SELAIN daripada temasya Sukan Olimpik 2024, antara tarikan lain di Paris pada musim panas ini sudah tentu beberapa aktiviti seni yang utama, seperti pameran “Paris 1874” di Muzium d’Orsay. Berlangsung daripada 26 Mac hingga 14 Julai 2024, pameran ini menjejak kembali asas penubuhan kumpulan pelukis impresionis yang disifatkan telah merintis kelahiran seni lukis moden. Dikuratorkan oleh Sylvie Patry dan Anne Robbins, pameran ini membincangkan dan meletakkan Impresionisme berasaskan konteksnya.
Diberi judul “Paris 1874: Inventer l’Impressionisme” (Paris 1874: Perintis Impresionisme), pameran tersebut memperagakan 130 karya catan, lukisan, cetakan dan arca yang pernah diperagakan dalam dua pameran penting pada tahun 1874 di Paris, iaitu pameran oleh Kumpulan Pelukis Anonim (the Anonymous Society of Painters, Sculptors and Printmakers) di Studio Fotografi Nadar di 35 Boulevard des Capucines (15 April hingga 15 Mei 1874) yang telah melahirkan Impresionisme dan pameran Salon yang menjadi teras aktiviti seni pemerintah, bersifat akademik dan konvensional di Palais de l’Industrie berhampiran the Champs-Elyses (1 hingga 20 Jun 1874).

Menurut kurator, pameran “Paris 1874” bertujuan memperjelaskan mengapa pelukis-pelukis seperti Claude Monet, Pierre-Auguste Renoir, Edgar Degas dan Eugène Louis Boudin bergabung membentuk entiti seni yang bebas, serta mempersoalkan andaian selama ini yang menganggap bahawa Salon hanya memperagakan karya-karya pelukis ternama. Pameran juga berhasrat menunjukkan bagaimana trend baharu dalam seni catan bermula di Perancis dan kemudiannya menjadi fenomena global.
Berdasarkan konteks masa, pameran ini juga merungkai kedudukan pelukis dan masyarakat serta peranan penting yang dimainkan media dalam perkembangan dan penemuan baharu dalam seni lukis menjelang akhir abad ke-19. Perkembangan dan penemuan baharu dalam seni lukis telah didorong oleh beberapa faktor penting seperti berkembangnya pasaran seni dan kemunculan agen seni yang berpengaruh, di samping inisiatif para pelukis sendiri, sama ada bertindak sendirian ataupun berkumpulan dalam mempromosikan karya mereka.
Di samping menunjukkan perkembangan seni akhir abad ke-19 dan kemunculan Impresionisme, kurator berharap agar para pengunjung memahami keadaan seni pada masa itu dan apakah perbezaan di antara seni rasmi yang ditaja oleh Salon dengan seni avant-garde dan memikirkan semula tentang sejarah permulaan seni moden.
Ketidakpuasan hati pelukis terhadap pengendalian Salon, pameran seni terbesar anjuran pemerintah telah menggerakkan sekumpulan pelukis untuk membentuk kumpulan bebas dikenali sebagai Kumpulan Pelukis Anonim (the Anonymous Society of Painters, Sculptors, and Printmakers) pada 27 Disember 1873.
Kumpulan itu dibentuk oleh Monet, Renoir, Degas, Camille Pissarro, Alfred Sisley dan Pierre Prius, bertemu di Studio Fotografi Nadar dengan menggariskan tiga objektif utama, iaitu: menganjurkan pameran yang bebas, tanpa juri atau anugerah khas; setiap ahli boleh memperagakan dan menjual karya mereka; dan menerbitkan jurnal yang menumpukan kepada bidang seni.

Tindakan mereka mengadakan pameran secara bebas disifatkan sebagai penentangan terhadap sistem dan kaedah pengendalian Salon yang sejak abad ke-17 menjadi aktiviti teras seni lukis di Perancis dengan mengutamakan karya-karya bertemakan mitologi, sejarah dan keagamaan. Pendekatan Salon ini tidak memungkinkan lebih ramai pelukis mengambil bahagian, malahan banyak yang ditolak.
Contohnya, pada tahun 1863, hampir 3000 daripada sejumlah 5000 karya yang dihantar untuk Salon telah ditolak oleh para juri. Hal ini telah mencetuskan rasa tidak puas hati pengkarya, dan akhirnya menggerakkan Maharaja Napoleon III untuk mewujudkan pameran Salon des Refuses di satu bahagian Palais de l’Industrie bagi memperagakan karya-karya yang ditolak Salon itu, dengan persetujuan pelukis terbabit. Sejurus dibuka, pengunjung datang berduyun-duyun, tetapi bukan untuk menghayati atau menghargai karya-karya yang diperagakan, sebaliknya memperli, mencemuh dan mentertawakannya (Veronique Bouruet-Aubertot, “Towards Impressionism” dalam Connaissance des arts, Musee d’Orsay, 2024).
Sebagai protes terhadap Salon, Kumpulan Pelukis Anonim memperagakan karya mereka di Studio Fotografi Nadar daripada 15 April hingga 15 Mei 1874. Pemilihan tarikh pameran tersebut sejurus sebelum berlangsungnya Salon (1 hingga 20 Jun 1874) sendiri disifatkan sebagai suatu protes, di samping bertujuan mendapatkan publisiti media dan perhatian khalayak.
Menurut Anne Robbins, pameran itu bagaimanapun gagal mencapai matlamatnya. Daripada lebih 200 karya dalam bentuk catan, arca, lukisan dan cetakan, hanya empat sahaja yang terjual, meskipun tidak semua karya itu untuk dijual. Karya Degas paling banyak terjual, separuh daripadanya telah terjual sebelum pameran itu berlangsung. Degas menggunakan pameran itu sebagai satu platform untuk mempromosikan karya-karyanya (Temubual bersama Guy Boyer dalam Connaissance des arts, Musee d’Orsay, 2024).

