SENI persembahan bukan sekadar hiburan, ia merupakan cerminan jiwa manusia — sebuah wahana untuk menyuarakan fikiran, mencabar norma, dan menyentuh emosi yang paling dalam. Dari zaman silam hingga ke era digital, seni telah memainkan peranan penting dalam membina tamadun dan membentuk jati diri sesebuah masyarakat. Di seluruh dunia, pentas menjadi ruang untuk menyampaikan makna, menyatukan komuniti dan menyemai empati rentas perbezaan.
Di Malaysia, seni persembahan terus berkembang dengan penuh warna dan semangat. Komuniti seni tanah air terdiri daripada pelbagai budaya dan latar, menyumbang kepada satu ekosistem kreatif yang amat unik dan dinamik. Teater, tarian, muzik dan teater muzikal menjadi medan ekspresi dan perlawanan terhadap kesenyapan. Dalam menghadapi cabaran ekonomi, politik dan sosial, seniman tempatan tidak henti-henti berkarya — membuktikan bahawa kreativiti adalah denyut nadi yang tidak boleh dipadamkan.
Maka tidak hairanlah apabila komuniti seni negara berhimpun pada malam 4 Mei lalu di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC) bagi meraikan Anugerah Seni BOH Cameronian (BCAA) 2025 — satu penghormatan tahunan tertinggi bagi seni persembahan di Malaysia. Anjuran Kakiseni sejak tahun 2002, BCAA kali ini lebih istimewa apabila ia menandakan ulang tahun ke-20, dengan tema “20 Tahun Legasi: Menyalakan Inspirasi untuk Esok”. Sambutan ini turut diserikan dengan persembahan khas yang mengenang detik-detik bersejarah serta tokoh dan karya yang pernah mewarnai pentas BCAA selama dua dekad.
Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen dalam ucapannya menegaskan makna sebenar anugerah ini, “BCAA ialah sebuah platform untuk mengangkat, menemui dan menghubungkan. Setiap nama yang diumumkan bukan sekadar meraikan kecemerlangan, tetapi juga mencerminkan lanskap seni persembahan Malaysia hari ini, dan potensi hebat yang menantinya di masa hadapan.”

Beliau menambah, “Apabila kita melangkah ke dekad baharu, kita membawa bersama bukan sahaja penghargaan, tetapi semangat untuk terus menyuburkan ruang yang menyokong kelahiran idea, meraikan keberanian dan memartabatkan seni sebagai pemangkin perpaduan, keberanian dan pertumbuhan.”
Malam anugerah tersebut menyaksikan pengiktirafan diberikan kepada pelbagai produksi yang mencerminkan kepelbagaian, keberanian dan keindahan seni persembahan tanah air. Dihoskan oleh Sean Ghazi dan Yon Lynn, BCAA 2025 menyinari kejayaan individu serta kumpulan yang telah mencipta karya-karya penuh impak sepanjang tahun lalu.
Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) Aswara menjadi tumpuan utama dalam kategori Teater menerusi “Randai Macbeth” yang menggondol tujuh anugerah. Antara yang paling menonjol ialah Dr Norzizi Zulkifli (Pengarah Terbaik), Ayop Azril (Rekaan Muzik & Bunyi Terbaik), Pencahayaan Terbaik (Yusman Mokhtar), Nur Afifi Mohamed Taib (Rekaan Kostum, Gaya & Solekan Terbaik), Juhara Ayob (Pelakon Pembantu Terbaik) dan Mohd Kamarulzaman Taib atau Che Kem yang dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik serta Anak Randai Aswara & UiTM (Persembahan Berkumpulan Terbaik).

Persatuan Alumni Aswara pula memukau juri dalam kategori Teater Muzikal apabila “Teater Muzikal Sakti Merong Mahawangsa” yang meraih empat kemenangan. Ini termasuk Rekaan Kostum, Gaya dan Solekan Terbaik (Akma Suriati dan Suhaib Daud), Pencahayaan Terbaik (Yusman Mokhtar), Buku Asal Terbaik (Sidang Penulis Teater Muzikal Sakti Merong Mahawangsa), serta Koreografi Terbaik (Naim Syahrazad). Sementara itu, produksi “Life Is…” oleh Kuala Lumpur Men’s Chorus dan “The Working Dead” oleh KULT Productions masing-masing merangkul tiga anugerah.
Dalam kategori Tarian, kumpulan Orang-Orang Drum Theatre berjaya menyerlah melalui karya “Kaka-Lala” dengan meraih empat anugerah termasuk Reka Bentuk Muzik dan Bunyi Terbaik. Sementara itu, Kwang Tung Dance Company tidak ketinggalan apabila persembahan mereka, “Laluan Amaryllis – Still” membawa pulang dua anugerah. Kategori Muzik pula memperlihatkan pencapaian seimbang antara pelbagai genre — Kuala Lumpur City Opera dengan “Opera Si La Bohemia” serta FrhythmS dengan konsert “Handpan Music Concert” masing-masing membawa pulang dua anugerah.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat tahun ini diberikan kepada aktivis dan pendidik seni Tan Sooi Beng atas sumbangannya dalam memperjuangkan teater komuniti untuk golongan muda serta menghidupkan kembali teater boneka sarung Potehi di Pulau Pinang. Pengiktirafan ini bukan sahaja mengiktiraf dedikasinya yang berdekad lamanya, tetapi juga menandakan pentingnya seni tradisional dalam membina naratif budaya yang lestari.

Majlis kemuncak ditutup dengan pengumuman pemenang kategori “Terbaik 2024” yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000 setiap satu. Karya-karya yang diangkat ialah “Teater Persiapan Seorang Aktor” oleh Studio Sedar Ruang, “Randai MacBeth” (PuTRA Aswara), dan “Spice, Magic and Mystique” oleh The Young KL Singers (dengan kerjasama TAS Seni Teater Rakyat dan klpac). Setiap penerima anugerah kategori lain turut menerima trofi dan wang tunai RM1,000 sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Dua dekad telah berlalu, namun semangat di sebalik BCAA tidak pernah pudar. Ia kekal sebagai platform yang mengiktiraf bukan sahaja kecemerlangan teknikal dan artistik, tetapi juga iltizam para seniman dalam mengangkat seni sebagai nadi kehidupan.
Senarai penuh pemenang boleh dilihat di sini
