Hak Yang Masih Hilang Dalam Industri Seni Visual Malaysia
Bayangkan seorang pelukis muda menjual sebuah lukisan pada harga RM3,000 ketika baru memulakan kerjayanya. Wang itu digunakan untuk membeli bahan seni dan meneruskan kehidupan.
Dua puluh tahun kemudian, karya yang sama muncul di sebuah rumah bida dan berjaya dijual pada harga RM120,000.
Pembeli memperoleh keuntungan daripada peningkatan nilai karya.
Rumah bida dan pasaran skunder menerima komisen hasil transaksi.
Pengumpul seni menikmati pulangan pelaburan.
Namun, artis yang menghasilkan karya tersebut tidak menerima walau satu sen.
Persoalannya, adakah keadaan ini adil?
Bagi dunia seni visual, keadaan ini bukan sesuatu yang luar biasa. Ia berlaku setiap kali sesebuah karya dijual semula di pasaran sekunder.
Berbeza dengan pemuzik yang menerima royalti apabila lagu dimainkan atau penulis yang memperoleh bayaran apabila buku dicetak semula, kebanyakan artis seni visual hanya memperoleh pendapatan sekali sahaja, iaitu ketika karya pertama kali dijual.
Sedangkan nilai sebenar karya itu sering meningkat bertahun-tahun kemudian.
Pasaran Seni Malaysia Sebenarnya Sudah Bersedia
Ramai beranggapan bahawa pasaran seni Malaysia masih terlalu kecil untuk membincangkan pelaksanaan Hak Royalti Jualan Semula (Resale Royalty Right, RRR). Hakikatnya, data menunjukkan sebaliknya.
Sebagai contoh, analisis yang saya jalankan terhadap transaksi penjualan semula karya-karya Awang Damit Ahmad, salah seorang pelukis kontemporari terkemuka negara, melalui Henry Butcher Art Auctioneers bagi tempoh 2010 hingga 2025 mendapati sebanyak 61 karya telah dijual semula dengan jumlah nilai transaksi melebihi RM4.1 juta.
Sekiranya Malaysia mempunyai mekanisme RRR pada kadar 5%, artis atau warisnya berpotensi menerima sekitar RM206,393 dalam bentuk royalti hasil daripada transaksi tersebut.
Walaupun angka ini mungkin kelihatan kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan industri kreatif, bagi seseorang artis visual ia merupakan sumber pendapatan tambahan yang signifikan dan mampu menyokong kesinambungan amalan berkarya.
Lebih penting lagi, data ini membuktikan bahawa pasaran sekunder seni visual di Malaysia bukan lagi sesuatu yang terpencil atau bersifat sporadik. Sebaliknya, ia telah berkembang dan menjana nilai ekonomi yang besar.
Namun begitu, sehingga hari ini, tiada mekanisme yang membolehkan artis menikmati sebahagian daripada peningkatan nilai karya mereka apabila ia dijual semula di pasaran.

Data ini bukan bertujuan menunjukkan berapa banyak keuntungan yang diperoleh daripada karya Awang Damit Ahmad, sebaliknya membuktikan bahawa pasaran sekunder seni visual di Malaysia benar-benar wujud dan berfungsi.
Persoalan yang lebih penting ialah, jika nilai ekonomi ini telah pun terhasil, mengapa pencipta karya masih tidak menikmati sebarang manfaat daripada transaksi tersebut?
Dunia Sudah Lama Mengiktiraf Hak Ini
Malaysia sebenarnya bukan negara pertama yang membincangkan isu ini. Perancis memperkenalkan konsep ‘Droit de Suite‘ (French) Artist’s Resale Right sejak awal abad ke-20 sebagai tindak balas kepada keadaan artis yang hidup dalam kesusahan walaupun karya mereka dijual pada harga yang semakin tinggi selepas itu.
Hari ini, lebih 106 buah negara telah mempunyai sistem yang matang, termasuk Kesatuan Eropah, United Kingdom dan Australia.
Negara-negara ini bukan sahaja mempunyai undang-undang khusus, malah turut melantik organisasi pengurusan kolektif (CMO) bagi mengutip dan mengagiihkan royalti kepada artis dan waris mereka.
Malah, tempoh perlindungan lazimnya diberikan sepanjang hayat artis dan diteruskan kepada waris selama 70 tahun selepas kematian.

