Baik, terus terang cakap, seni lukis Malaya ini di miliki oleh seniman yang rata-rata adalah si penakut. Takut tak laku, takut orang tak jemput pameran, takut tak global dan takut kena kritik.
Dan daripada ketakutan itu, lahirlah dua jenis artis yang kononnya berbeza, tapi sebenarnya berkongsi nasib yang sama. Dua-duanya kaki hangguk. Satu hangguk pada duit sementara yang satu lagi hangguk kepada pengiktirafan orang luar.
Kita mula dengan yang paling senang kena hentam yakni artis yang menjual.
Ini kumpulan yang selalu di ejek sebagai komersial. Lukisan cantik, warna sedap mata, subjek mudah hadam. Buat lanskap, figura, sedikit abstrak yang tidak terlalu mengganggu jiwa. Semua cukup-cukup resepi untuk digantung belakang sofa rumah kolektor.
Kolektor sekarang sangat bila sibuk nak sesuaikan lukisan dengan sofa, dengan mesin basuh atau kerusi urut.
Tapi tak semua artis yang menjual itu kosong.
Ahmad Zakii Anwar misalnya. Karya dia laku, ya. Tapi cuba berdiri depan lukisannya. Ada sesuatu yang tak selesa. Ada psikologi. Ada lapisan. Dia tak sekadar bagi apa yang mata nak tapi dia bagi apa yang kepala kena hadap.

Atau (dengan berat hati) Jalaini Abu Hassan. Karya dia masuk koleksi, dijual, dipamerkan. Tapi dia tak ulang formula bodoh. Dia kacau bahan, kacau sejarah, kacau cara kita tengok benda.
Ini contoh artis yang menjual tapi mengalas beban gelaran tersebut dengan tulang belakang yang keras.

Masalahnya bukan mereka. Masalahnya ialah klon-klon yang datang selepas itu.
Bila ada artis yang jumpa satu gaya dan laku, lepas itu ulang sampai mati. Lukis benda sama, komposisi sama, warna sama. Ubah tajuk sikit, walllah! Ini bukan konsistensi. Ini kemalasan yang dibungkus sebagai identiti.
Dan lebih pedih, pasaran suka. Kolektor beli sebab ‘saya suka’. Galeri angkat sebab ‘boleh jual’. Semua orang happy. Kecuali seni itu sendiri.
Sebab bila karya mula dibuat untuk tidak mengecewakan pembeli, ia berhenti menjadi karya. Ia jadi produk. Dan produk tak perlukan keberanian. Ia perlukan kebolehramalan.
Sekarang kita pergi ke kelompok kedua, artis atas. Artis yang nak pengiktirafan luar.
Ini kumpulan yang suka sebut wacana, diskursus, global south atau pascakolonial. Ayat panjang, konsep berat. Semua nampak macam ada isi. Ayat cantik yang nampak cerdik.
Tapi jujurnya, berapa banyak daripada itu benar-benar lahir dari keperluan, dan berapa banyak yang lahir dari strategi?
Sebab terlalu banyak karya hari ini yang kelihatan global-ready. Maksudnya? Maksudnya ia sudah siap dibungkus untuk mata luar. Ada sedikit identiti tempatan yang eksotik. Ada sedikit trauma sejarah yang acah-acah serius. Ada sedikit eksperimen untuk nampak canggih, walllahh!! sekali lagi.
Ini bukan seni yang berani. Ini seni orang yang pandai membaca skema permarkahan..
Namun, seperti kami katakana tadi, kita tak boleh pukul semua orang.
Latiff Mohidin tidak tunggu dunia untuk faham dia. Dia buat kerja dia dan dunia datang kepadanya. Pago-Pago bukan projek untuk tembus Eropah. Ia projek untuk memahami ruang, tubuh, dan pengalaman dia sendiri.

Karya Yee I-Lann pula antara terbahagi sejarah dan politik tanpa jadi poster murahan. Dia tak permudahkan benda untuk senang diterima. Dia bagi benda itu kompleks dan biar penonton bekerja.
Ini artis yang dapat pengiktirafan tapi bukan kerana mereka kejar. Mereka buat kerja yang cukup kuat sampai pengiktirafan tak ada pilihan.

Tapi ramai yang lain?
Maaf cakap laa, ramai yang hanya meniru bahasa antarabangsa tanpa betul-betul ada isi. Mereka tahu apa yang kurator luar nak dengar, jadi mereka bagi. Mereka tahu apa yang nampak kritikal, jadi mereka pakai.
Tak jujur tetapi berlakon pandai.
Sekarang kita tengok dua kumpulan ini sekali gus.
Satu buat karya untuk pembeli. Satu buat karya untuk kurator. Satu tanya ‘”boleh jual ke?’” dan satu lagi sibuk nak masuk ‘Biennale’.
Yang komersial kata, cari makan bang. Yang global sibuk dengan wacana-wacini. Padan gitu le mengkomer.
Seperti yang kami katakan awal tadi,kedua-duanya adalah si penakut. Yang satu takut hilang pembeli. Yang satu lagi takut tidak dipilih masuk ‘Biennale’. Dan ketakutan tidak pernah melahirkan karya besar.
Masalah sebenar bukan artis komersial dan juga artis yang sibuk kejar pengiktirafan luar negara. Masalah sebenar ialah kita tidak jujur tentang kenapa kita buat seni.
Jika kamu melukis untuk duit, cakap. Itu kerja. Tak salah. Tapi jangan pura-pura seolah-olah setiap sapuan berus itu adalah pencarian jiwa yang terjun keluar dari dunia maknawi.
Kalau kau melukis untuk masuk galeri luar, cakap. Itu strategi. Bukan salah pun. Tapi jangan bungkus dengan jargon seolah-olah kau sedang menyelamatkan sejarah. Sementelah pula kita sudah ada mamat jargon (politik) yang terbukti tidak berbuat apa-apa.
Kejujuran ini penting.
Jika kamu artis komersial, beranikan diri untuk kehilangan pembeli sekali-sekala. Cuba buat benda yang tak laku. Tengok apa jadi. Jika kamu tak pernah ambil risiko, jangan panggil diri kamu sebagai artis.
Jika kamu mengejar pengiktirafan, beranikan diri untuk kehilangan peluang. Tolak projek yang paksa kamu jadi eksotik versi diri sendiri misalnya. Jangan sibuk menjadi pembekal naratif.
Sebagai artis kita kena berhenti mengejar bayang-bayang kejayaan. Tanya diri sendiri, jika tiada pembeli atau tiada pengiktirafan orang putih, adakah kamu akan masih melukis?
Abdullahjones: Merupakan seorang pelukis, penulis, pemuisi, kurator dan juga ‘Yang Dipertua’ kepada pertubuhan Abdullahjones International-Local, sebuah NGI yang masih mencari ahli untuk membuat kutipan zakat tahun hadapan.
Nota Editorial:
3 Artisan Kraf Kertas ‘Hungry Ghost’ dari Pulau Pinang akan ke ’20th Venice Architecture Biennale’ melalui kerjasama UK-Malaysia yang disokong oleh British Council.
