KAMEO atau penampilan khas dalam filem bukanlah fenomena yang serba baharu. Kameo wujud sebagai penambah perisa dan bukannya ramuan utama. Tiada orang waras yang sanggup beli tiket wayang hanya untuk melihat sebuah kameo, namun kameo mampu menjadi sebahagian daripada pakej yang menjadikan filem lebih diingati.
Contoh kameo yang bagus bukanlah sekadar “pelakon terkenal yang muncul sekejap, dan kami teruja sebab ada orang popular yang tak disangka-sangka ada” tapi bila personaliti atau imej pelakon itu memberi kesan terhadap penampilannya. Maaf terpaksa sebut tokoh yang kurang diminati, tapi contoh kameo yang baik adalah Donald Trump dalam Home Alone 2: Lost in New York (1992, arahan Chris Columbus) sebagai dirinya sendiri. Apabila filem itu keluar, Trump bukanlah politikus tapi hartawan yang sering diraikan media. Jadi, kemunculannya dalam filem itu di lobi Plaza Hotel miliknya adalah kejutan yang disukai penonton. (Namun begitu, pengarah Chris Columbus kemudian mengeluh yang kameo itu merupakan syarat Trump sendiri untuk membenarkan penggambaran di hotel itu, dan Columbus menyesali kameo itu.)
Dunia filem tempatan tidak sunyi daripada kameo. Kebanyakannya sekadar tempelan, termasuk yang muncul (terutamanya pada dekad 1970an dan 1980an) hanya untuk mendendangkan sebuah lagu; contohnya Sharifah Aini yang nyanyi Bunga Tanjung dalam Tiada Esok Bagimu (1979, Jins Shamsuddin).
Saya senaraikan 10 kameo yang saya suka. Sudah pasti senarai ini subjektif, sebab seni itu sendiri subjektif.
10. Dian Sastrowardoyo – Puteri Gunung Ledang (2004, Saw Teong Hin)
Aktres Indonesia yang sedang boom di kedua-dua negara dek Ada Apa Dengan Cinta? (2002, Rudy Soedjarwo) diberi penampilan agak marhaen sebagai anak kepada peniaga kecil yang diancam penyangak di pasar tani. Sedikit aneh bahawa pelakon yang sedang meledak mendapat watak kurang menonjol sebegini. Jika diberi peranan yang lebih istimewa, lebih ramai akan ingat kameo ini.
9. Yusof Haslam & Kuswadinata – Sikit Punya Gila (1982, Raja Ismail)
Ada banyak kameo tempatan di mana pelakon muncul sebagai dirinya sendiri, dan terus dikenali sebagai bintang oleh watak-watak lain. Antara yang paling mencuit adalah “Abang Usop” dan “Abang Kus” dalam komedi pecah perut ini. Istimewanya, kedua-dua pelakon digambarkan sebagai playboy yang gunakan status mereka sebagai selebriti untuk memikat perempuan untuk pergi berfoya-foya di pantai Port Dickson.
8. Hishamuddin Rais – Lelaki Harapan Dunia (2014, Liew Seng Tat)
Penampilan Isham Rais, susuk yang dikenali ketika itu (di zaman pemerintahan Najib Razak) sebagai tokoh anti-kerajaan diingati sebab peranannya sebagai bomoh palsu agak berlawanan dengan imejnya sebagai figura yang berpolemik mengenai siasah. Bercakap tentang Najib Razak, beliau juga ada kameo sebagai diri sendiri dalam Bilut (2006, Bade Azmi) tapi tak usahlah ia diceritakan di sini.
7. Z. Lokman – Bujang Selamat (1985, Z. Lokman)
Pengarah ikonik yang begitu popular pada zamannya ini sering membuat kameo dalam filemnya. Antara yang paling diingati adalah di dalam karya yang pernah disifatkan sebagai ‘Karate Kid Melayu.’ Beliau keluar daripada tempat latihan seni bela diri dengan menendang-nendang dan menampar-nampar angin, seolah-olah dia terlebih semangat bila mendalami latihan. Momen tanpa dialog ini kelakar dan absurd, dan membuktikan yang dia tak malu untuk mentertawakan diri sendiri.
6. M. Daud Kilau – Man Laksa (2006, Mamat Khalid)
Di dalam komedi tentang usaha orang biasa-biasa untuk menjadi bintang, cara yang mencuit untuk mengakhiri filem adalah kemunculan bintang sebenar yang hadir dengan magis dan berkilau-kilau. Antara kameo yang paling ‘extra’ dalam filem tempatan.

5. Erra Fazira – Hantu Kak Limah (2018, Mamat Khalid)
Kameo ini menggunakan apa yang penonton sudah sedia tahu tentang kehidupan sebenar pelakon ini, khususnya statusnya sebagai janda yang pernah menjadi kekasih Awie. Biarpun komedinya ada pahit manis, ia buktikan yang Erra Fazira, seperti juga Z. Lokman tadi, seorang yang tidak takut untuk ketawakan dirinya sendiri.
4. Juwie – Tuan Badul (1979, Jamil Sulong)
Wartawan dan penulis lirik yang terkenal dengan penampilan gendernya yang unik turut ada kameo dalam filem yang dibintangi pelawak Malaysia yang paling top ketika itu. Beliau muncul sebagai jiran ranggi yang keluar dari rumah dan berbual dengan S. Shamsuddin, termasuk ayat manja “Nak epal?” Biarpun singkat, kami cukup yakin yang penonton pada zaman itu akan bersahut di pawagam dengan siulan dan balasan “Awwwww…!”
3. Sharifah Aini – Diva Popular (2006, Erma Fatima)
Mungkin kalau Gen Z lihat kameo biduanita negara itu kini, mereka tak akan rasa apa-apa yang istimewa. Tapi kemunculan Kak Pah sebagai hakim yang tegas (hingga palu pecah bila dihentak ke meja!) menjadi komedi yang dahsyat masa itu, sebab dia sendiri sedang terlibat dalam satu kes mahkamah yang agak sensasi. Syabas kepada pengarah Erma Fatima sebab berjaya masukkan kameo ini.
2. Rosyam Nor – Senario XX (2005, Aziz M. Osman)
Kameo yang agak mengagumkan sebab menggunakan status Rosyam Nor sebagai ‘Hero Malaya Nombor Satu’ ketika itu, tapi dia muncul bukan sahaja sebagai diri sendiri tapi sebagai watak yang disuarakan oleh Lan Pet Pet. Pengalaman teks, konteks, dan subversi menjadikan ini kameo pelakon Malaysia yang paling genius.
1. Mokhtar Dahari – Mekanik (1983, Hafsham)
Kameo terhebat dalam sejarah filem kita bukan milik seorang pelakon tapi seorang legenda bolasepak yang dikenali semua orang. Dengan dialog reaksi “Eh, Mokhtar Dahari pun kena saman?” ia membawa kita kepada zaman di mana semangat kekitaan di Malaysia mungkin lebih telus dan nyata berbanding sekarang. Kameo ini mengangkat babak tersebut ke taraf menjangkaui sekadar filem, dan terus ke dalam ingatan kolektif kita.