Rentetan daripada kegagalan pameran tersebut, Kumpulan Pelukis Anonim kemudiannya dibubarkan pada 14 Oktober 1874. Meskipun demikian, pameran tersebut telah mencipta sejarahnya yang tersendiri, khususnya dalam perkembangan seni moden, sehingga mewujudkan aliran seni Impresionisme.
Istilah Impresionisme telah diperkenalkan oleh pengkritik Louis Leroy dalam tulisannya berjudul “The Exhibition of Impressionists” yang turut membincangkan karya Claude Monet, “Impression Sunrise” dan diterbitkan dalam jurnal Le Charivari pada 25 April 1874 (Anne Daubree, “27 December 1873: The Creation of a New Company” dalam Connaissance des arts, Musee d’Orsay, 2024). Tidak hairanlah mengapa karya terpenting ini mendapat perhatian dan dikerumuni ramai pengunjung pada pameran “Paris 1874” di Muzium d’Orsay kali ini.

Di samping menunjukkan sejarah kelahiran Impresionisme, pameran “Paris 1874” di Muzium d’Orsay ini membuktikan bahawa karya-karya yang diperagakan dalam pameran Salon tidaklah terlalu terbatas kepada karya-karya bertema sejarah, mitologi dan keagamaan semata-mata, sebagaimana dinyatakan banyak penulis sebelum ini, malahan turut mempamerkan karya-karya bersubjekkan gaya hidup masyarakat Paris menjelang akhir abad ke-19 itu.
Antara yang paling menarik ialah karya Camille Cabaillot-Lassalle berjudul “The Salon of 1874” yang menggambarkan suasana pameran seni di mana imejan pelbagai catan tergantung di dinding galeri pada bahagian latar belakang karya dengan beberapa pengunjung lelaki tekun menghayati karya. Sementara itu, imej figura beberapa pengunjung wanita di bahagian latar hadapan karya kelihatan lebih sibuk berbual-bual sahaja, sambil menggayakan fesyen pakaian mereka yang diolah indah oleh pelukis. Bagi wanita-wanita ini, pameran seni hanyalah tempat untuk mereka bertemu dengan orang lain, sebagaimana kata Francois Legrand, “mereka lebih prihatin untuk dilihat, daripada melihat (karya seni)” (“At the Official Salon” dalam Connaissance des arts, Musee d’Orsay, 2024).

Pameran “Paris 1874: Inventer l’Impressionisme” menunjukkan ada banyak faktor yang telah mendorong kelahiran revolusi seni catan dan aliran seni moden di Paris ketika itu. Selain daripada tertubuhnya Kumpulan Pelukis Anonim, yang menentang Salon, hal itu juga didorong oleh perubahan suasana dagangan seni dengan kemunculan kolektor dan agen seni yang berpengaruh.
Antaranya Paul Durand-Ruel yang telah banyak menyokong dan membeli karya-karya seni impresionis antara tahun 1871 hingga 1874. Di London, Degas dan Édouard Manet menjual karya mereka di Galeri Durand-Ruel yang disifatkan sebagai agen seni yang telah merevolusikan dunia dagangan seni Perancis.
Agen dan kolektor seni lain yang penting termasuklah Jean-Baptiste Faure yang menjual karya-karya Delacroix miliknya lalu membeli karya-karya Manet, Degas dan Cezanne. Gustave Caillebotte pula membeli karya rakan-rakan impresionisnya dan mewariskan kepada negara agar karya-karya tersebut kelak dapat ditempatkan di muzium untuk tatapan umum.
Hal ini menunjukkan pasaran seni lukis mula berkembang dengan agen seni dan malahan pelukis sendiri secara individu mahupun berkumpulan mula mengadakan pameran seni secara bersendirian tanpa bergantung pada Salon dan pemerintah. Kerangka institusi yang dipelopori Salon yang telah beroperasi selama dua abad itu semakin goyah menjelang akhir abad ke-19.
Sebagaimana kata Sylvie Patry, kurator bersama pameran ini, “Kemodenan Impresionisme bukan sahaja terletak pada subjeknya dan teknik yang lebih subjektif, tetapi juga pada kebebasan deria keusahawanan dan pemasaran yang tertentu” (Ibid).
Dalam konteks ini, pelukis, galeri, pengkritik, penulis, media, agen dan kolektor seni serta khalayak turut memainkan peranan masing-masing dalam melestarikan seni.
Pameran “Paris 1874: Inventer l’Impressionisme” bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-150 kelahiran seni moden dan Impresionisme, tetapi turut menekankan faktor-faktor kontekstual yang telah mendorong kepada kemunculan gaya dan aliran seni yang berpengaruh dan disukai ramai itu. Berkunjung ke pameran itu telah memungkinkan saya dan khalayak menghayati karya-karya indah yang telah mencipta sejarah sehingga lahirnya seni moden.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
