcast yang hidup dengan perang pendapat. Video reaksi yang sengaja dilebih-lebihkan. Influencer yang membina nama melalui kontroversi. Malah berita sendiri kadang-kadang terasa lebih hampir kepada hiburan daripada kewartawanan.
Yang lebih menarik, Network turut memahami sesuatu yang hari ini kita panggil hubungan parasosial.
Kita rasa mengenali seseorang hanya kerana kita selalu melihat wajahnya di skrin. Kita ketawa bersama mereka, risau apabila mereka sakit, kecewa apabila mereka berubah, sedangkan mereka langsung tidak tahu kita wujud.
Howard Beale menjadi contoh awal fenomena itu.

Penonton tidak lagi melihatnya sebagai pembaca berita. Mereka melihatnya sebagai suara hati mereka sendiri. Lagi emosional Howard, lagi tinggi rating. Lagi besar perhatian yang diterimanya, lagi tinggi nilainya kepada sistem.
Bukankah itu juga logik media sosial hari ini?
Kadangkala saya tertanya-tanya sama ada kita benar-benar mengikuti seseorang kerana apa yang mereka fikirkan, atau kerana kita sudah terlalu lama menghabiskan masa bersama mereka di skrin. Semakin lama kita melihat seseorang, semakin mudah kita menyangka kita mengenalinya. Sedangkan yang kita kenal hanyalah watak yang dipersembahkan kepada kita.
Ramai personaliti internet tidak semestinya berjaya kerana bakat yang luar biasa. Mereka berjaya kerana pandai membuat kita rasa rapat dengan mereka. Mereka bercakap terus kepada kamera seperti sedang berbual dengan seorang kawan. Mereka berkongsi kisah hidup, masalah peribadi dan detik harian sehingga kita mula merasa mengenali mereka.
Lama-kelamaan, hubungan yang sebenarnya tidak pernah wujud itu terasa cukup nyata.
Dan di situlah perangkapnya.
Howard akhirnya tidak lagi dibenarkan menjadi manusia biasa. Penonton tidak mahu melihat dirinya yang letih atau rapuh. Mereka hanya mahukan watak yang selama ini mereka kagumi. Dia akhirnya menjadi tawanan kepada persona yang dicipta oleh media dan dituntut oleh penonton.

Kalau diperhatikan, ramai personaliti internet hari ini melalui nasib yang sama. Mereka perlu terus menjadi lucu, marah, kontroversial atau “relatable”. Sebaik sahaja mereka berubah, algoritma mula menghukum. Perhatian mula beralih kepada orang lain.
Sebab itu saya rasa Network sebenarnya bukan sekadar filem tentang televisyen.
Ia filem tentang kapitalisme yang sanggup menjual apa sahaja. Politik boleh dijual. Kemarahan boleh dijual. Ketakutan boleh dijual. Malah keruntuhan mental juga boleh dijual jika ada orang yang sanggup menontonnya.
Howard Beale akhirnya bukan lagi seorang manusia. Dia menjadi produk yang perlu terus menghasilkan emosi untuk dijual. Apabila kemarahannya tidak lagi cukup menguntungkan, sistem mencari jalan lain untuk mengekalkan perhatian penonton. Di situlah filem ini menunjukkan bahawa dalam dunia media, manusia sering kali tidak lebih penting daripada rating yang mampu dihasilkannya.
Menariknya, skrip filem ini pada asalnya dianggap terlalu keras. Studio mahu Paddy Chayefsky melembutkan penutupnya, tetapi dia enggan. Keputusan itu akhirnya berbaloi. Network bukan sahaja berjaya di box office, malah menerima 10 pencalonan dan memenangi empat Oscar serta terus disebut sehingga hari ini sebagai antara karya paling penting tentang media moden.

Ramai juga orang mengatakan Network meramalkan kemunculan reality television. Saya fikir ramalannya lebih besar daripada itu.
Filem ini meramalkan dunia yang mengubah perhatian menjadi mata wang. Dunia yang sanggup menukar emosi menjadi produk. Dunia yang semakin sukar membezakan antara realiti dan persembahan.
Lima puluh tahun kemudian, Network masih terasa dekat.
Bukan kerana ia meramalkan media sosial. Tetapi kerana ia memahami sesuatu yang lebih asas tentang manusia: Kita sentiasa mahu diperhatikan.
Dan akan sentiasa ada sistem yang tahu bagaimana untuk menjual keinginan itu kembali kepada kita.
AHMAD KAMAL ABU BAKAR tidak pernah bekerja atau mengajar di Network School.
Beliau boleh dihubungi di: tulislajulaju@gmail.com