Ini menunjukkan bahawa Hak Royalti Jualan Semula bukan lagi suatu idea baharu. Ia telah menjadi sebahagian daripada ekosistem seni visual di banyak negara.
Jadi Mengapa Malaysia Masih Tiada?
Inilah persoalan yang menjadi asas penyelidikan saya sejak dua tahun kebelakangan ini.
Walaupun Malaysia mempunyai Akta Hak Cipta 1987 yang mengiktiraf hak ekonomi dan hak moral pencipta, undang-undang tersebut masih belum memberi ruang kepada artis seni visual untuk menikmati manfaat ekonomi apabila karya mereka dijual semula.
Akibatnya, peningkatan nilai sesebuah karya hanya dinikmati oleh pasaran, sedangkan artis yang membina reputasi karya tersebut terus terpinggir daripada rantaian ekonomi.
Isunya bukan kerana Malaysia tidak mampu melaksanakan sistem ini. Sebaliknya, sehingga kini Malaysia masih belum mempunyai kerangka dasar yang menyeluruh bagi melaksanakannya.
Kajian Ini Tidak Berhenti Pada Persoalan Undang-undang
Apa yang membezakan penyelidikan ini ialah ia tidak hanya meneliti aspek perundangan semata-mata. Sebaliknya, kajian ini dibangunkan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan analisis undang-undang, kajian perbandingan antarabangsa serta pandangan daripada pelbagai pemegang taruh dalam ekosistem seni visual Malaysia.
Bagi memahami realiti sebenar pelaksanaan RRR tiga siri wacana telah dijalankan melibatkan artis seni visual, pemilik galeri, pengumpul karya seni, ahli akademik, pengamal undang-undang harta intelek.
Siri wacana ini telah dilaksanakan dengan sokongan Tabung Bantuan Seni (TBS) 2025 di bawah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), yang bertujuan mengumpulkan pandangan pelbagai pemegang taruh bagi membentuk cadangan pelaksanaan RRR yang sesuai dengan konteks Malaysia.
Perbincangan ini memberi ruang kepada setiap pihak untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan pandangan mereka terhadap keperluan membangunkan mekanisme RRR di negara ini.

Hasil daripada siri perbincangan tersebut, satu dapatan yang konsisten telah dikenal pasti. Pelaksanaan RRR tidak boleh bergantung kepada pindaan undang-undang semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan pembangunan sebuah ekosistem yang lengkap;
- Reformasi Undang-Undang (Pindaan Akta)
- Melibatkan tadbir urus yang jelas
- Mekanisme kutipan dan pengagihan royalti yang telus (CMO)
- Sistem digital yang berkesan
- Tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan artis, galeri, rumah bida, pengumpul dan agensi kerajaan
Dengan kata lain, kejayaan pelaksanaan RRR bukan hanya bergantung kepada kewujudan satu peruntukan baharu dalam Akta Hak Cipta, tetapi bergantung kepada sejauh mana keseluruhan ekosistem seni visual bersedia untuk menyokong pelaksanaannya.
Inilah yang menjadi fokus utama penyelidikan ini, iaitu membangunkan satu model pelaksanaan yang bukan sahaja kukuh dari sudut perundangan, tetapi juga praktikal, mampan dan sesuai dengan landskap seni visual Malaysia.
Bukan Sekadar Royalti
Perbincangan mengenai RRR sering tertumpu kepada soal wang. Hakikatnya, isu ini jauh lebih besar daripada itu. Ia berkaitan dengan pengiktirafan terhadap sumbangan kreatif seorang artis.
Apabila nilai karya meningkat hasil reputasi, pengiktirafan institusi dan perkembangan pasaran, adalah wajar pencipta turut menikmati sebahagian daripada nilai tersebut. Dalam konteks ini, RRR bukan sekadar mekanisme ekonomi tetapi juga satu bentuk keadilan budaya (cultural justice).
Malaysia mempunyai artis berbakat, pasaran seni yang semakin berkembang dan institusi yang semakin matang.


Apa yang masih belum wujud ialah mekanisme yang memastikan pencipta terus mendapat manfaat apabila karya mereka terus dihargai oleh pasaran.
Hak Royalti Jualan Semula bukan bertujuan membebankan pasaran seni. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan pembangunan ekonomi seni visual berlaku secara lebih adil, mampan dan inklusif. Mungkin sudah tiba masanya kita bertanya semula dua soalan yang paling asas.
Apabila sebuah karya terus mencipta nilai selama puluhan tahun, mengapa hanya karya itu sahaja yang terus ‘bekerja’, sedangkan penciptanya tidak lagi menikmati hasilnya?
Hak Royalti Jualan Semula (Resale Royalty Right, RRR) perlu diperjuangkan, tapi siapakah yang harus melobinya?
Nota:
Artikel ini merupakan adaptasi daripada penyelidikan PhD oleh Hairulnisak Merman mengenai pembangunan model Resale Royalty Right (RRR) untuk artis seni visual di Malaysia.
Penyelidikan ini melibatkan analisis perundangan antarabangsa, kajian pasaran seni tempatan, tiga siri perbincangan bersama pemegang taruh utama serta pembangunan cadangan model pelaksanaan RRR bagi Malaysia.
