Dalam tempoh 3 hari lagi, Malaysia bakal menyaksikan penganjuran KOTA BACA 2026, sebuah acara literasi kebangsaan yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 April 2026 bersempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Program ini diterajui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dilaksanakan oleh Perbadanan Kota Buku sebagai usaha nasional memperkukuh budaya membaca dalam kalangan rakyat.
KOTA BACA 2026 dirangka dengan matlamat menginstitusikan aktiviti membaca sebagai norma sosial, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembinaan masyarakat berilmu, beradab dan berkemahiran tinggi. Inisiatif ini turut menyokong pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan 2021–2030, dengan fokus kepada pembudayaan membaca sebagai asas pembangunan modal insan dan daya saing ekonomi berasaskan pengetahuan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, akan menyempurnakan pembukaan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia peringkat kebangsaan pada 23 April 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur. Majlis ini turut menandakan permulaan rasmi KOTA BACA 2026 yang dilaksanakan secara hibrid, termasuk penglibatan digital serta aktiviti bacaan serentak selama 10 minit di seluruh negara.
Dalam majlis sama, beliau akan melancarkan papan pemuka Peta Malaysia Membaca yang memaparkan data pembacaan dan pembelian buku rakyat, sekali gus menjadi rujukan utama dalam pemantauan budaya membaca di peringkat nasional.
Pengisian fizikal program akan berlangsung di Dataran Merdeka dari 24 hingga 26 April 2026, bermula seawal pukul 7 pagi hingga 10 malam. Acara ini menghimpunkan pelbagai aktiviti literasi, komuniti serta penglibatan industri buku, sektor swasta dan agensi dalam satu ekosistem inklusif dan berimpak tinggi.
Antara pengisian utama ialah Khutbah Jumaat khas mengenai kepentingan membaca di semua masjid Wilayah Persekutuan pada 24 April, program BukaBuku oleh Keretapi Sarong pada petang 25 April, Pidato Negarawan pada malam 25 April, serta Larian Karakter Buku 5KM pada pagi 26 April.
Salah satu tarikan utama ialah Himpunan Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara yang akan berlangsung pada malam 25 April. Pengunjung digalakkan membawa buku sendiri untuk ditukar, menggunakan pelekat khas yang disediakan serta berkumpul mengikut genre di bawah belon gergasi bagi memudahkan sesi pertukaran dalam suasana tersusun dan interaktif.
Sepanjang acara, lebih 100 reruai jualan dan pameran buku akan dibuka kepada pengunjung. Selain itu, orang ramai boleh menyertai Kelah Buku berskala nasional, mengikuti Audio Siar Telaah Buku secara langsung, serta bertemu sasterawan, penulis dan ilustrator. Pelbagai aktiviti lain turut disediakan termasuk Mrs. Baca Malaysia, Kafe Kopi dan Buku, Pasport Kota Baca serta program komuniti untuk semua lapisan masyarakat.
Program ini turut menampilkan ikon KOTA BACA seperti A. Samad Said, selain penulis dan personaliti seperti Hafizul Faiz, Hilal Asyraf dan Lavina Jacinta (Mrs. Malaysia World 2025) yang aktif mempromosikan budaya membaca.
Elemen teknologi turut diketengahkan melalui Hentian Pintar AI yang menampilkan perkongsian berkaitan kecerdasan buatan dalam dunia perbukuan oleh Google bersama pakar AI, Nadio Granata. Inisiatif ini mencerminkan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri dan masyarakat dalam menggerakkan agenda literasi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata KOTA BACA 2026 merupakan usaha kolektif negara untuk mengangkat budaya membaca sebagai asas pembinaan masyarakat berilmu, dengan fokus melahirkan pembaca baharu secara berterusan merentas semua lapisan masyarakat.
Beliau menambah bahawa melalui sokongan Kementerian Pendidikan dan penglibatan pelbagai pihak, ekosistem membaca yang mampan dan inklusif sedang dibina selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir ke Dataran Merdeka dari 24 hingga 26 April 2026 untuk merasai sendiri kemeriahan KOTA BACA 2026 dari pagi hingga malam, bertepatan dengan semangat “Di Kota Ini, Semua Membaca”.
Selain pelbagai aktiviti menarik, pengunjung turut boleh menikmati tawaran jualan buku istimewa di platform Mall Book Capital termasuk penghantaran percuma setiap hari terhad sehingga RM10 bagi setiap transaksi, di samping pelbagai promosi menarik di TikTok Shop sepanjang acara berlangsung.
KOTA BACA bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan usaha berterusan untuk membentuk Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030, dengan generasi pembaca baharu sebagai asas kekuatan masa hadapan negara.
Maklumat lanjut di: kotabaca.my
